BURGER merupakan makanan segera yang cukup popular. Selain restoran makanan segera, di Malaysia konsep dan cita rasa burger jalanan merupakan satu perkara biasa.
Burger-burger tersebut lazimnya dihidangkan dengan lapisan sos cili dan juga mayonis. Manakala dagingnya dimasak dengan menggunakan dapur gas.
Boleh dikatakan kita semua pernah merasainya dan sudah mengetahui akan kelazatannya.
Tetapi pernahkah anda merasa burger bakar? Ia bukan sahaja merupakan satu hidangan sihat malah cara hidangannya juga agak sedikit berlainan daripada burger-burger yang sedia ada.
Menggunakan kombinasi daging tempatan dan luar negara, ternyata percaturan Sani Mohd Halim, 41, mengenengahkan cara masak yang baru untuk burger jalanan mendapat sambutan yang begitu baik di kalangan penggemar-penggemar burger.
Walaupun baru memulakan operasi awal Mac lalu, gerai KL Burger Bakar kepunyaan Sani sudah mampu menjual sehingga 200 biji semalam.
Bagi Sani, angka tersebut menunjukkan bahawa burger sememangnya mempunyai peminatnya yang tersendiri dan untuk itu selain ingin memberikan satu lagi pilihan kepada penggemar burger, dia turut menyuntik kelainan kepada burger jualannya.
Jelas Sani, burger yang dijual di gerainya boleh dikategorikan menu sihat kerana daging-dagingnya dibakar dan bukannya di goreng.
"Secara tidak langsung ia bukan sahaja satu menu sihat untuk dinikmati semua masyarakat malah ia juga merupakan satu hidangan baru bagi menu burger," ujarnya ketika ditemui di premis perniagaannya yang terletak di 17, Jalan UP 1/6 Ukay Perdana, Ampang, Selangor baru-baru ini.
Ternyata cara penyediaan daging burger di KL Burger Bakar amat berlainan.
Selain ketebalan dagingnya mencecah sehingga 150 gram setiap keping, daging-daging tersebut turut diproses dengan resipi sendiri.
Bukan itu sahaja malah Sani turut menggunakan termometer untuk memastikan daging-daging yang dibakar masak sepenuhnya sebelum dihidangkan kepada pelanggan.
Tambah Sani, setiap daging yang dibakar akan masak sepenuhnya dalam tempoh 20 minit.
Mengulas lanjut mengenai perniagaan tersebut, menurut Sani, sebelum dia memulakan operasi dia terlebih dahulu membuat kajian mengenai menu tersebut.
Dia turut menguji rasa menu-menu yang disediakan terlebih dahulu agar ia dapat diterima 'tekak' rakyat tempatan.
Hari ini dengan dibantu empat orang pekerja, KL Burger Bakar menawarkan enam menu untuk pilihan pelanggan.
Menu-menu yang boleh didapati di KL Burger Bakar ialah smack down, sweet angle, summer slam, royale rumble, kl no mercy dan no way out.
Dalam pada itu, kesemua menu yang disediakan turut disajikan dengan pelbagai sos dan perisa seperti sos lada hitam, sos thousand island, keju, mayonis, sos barbeku, sos cili dan juga sos tomato.
Dibuka setiap hari bermula pukul 5 petang hingga 11 malam, kesemua menu di KL Burger Bakar boleh didapati pada harga RM7 hingga RM20.
Yang pasti, hari ini selain di Ukay Perdana, KL Burger Bakar juga boleh didapati di Taman Sri Gombak selain Rawang Burger Bakar di Seksyen 5, Wangsa Maju.
Sempena dengan Euro 2012, KL Burger Bakar menambah enam lagi menu untuk pilihan pelanggan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: