Apabila menghadiri sesuatu majlis perkahwinan antara yang bakal bermain di minda dan perhatian tetamu mestilah mengenai hidangan yang disediakan, busana persalinan, bahkan barangan sekecil bunga telur juga menjadi bualan.
Begitu juga pelamin yang memang sinonim dengan masyarakat Malaysia bila tibanya majlis perkahwinan.
Orang ramai tatkala berkunjung di rumah kenduri mereka akan perhatikan konsep pelamin yang dihasilkan oleh tuan rumah.
Bagi Izzuddin Karso, 44, perunding perkahwinan dan pemilik Precious Moments Collections yang juga merupakan penaja pelamin dan hiasan untuk pemenang Peraduan Gerbang Cinta Musim Mega -Utusan Malaysia Musim Ke-3, sentiasa berusaha mengetengahkan konsep hiasan pelamin lain daripada yang lain.
Sebagai contoh dalam majlis persandingan bagi pasangan juara peraduan, Nor Syafiqah Syahirah Mohamed, 25 dan pasangannya Mohd. Firdaus Mohd. Fauzi, 27, pada hujung minggu lalu, beliau menghasilkan pelamin berkonsepkan taman kontemporari.
Pelamin berukuran kira-kira 20 kaki lebar yang terletak di bahagian ruang tamu rumah ibu bapa Nor Syafiqah itu diperindah dengan bunga hidup dan digabungkan dengan hiasan kristal.
"Melalui konsep taman ini, saya menghiasinya dengan menggunakan bunga-bunga segar iaitu bunga ros dan kekwa. Kombinasi warna merah jambu, ungu dan putih bagi menaikkan seri pelamin.
"Sebelum penyediaan, seperti biasa sebagai perunding perkahwinan saya akan memberi idea dahulu kepada pasangan, kemudian jika mereka bersetuju kita akan berbincang jika perlu penambahan lain.
"Begitu juga pasangan juara ini, mereka tidak cerewet dan mempersetujui idea untuk konsep 'taman kontemporari' ini," jelasnya yang telah 11 tahun berkecimpung dalam dunia rekaan dan hiasan.
Selain itu, Izzuddin juga menjelaskan bahawa istimewanya pelamin rekaannya itu menggunakan 100 peratus bunga hidup dan warna bunga akan disesuaikan dengan warna baju pengantin.
Kesemua bunga yang digunakan diambil dari pembekal yang mengimportnya dari China.
Bukan menidakkan keindahan bunga-bunga tempatan, tapi kata Izzuddin, bunga import kuntuman lebih besar dan tahan lama.
"Bunga-bunga ini boleh tahan sehingga seminggu jika mendapat air yang cukup. Biasanya apa yang saya buat saya akan rendam span yang jadi tapak mencucuk bunga dengan secukupnya," katanya ditemui di rumah pengantin di Kampung Parit Kemang Tengah, Senggarang, Batu Pahat, Johor.
Pelamin hasil kreativiti Izzuddin bersama enam orang kakitangannya itu atas dasar ingin mencari kelainan.
Selain banyak bermain dengan daun-daun dan bunga-bunga segar, beliau turut menghiasinya dengan aksesori kristal yang berjuntaian di tengah bulatan.
"Saya ingin mengekalkan nilai-nilai eksklusif dalam setiap rekaan, jadi saya cuba dengan rekaan bulatan yang berada di tengah pelamin yang dililit dengan daun-daun bunga jasmin yang segar.
"Sebenarnya rekaan itu seringkali digunakan dalam majlis perkahwinan kaum Cina akan tetapi saya mengubah sedikit rekaan tersebut, mengikut cita rasa yang diinginkan.
"Walaupun pelamin ini adalah tajaan, akan tetapi kami akan membuat yang terbaik, dan segala kelengkapan yang dibawa mencukupi dalam menyiapkannya.
"Paling utama, perbincangan secara dua hala dengan pihak keluarga mempelai, dan kami tiada masalah dan amatlah dihargai kerana mereka memberikan sepenuh kerjasama," ujarnya yang mengambil masa empat jam untuk menyiapkan pelamin tersebut.
Walau bagaimanapun, katanya, dalam mencipta dan mereka hias pelamin yang unik serta lain daripada yang lain bukan kerja mudah serta memerlukan idea kreatif dan daya imaginasi tinggi.
Dalam pada itu, pemilihan warna kontras akan menaikkan seri wajah, sekali gus membuatkan pandangan mata tetamu lebih tertumpu kepada keindahan sang mempelai.
"Warna baju tidak seharusnya sewarna dengan pelamin kerana ia akan menenggelamkan keserian mempelai.
"Nor Syafiqah dan Mohd. Firdaus menggayakan busana putih, jadi ia menaikkan seri dan tidak menenggelamkan pengantin apabila berada di atas pelamin," katanya.
Izzuddin juga merupakan penaja pelamin dan hiasan untuk empat lagi pemenang Peraduan Gerbang Cinta Musim Ke-3 yang kesemuanya bakal berlangsung bulan ini.
Syarikatnya yang beroperasi di Taman Puncak Jalil, Seri Kembangan, Selangor, Precious Moments Collection boleh dihubungi melalui talian 012-3101950.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: