Sejak peringkat awal perbincangan lagi telah dipersetujui bahawa tanggungjawab menguruskan jamuan kenduri kahwin bagi juara Peraduan Gerbang Cinta Mega-Utusan Malaysia Musim Ke-3, akan digalas oleh penaja jamuan, Mastar Catering.
Keputusan itu mencetuskan rasa teruja kepada pemilik syarikat katering yang semakin dikenali itu, pasangan suami isteri, Mastar Muni, 47, dan Jamilah Shahir, 43. Dua musim sebelum ini mereka hanya berpeluang mengendali majlis pemenang kedua dan ketiga.
Darjah keterujaan semakin meningkat apabila tarikh 'kenduri' semakin dekat. Namun pada masa sama berbaur rasa gementar dan berdebar bukan saja kerana ia majlis untuk juara malah mengenang lokasi di Kampung Parit Kemang Tengah, Senggarang, Batu Pahat, Johor.
"Semua orang tahu daerah Batu Pahat memang tempat tukang masak-tukang masa majlis kahwin terhebat. Malah 'guru' masak pertama saya juga orang Batu Pahat. Saya anggap tugas ini satu penghormatan dan cabaran.
"Pada masa sama saya juga perlu fikirkan kelainan memandangkan ini majlis untuk juara dan sudah tentunya tetamu mahu melihat sesuatu yang hebat," kata Mastar atau lebih mesra dengan panggilan Wak Mastar jujur.
Begitupun melihat hasil kerja Mastar Catering sebelum ini, penganjur peraduan dan penaja-penaja lain tidak gusar dengan keupayaan Wak Mastar, lebih-lebih lagi beliau memang sentiasa berusaha memberikan yang terbaik.
Justeru pada Ahad lalu (10 Jun), menyaksikan Wak Mastar mengotakan janji melaksanakan misinya menjadikan majlis persandingan juara GC Ke-3, Mohd. Firdaus Mohd. Fauzi, 27, dan Nur Syafiqah Mohamed, 25, penuh gilang-gemilang.
Begitupun kerja-kerja Wak Mastar dan isterinya, Jamilah, serta 15 pembantunya termasuk anak-anaknya, bermula seawal petang Jumaat lagi.
Petang itu beliau bagai memindahkan dapur utama Mastar Catering yang biasanya beroperasi di Taman Impian Ehsan, Serdang, Selangor, ke lokasi kenduri.
Selain bahan-bahan mentah untuk masakan, segala kelengkapan dapur daripada tungku, tong gas, kawah, pinggang mangkuk hinggalah kira-kira 10 biji periuk besar dipunggah keluar.
"Memang amalan biasa kalau buat katering di luar daerah, tapi kali ini sekala lebih besar dan paling jauh. Boleh dikatakan dapur kami di Serdang kosong," katanya dengan nada gurau.
Semangat dan kesungguhan pasangan suami isteri itu untuk menjadikan majlis sang juara gilang-gemilang dan lain daripada lain sememangnya begitu ketara.
Khusus untuk majlis itu sahaja, mereka mengeluarkan 'duit poket' sendiri membeli lapan khemah atau kanopi baru serba putih berbumbungkan ala-Arab dengan dihiasi skalop dan lampu-lampu candelier.
Kata Wak Mastar, pilihan warna dan hiasan khemah mengikut warna tema majlis persandingan iaitu putih gading.
Selain itu, mereka juga menyediakan lapan unit penghawa dingin mudah alih yang diletakkan di khemah agar pengunjung dapat menikmati jamuan dengan selesa.
"Selaku pemenang pertama mereka layak diraikan dalam suasana meriah. Ia juga sebagai penghargaan kepada Mastar Catering kerana diberi kepercayaan menyediakan hidangan untuk pemenang pertama.
"Orang di sini sudah biasa dengan masakan-masakan sedap ketika majlis kahwin. Ini juga cabaran untuk saya dalam memastikan makanan yang disediakan nanti menepati selera dan cita rasa mereka.
"Keadaan itu tidak menjadi halangan atau melemahkan semangat kami, malah persediaan rapi telah dilakukan sebulan lebih awal dari tarikh majlis berlangsung," kata Wak Mastar.
Menurutnya lagi, dengan lebih 1,500 tetamu yang diundang oleh tuan rumah, pada hari itu, beliau memperuntukkan 130 kilogram beras basmathi Mongul yang berkualiti selain 200 ekor ayam dan lebih 130 kilogram daging sebagai bahan utama.
"Jika jumlah jemputan yang datang melebihi yang ditetapkan, kami juga sudah bersedia seperti barangan mentah yang hendak dimasak mencukupi," katanya.
Tambah beliau, seperti biasa masakan istimewa untuk hidangan pada majlis tersebut iaitu nasi minyak kukus dinikmati bersama ayam goreng berempah, rendang Palembang, sambal sotong istimewa Mastar, dalca dan acar buah.
Tidak ketinggalan beliau turut menyediakan sudut sajian pencuci mulut yang terdiri daripada pelbagai jenis kuih Melayu, bubur kacang perasa durian, buah-buahan dan teh tarik.
Apa pun yang menjadi perhatian sudah tentunya nasi minyak kukus yang sememangnya menjadi kepakaran Mastar Catering.
"Nasi dihidang dalam tong kayu dan diletak atas air kukusan supaya kekal panas sepanjang masa. Itu antara keistimewaan kami," katanya.
Kata Wak Mastar lagi, nasi peroi dalam keadaan panas sebenarnya amat penting supaya setiap tetamu puas hati untuk menikmatinya bersama dengan lauk-pauk.
Beliau juga amat menitik beratkan soal kualiti daripada peringkat memasak hinggalah kepada cara hidangan.
Untuk itu beliau bersama isteri mengetuai sendiri kerja-kerja memasak yang bermula tengah malam hinggalah membawa ke awal pagi pada hari persandingan.
Ini katanya, bagi memastikan lauk-pauk segar, bersih, tidak tercemar serta dijamin selamat untuk dimakan.
"Teknik penyediaan dari mula memilih bahan mentah hingga kepada memasak yang kami amalkan menjadikan lauk-pauk yang disediakan boleh tahan lama dan segar.
"Selain nasi yang dikukus, rendang Palembang juga dimasak mengikut masa yang tepat manakala ayam goreng berempah digoreng sepanjang majlis berlangsung supaya dapat dihidangkan panas-panns," katanya.
Katanya, Mastar Catering yang ditubuhkan sejak tahun 1983 sedia menerima tempahan untuk sebarang dengan menghubungi beliau menerusi talian 016-6725543 atau Mastar Care Line 1700805543 atau layari www.mastarcatering.com.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: