Sunday, June 17, 2012

Panda tetamu Taman Wetland


BULUH ialah makanan kegemaran panda.


TAMAN Wetland Putrajaya yang terletak di Presint 3, menambah reputasinya sebagai habitat flora dan fauna apabila sepasang beruang panda dari China akan ditempatkan di situ kira-kira setahun dari sekarang.

Di sebalik pembinaan bangunan-bangunan futuristik di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan itu, Taman Wetland masih menyimpan 32 spesies buah-buahan nadir, 32 spesies pokok hutan, 48 spesies tanaman hutan dan 45 jenis tanaman renek di kawasan seluas 197 hektar.

Taman buatan manusia itu turut mempunyai sembilan keluarga daripada 12 spesies mamalia, 10 keluarga herpetofauna daripada 11 spesies, 15 spesies serangga, 17 spesies ikan dan 39 keluarga daripada 108 spesies burung.

Menurut Presiden Perbadanan Putrajaya, Tan Sri Samsudin Osman, jika bernasib baik pengunjung berpeluang menyaksikan pelbagai spesies burung penghijrah dari Kutub Utara atau Kutub Selatan selain burung dari Zoo Negara yang dikatakan sering berulang alik ke taman itu.

Khamis lalu, Samsudin membawa delegasi dari Persatuan Pemuliharaan Hidupan Liar China (CWCA) termasuk Setiausaha Agungnya, Zang Chunlin melawat taman itu.

Beliau turut memberi penerangan mengenai jenis pokok buluh yang bakal menjadi makanan kepada beruang panda di situ nanti.

Akhbar baru-baru ini melaporkan China akan meminjamkan sepasang panda kepada Malaysia untuk tempoh 10 tahun bagi memperingati ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.

Panda gergasi yang hanya terdapat di China merupakan haiwan yang diancam kepupusan dan bilangannya ketika ini hanya sekitar 1,600 ekor.

Suhu

Dalam usaha melaksanakan program pemindahan panda gergasi tersebut, kerajaan Malaysia akan menyediakan eksibit khas di Taman Wetland yang lengkap dengan infrastruktur yang menyamai habitat asal pasangan panda gergasi termasuk penetapan suhu kurang daripada 24 darjah Celcius.

Di samping itu, aspek pemakanan dan diet panda gergasi tersebut akan diberikan tumpuan utama. Sebanyak lima spesies buluh telah dikenal pasti sebagai diet bagi pasangan panda tersebut dan usaha penanaman spesies buluh terpilih akan dilaksanakan secara berperingkat di taman itu.

Penerimaan pasangan panda ini juga dijangka memesatkan lagi sektor ekopelancongan negara ini. Berdasarkan pengalaman Thailand, pada tahun pertama apabila panda ditempatkan di negara itu, seramai 900,000 pelancong telah melawat penempatan panda itu di Thailand sekali gus melonjakkan sektor pelancongan negara itu.

Impak yang sama dijangka dapat dirasai oleh Malaysia.

Melalui usaha konservasi ini juga, Malaysia berpeluang menjalankan penyelidikan ke atas panda gergasi selain meningkatkan kepakaran tempatan melalui pemindahan teknologi yang disalurkan oleh China terutamanya dalam pembiakan tiruan, kajian genetik dan kajian habitat panda gergasi.

Malaysia optimistik bahawa tumpuan untuk melaksanakan usaha konservasi khazanah biodiversiti negara seperti Harimau Malaya dan Orang Utan tidak akan terjejas dengan usaha konservasi panda di Malaysia. Melalui Pelan Tindakan Harimau Kebangsaan, kerajaan yakin bahawa sasaran menambah populasi harimau sehingga 1,000 ekor menjelang 2020 pasti tercapai.

Selain itu, kehadiran 'pasangan sensasi' itu akan meningkatkan lagi kesedaran orang awam mengenai usaha konservasi panda gergasi di samping menggalakkan mereka menghargai keunikan dan kepentingan konservasi hidupan liar dan biodiversiti di Malaysia.

Menurut Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, satu pertandingan peringkat nasional untuk menamakan panda gergasi tersebut akan diadakan untuk menggalakkan rakyat Malaysia mengenali haiwan unik itu.

Keterangan lanjut mengenai pertandingan ini boleh diperoleh dengan melayari www.nre.gov.my.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: