Tuesday, June 19, 2012

Jiwa romantis Erma

ERMA bersama pelakon drama Dejavu di Kinabalu.
ERMA bersama pelakon drama Dejavu di Kinabalu.
ANDAI sebelum ini naskhah pengarah, Erma Fatima sering dilabel 'berat' seperti Tahajud Cinta atau Aku Bukan Maryam, kali ini buah tangan terbaru tulisan dan arahan insan seni ini lebih ringan bertemakan cinta.

Erma mengakui kali ini dia mahu meneroka dunia cinta dan tanpa disangka, dalam hati rupanya masih banyak kasih dan sayang yang tidak diluah malah dirasakan boleh menjadi bahan segar drama cinta.
“Kisah Dejavu di Kinabalu ini adalah sebuah drama yang ringkas dan penuh rasa cinta. Istimewanya drama 28 episod ini tidak berpandukan skrip sebaliknya hanya menggunakan treatment iaitu pelakon melontarkan dialog secara spontan.
Saya melihat kejayaan drama ini lebih kepada semangat produksi dan pelakon kerana tanpa mereka, ia akan menjadi drama yang gagal. - Erma Fatima, Pengarah
“Saya tidaklah rasa tertekan menyediakan skrip ketika penggambaran kerana apa yang penting adalah jadual. Kami berada di kaki gunung itu selama dua hari dan satu hari saja untuk mengambil visual puncak gunung. Itu pun cuma lebih kurang empat jam saja kerana waktu cukup terbatas.

“Saya agak terkilan kerana banyak visual tidak dapat diambil. Malah beberapa orang penting produksi seperti jurugambar, pembantu pengarah, pengarah seni dan seorang pelakon tidak berdaya lagi naik ke atas membuatkan saya menggagahkan diri naik ke puncak,” katanya.

Erma atau nama sebenarnya, Fatimah Rahmad mengakui pertama kali mendaki Gunung Kinabalu. Dia berjanji untuk kembali ke gunung tertinggi Asia itu bagi merakamkan lebih banyak visual menarik.

“Saya melihat kejayaan drama ini lebih kepada semangat produksi dan pelakon kerana tanpa mereka, ia akan menjadi drama yang gagal. Kami dapat daki Gunung Kinabalu pun disebabkan semangat untuk meneruskan perjuangan ini,” katanya.
Erma berkata, dia jatuh cinta kepada hero dan heroin drama arahannya kali ini iaitu Aqasha dan Tiz Zaqyah.

“Mereka cukup serasi dan saya teruja melihat mereka mampu menjadi pasangan yang begitu selesa di set penggambaran,” katanya.

Dejavu di Kinabalu mengisi slot Akasia. Drama bersiri ini menemui penonton setiap Isnin dan Khamis jam 7 malam, mulai malam tadi.

Naskhah terbaru Erma ini membariskan pelakon popular seperti Aqasha; Tiz Zaqyah; Nazim Othman; Aishah Ilias; Meor Ariff; Sharifah Nadia Yusnita; Rebecca Nur Islam dan Fadhilah Mansor.

Drama bersiri ini mengisahkan kehidupan Nadira selepas melalui proses pemindahan jantung dari seorang penderma organ. Kesan dari prosedur pemindahan jantung itu, tanpa disedari, Nadira menerima sebahagian daripada sifat penderma organ berkenaan.

Takdir kemudian menemukan Nadira dan Ammar, teman lelaki kepada penderma jantung terbabit. Pertemuan pertama di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) antara Ammar yang baru pulang dari Australia dengan Nadira yang hendak bercuti ke Kundasang, Sabah, membawa 1,001 kisah antara mereka berdua.

BIODATA: Erma Fatima
  • Nama: Fatimah Rahmad
  • Tarikh lahir : 14 Mac 1968
  • Status : Berkahwin
  • Suami : Badaruddin Azmi

  • Kerjaya: Pelakon, pengarah, penerbit filem, penerbit TV dan penulis.

  • Anugerah :
    Festival Filem Malaysia ke 7 - Pelakon Pembantu Wanita terbaik (1987)
    Festival Filem Malaysia ke 9 - Pelakon wanita Terbaik (1991)
    Festival Filem Malaysia ke 10 - Pelakon Wanita Terbaik (Watak Pembantu) (1992)
    Festival Filem Malaysia ke 11 - Pelakon Wanita Terbaik (1994)

  • Filem (Lakonan) : Rozana Cinta 87; Kolej 56; Hantu Siang; Bintang Malam; Fantasia dan Hati Bukan Kristal.

  • Filem (Arahan) : Jimi Asmara; Perempuan Melayu Terakhir; Embun dan Diva Popular Drama TV/Telefilem (Lakonan) : Hello, Jangan, Sumaiyah, Haryati, Daerah Syafiqah

  • Drama TV/Telefilem (Arahan) : Aku Anak Siapa; Mat Pizza; Selamat Pengantin Baru Datuk; Cinta SMS; Antara; Hanya Dikau; Ratu Jamu dan Pengantin Popular.

  • Teater : Hulu Melaka, Lantai T Pinkie, Mencari Juita, Mambo Horse

  • Pencapaian : Pengarah Terbaik Festival Filem Pyongyang (2001) - Perempuan Melayu Terakhir, Pelakon Wanita Terbaik FFM11 (Femina) - 1994, Pelakon Filem Pembantu Wanita Popular BH/RTM - 1993, Pelakon Pembantu Terbaik FFM10 - 1992, Pelakon Wanita Popular BH / RTM - 1991, Pelakon Wanita Terbaik FFM9 (Hati Bukan Kristal) - 1991 dan Pelakon Pembantu Wanita Popular BH/RTM - 1989, Pelakon Pembantu Wanita Terbaik FFM7 (Puteri) - 1987.
  • No comments:

    Post a Comment

    Tinggalkan Komen Anda Sini: