UDAH-udahlah... jangan diusik lagi," rayu Jurumiah Ngah Mat Don, 76, yang sering menjadi mangsa usikan rakan-rakan dan sanak saudara serta keluarga yang mengetahui tabiat melatahnya.
Kata warga emas ini, tabiat melatah itu menjadikan dia penat sekiranya berterusan diusik.
Tinggal bersama anaknya di sebuah rumah di Kampung Enggor, Kuala Kangsar, Perak, Jurumiah yang mengambil upah membuat bantal dan tilam kekabu daripada penduduk setempat mengakui tidak menyukai sekiranya ada individu yang mengusiknya.
"Mak cik mudah, kalau tidak ada orang usik, tak adalah melatah, tapi ramai benar yang suka mengusik.
"Mak cik tak boleh terkejut langsung. Kalau terkejut, latahlah mak cik biarpun sekejap," katanya dalam loghat Perak yang tebal.
Jurumiah memberitahu, dia mula kuat melatah sejak tujuh atau lapan tahun lepas selepas sering diusik oleh anak sulungnya.
Bermula dari situ, dia mula melatah dan tabiatnya semakin menjadi-jadi terutama setelah kematian suaminya beberapa tahun lalu.
Apabila ditanya apa yang terjadi sewaktu dia melatah, Jurumiah berkata, pada waktu itu dia tidak ingat apa-apa, sedar-sedar dia ditenangkan oleh seseorang barulah dia dapat berfikir kembali.
"Mungkin orang kata melatah buat orang lagi ketawa bila tengok kita tapi tiada siapa yang suka melatah. Mak cik pun tidak mahu," katanya yang tidak tahu apa yang telah disebut atau di lakukannya ketika sedang melatah.
Tambahnya, dia sering menjadi mangsa usikan ketika berkumpul bersama keluarga mahupun jiran tetangga yang bertandang ke rumah atau ketika majlis seperti kenduri dan sebagainya.
Sementara itu adik kepada Jurumiah, Ahamed Soffian Mohd. Don, 71, memberitahu, dahulu kakaknya tidak sekuat melatah seperti sekarang.
"Sekarang pantang ada benda jatuh atau meletup berhampirannya dia akan melatah.
"Kucing melompat pun dia melatah apatah lagi jika diusik orang," katanya yang tinggal berhampiran dengan rumah kakaknya itu.
Ahamed Soffian atau lebih dikenali dengan nama Pak Yan berkata, kakaknya itu sering menjadi mangsa usikan sekiranya ada yang tahu mengenai sikap latahnya itu.
Keadaan itu membuat kakaknya mengelak daripada menghadiri majlis keraian di kampung kerana tidak mahu orang lain mengambil kesempatan atas tabiatnya itu, selain mengalami sedikit masalah kesihatan.
"Kakak saya ni bila dia begitu (melatah) kita tengok terhibur juga. Jangan bagi dia terkejut. Kalau orang tidak usik pun dia akan melatah juga sekiranya ada benda-benda yang membuatnya terkejut," katanya.
Apabila ditanya berapa lama apabila mak cik Jurumiah sesekali melatah, Pak Yan memberitahu, ada sekejap, ada yang lama dan paling lama sampai 20 minit, itupun kerana dia diusik berterusan.
Katanya, apabila kakaknya melatah dia tidak akan sedar langsung apa yang dibuat dan disebutnya.
"Tapi saya tidak suka mengusik dia. Saya tidak pernah membuat dia melatah. Saya juga nasihatkan anak-anak saya dan keluarganya agar jangan selalu buat dia melatah. Tidak baik. Dia tentunya tidak suka biarpun kita ketawa melihatnya.
"Saya sebenarnya kasihan melihat dia dalam keadaan dirinya yang tua dan kesihatannya yang tidak menentu apabila diusik dan melatah.
"Selalunya saya yang akan mengawal keadaan agar dia tidak melatah kerana bila sudah mula melatah susah nak berhenti," katanya.
Apabila diajukan Pak Yan pertanyaan mengenai tidak ramai individu yang dilihat melatah sekarang, dia berkata, tidak seperti dahulu orang melatah sering dijumpai di majlis-majlis keraian dan perkahwinan berbanding sekarang semakin berkurangan.
"Apa yang tinggal sekarang mungkin hanya generasi tua yang melatah. Di kampung ini pun setahu saya kakak saya saja yang paling kuat melatah, tiada lagi orang lain yang melatah di sini.
"Setakat bercakap sikit-sikit, opocot itu ini... itu bukan latah. Itu buat-buat latah. Kalau nak tengok latah yang sebenar... tengoklah tingkah laku kakak saya ketika dia melatah," katanya mengakhiri perbualan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: