Riuh dan kecoh tapi meriah. Itulah yang berlaku pada majlis persandingan juara Gerbang Cinta Mega-Utusan Musim ke-3, Nor Syafiqah Syahirah Mohamed, 25 dan Mohd. Firdaus Mohd. Fauzi, 27, apabila lebih 300 ahli keluarga pengantin perempuan terdiri daripada adik beradik, ibu dan bapa saudara, sepupu-sepupu dan sanak saudara lain berkumpul.
Sememangnya Nor Syafiqah beruntung dikelilingi oleh ahli yang ramai memandangkan ibunya, Nor Reha Rosman, mempunyai 20 adik beradik.
Tidak ketinggalan ahli keluarga sebelah bapanya, Mohamed Syed Alwee yang turut hadir meraikan anak sulong daripada tiga beradik itu.
Bibit kemeriahan sudah dirasai sejak malam pernikahan lagi apabila pasangan itu sah sebagai suami isteri dengan hanya sekali lafaz disaksikan oleh ahli keluarga terdekat.
Nor Syafiqah dan Mohd. Firdaus yang menyulam cinta selama enam tahun diijabkabulkan oleh Ketua Bahagian Pengurusan Masjid merangkap Ketua Nikah Mukim 10, Arbain Idris.
Rombongan kira-kira 50 ahli keluarga Mohd. Firdaus diketuai oleh ibu dan bapanya, Mohd Fauzi Abdullah dan Anita Aris, yang datang jauh dari Perlis membawa bersama sembilan dulang hantaran termasuk wang hantaran sebanyak RM10,620.12,
Ia kemudian dibalas dengan sebelas dulang oleh pihak pengantin perempuan.
Kemeriahan berlarutan hingga ke majlis persandingan keesokan harinya. Tujuh khemah putih bersih berbumbung ala-Arab dengan hiasan lampu candelier tersergam megah memenuhi sebahagian halaman rumah pengantin yang terletak di Kampung Parit Kemang Tengah, Senggarang, Batu Pahat, Johor.
Sebagai penaja jamuan dan khemah, Mastar Catering ternyata bersungguh-sungguh mahu menampilkan yang terbaik.
Malah menurut pemiliknya, Mastar Muni, khemah tersebut baru pertama kali digunakan dan ia dibeli khusus untuk perkahwinan pasangan juara itu.
Dalam pada itu seawal 11 pagi tetamu sudah mula bertali arus menjamu selera dengan hidangan nasi minyak, rendang daging, ayam goreng berempah, acar buah dan banyak lagi hasil 'air tangan' Mastar.
Sesekali kedengaran dari corong pembesar suara, celoteh Wan DJ yang bertindak sebagai pengacara dan 'menghidupkan' majlis pada petang itu dengan pelbagai pantun yang menghiburkan.
Tepat jam 2 petang pengantin lelaki diarak ke perkarangan rumah pengantin perempuan sambil diiringi paluan kompang dan pembawa bunga manggar.
Langkahan Mohd. Firdaus nampak segak dan bergaya dengan persalinan baju Melayu berhias berlian di bahu, bertanjak dan bersamping sambil keris terselit di pinggang.
Sementara di anjung rumah, Nor Shafiqah yang tampil bagai seorang puteri, menyambut kedatangan sang putera dengan penuh debar.
Solekan hasil sentuhan Afidah Khamis dari Afidah Khamis Make Up and Stuff nyata menaikkan lagi seri dan kelembutan wajah pengantin.
Ditambah dengan persalinan gaun panjang rona putih gading yang ditaburi dengan butiran mutiara dan kilauan berlian menyerlahkan lagi keanggunan sekali gus memenuhi tema impian persandingan dalam taman.
Rekaan pakaian ala Inggeris tetapi masih mengekalkan ciri-ciri muslimah rekaan Dios Astana Bridal, membuatkan Nor Syafiqah kelihatan ayu dan elegan pada hari tersebut.
Dalam pada itu tidak sempurna ketibaan mempelai tanpa disambut dengan langkah silat sebagai mengalu-alukan permulaan kehidupan baru mereka.
Biarpun cuaca agak panas terik, pasangan pengantin tetap menguntum senyum sambil menyambut salam dihulur oleh ahli pencak silat.
Langkah kemudian diteruskan menuju singgahsana pelamin yang tersergam indah di dalam rumah sambil diiringi gadis-gadis cilik pembawa bunga.
Apa pun Mohd. Firdaus bernasib baik kerana tidak perlu 'keluar duit dan berpeluh melepasi halangan 'tol' kerana keluarga Nor Syafiqah mengecualikan adat yang biasa dilakukan pada majlis perkahwinan di Johor.
Duduk bersanding bagai pinang di belah dua, warna dan tema baju mempelai nyata cukup serasi dengan rekaan pelamin yang berkonsep taman kontemporari.
Rekaan dan sentuhan pelamin oleh Precious Moments yang menggunakan warna putih dan hijau, selain bunga-bunga segar ternyata memberi keselesaan dan kesegaran kepada pasangan raja sehari itu.
Apa yang pasti impian mereka untuk bersanding konsep ala taman terlaksana dengan penggunaan bunga-bungaan segar di sekitar pelamin pada hari itu.
Pastinya rakaman momen indah persandingan mereka akan sentiasa diingati dengan sentuhan khidmat fotografi dari D'Sayang Entertainment.
Upacara persandingan kemudian diteruskan dengan acara merenjis yang didahului oleh tetamu kehormat iaitu Ahli Parlimen Batu Pahat yang juga Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkarshi dan dan Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) negeri Johor, Jalaludin Abd. Aziz mewakili penaja utama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).
Ia kemudian diikuti Penolong Ketua Pengarang II Utusan, Ahmad Abd. Hamid dan Pengarang Mega, Aznan Bakar serta ibu bapa dan ahli keluarga terdekat kedua-dua belah pengantin.
Selesai merenjis kedua mempelai dibawa ke meja makan beradab yang turut disertai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senggarang, Jaaffar Hashim dan isteri.
Sementara masing-masing menjamu selera, mereka dihiburkan dengan tarian zapin oleh penari-penari cilik kumpulan Zapin Sanggar Budaya Batu Pahat Johor dan tarian kuda kepang.
Kemudian, majlis diteruskan lagi dengan acara memotong kek dan kemuncak penyerahan kereta Proton Saga SE , salah satu hadiah juara Peraduan Gerbang Cinta Mega-Utusan Malaysia Musim Ke-3, selain tajaan pakej perkahwinan bernilai RM100,000, wang tunai RM5,000, barang kemas, barang elektrik, set sofa dan rawatan spa.
Peraduan ini menyaksikan penyertaan KPWKM sebagai penaja utama, manakala penaja-penaja lain termasuk Mastar Catering (jamuan dan kelengkapan khemah), Kampung Pengantin (lokasi dan jamuan) dan Precious Moments (pelamin).
Turut menaja adalah D'sayang Entertainment (sistem bunyi dan fotografi), Dios Astana Bridal, (busana pengantin), Afidah Khamis Makeup and Stuff (jurusolek), Sri Sutra Travel (pakej bulan madu), CJ print (kad perkahwinan), Suri Permai Spa (rawatan spa) dan Utusan Online (laman sesawang rasmi peraduan).
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: