Sunday, June 17, 2012

Botoks hilangkan bau ketiak


BOTOKS dan laser adalah kaedah terakhir untuk mengatasi masalah bau ketiak yang serius.


BAU busuk ketiak seringkali tidak menyenangkan pemiliknya begitu juga individu yang berada di sekeliling mereka. Masalah itu bukan sahaja dialami oleh orang biasa malah insan terkenal seperti aktor Matthew McConaughey.

Pelakon filem The Paperboy yang memiliki badan yang sasa itu memberitahu, dia bagaimanapun percaya dengan mengeluarkan peluh, segala kekotoran akan keluar daripada badan sekali gus mengelak tubuh termasuk ketiak daripada berbau.

Lelaki itu sememangnya diketahui tidak gemar memakai pewangi ketiak.

“Kalau kita tidak membersihkan liang-liang yang ada pada badan setiap hari, tubuh kita akan berbau. Mengeluarkan peluh juga merupakan satu bentuk meditasi yang baik untuk otak kita,” katanya.

Malah, sebuah syarikat pewangi ketiak, Axe, pernah membekalkan penyembur ketiak selama setahun kepada McConaughey bagi memastikan isterinya, Camila Alves tidak meninggalkannya semasa pasangan itu berpacaran dahulu.

Selain McConaughey, pelakon Julia Roberts juga terang-terangan mengaku, dia tidak pernah menggunakan pewangi ketiak.

Bakteria

Bintang filem Pretty Women itu berkata, dia lebih gemar menggunakan sabun serta air untuk sentiasa bersih dan segar.

“Saya tidak suka berkongsi haruman dengan ramai orang,” ujarnya.

Bagaimanapun, ibu kepada tiga cahaya mata dan isteri kepada jurukamera filem, Daniel Moder itu terpaksa berusaha lebih supaya dia sentiasa berbau wangi.

“Kadangkala semasa bekerja pada waktu tengah hari, saya akan mandi,” beritahu Roberts.

Hakikatnya semua orang punya bau badan akibat proses perpeluhan. Berpeluh adalah sebahagian daripada cara tubuh bekerja supaya kekal sihat.

Menurut Pakar Perubatan dan Dermatologi, Pusat Perubatan Darul Ehsan, Dr. Noraziah Abd. Kadir Jailani, terdapat dua jenis kelenjar yang menghasilkan peluh iaitu kelenjar ekrin dan kelenjar apokrin.

Kelenjar ekrin bertanggungjawab menghasilkan air peluh kerana ia bersambung terus hingga ke permukaan kulit.

Ia bertujuan mengawal suhu badan selain membuang bahan-bahan kumuhan seperti urea, sodium, kalsium atau elektrolit.

Kelenjar apokrin pula merembeskan cecair yang lebih likat dan agak keruh serta menimbulkan masalah jika ia lebih banyak daripada peluh yang dirembeskan kelenjar ekrin.

“Kelenjar apokrin ada pada bahagian tubuh yang banyak folikel rambut seperti ketiak dan kemaluan. Kelenjar itu mengandungi sebum iaitu rembesan berlemak yang mengawal dan melicinkan rambut, bulu, serta kulit,” cerita Noraziah.

Katanya, bakteria mudah memecah masuk ke dalam protein yang terdapat pada kelenjar apokrin, menyebabkan ketiak mengeluarkan bau yang kurang menyenangkan.

Noraziah memberitahu, individu yang gemar memakan daging, telur, ikan dan kekacang dalam kuantiti yang banyak selalunya mempunyai bau badan yang busuk.

Kesemua makanan itu mengandungi kolina yang tidak mudah dihadam melalui proses metabolisme.

“Minum kopi atau minuman berkafein serta mengambil makanan berempah yang mengandungi bawang dan bawang putih dengan kerap juga menjadi punca bau ketiak,” katanya.

Botoks

Selain itu, punca bau badan itu disebabkan masalah ginjal, hati, hipoglisemia (kurang gula dalam darah), jangkitan kuman, diabetes dan tiroid.

Ia dikesan apabila individu yang pada mulanya tidak mempunyai masalah bau, tiba-tiba mengalami perubahan bau badan yang menjengkelkan.

Majoriti individu yang mengalami masalah ketiak berbau berumur 15 hingga 18 tahun.

“Ini disebabkan oleh gaya hidup mereka yang aktif tetapi jarang mendapatkan rawatan lanjut daripada doktor pakar.

“Bilangan individu yang menghadapi masalah ini juga kecil kerana terdapat rawatan bagi mengatasinya,” ujarnya.

Noraziah berpendapat, cara merawat masalah bau ketiak ialah dengan menggunakan cecair pencuci yang mengandungi 3 peratus hidrogen peroksida, menyembur pewangi dan penyembur antipeluh.

“Jika masalah itu terlalu serius, pembedahan membuang kelenjar apokrin pada tempat bermasalah boleh dilakukan selain laser serta suntikan botoks,” ujarnya.

Katanya, ramai penghidap gemar memilih botoks.

“Berbanding laser, botoks lebih dipercayai pengguna kerana suntikan botoks boleh diambil setiap lima bulan sekali berbanding laser yang hanya dibuat sekali sahaja,” terang Noraziah.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: