Monday, June 4, 2012

Ibu tidak lelah tiup semangat



BAIK Mohammad Zarrieff Nasir, 24, mahupun Azura Mazaruddin, 28, mereka berkongsi isi hati yang sama. Bicara kedua-dua anak muda tersebut, kejayaan yang dikecapi hari ini pastinya sukar dicapai tanpa dorongan dan kritikan daripada seorang insan yang dipanggil ibu.

Jatuh dan bangun sepanjang meniti landasan kerjaya sebagai pereka fesyen ditempuhinya bersama ibu. Kadangkala si ibu dilihat lebih tabah dan kuat semata-mata untuk meniup semangat positif kepada sang permata hati. Mereka mengakui, pada fasa permulaan begitu gusar untuk memilih bidang rekaan fesyen kerana melihat bisnes berkenaan tidak mempunyai prospek luas.

Berkat dorongan yang berterusan daripada ibu tersayang maka kedua-dua pereka itu bertekad mengatur langkah dalam industri fesyen tempatan meskipun terpaksa bertatih dari bawah dan bersaing dengan pereka senior yang sudah mencipta nama.

"Sewaktu remaja, saya menanam impian untuk mengusahakan bisnes hiasan dalaman kerana terlalu meminati meminati seni rekaan perabot, dekorasi dan gubahan. Lagipun, sejak kecil, saya sudah terdedah pada bidang ini memandangkan ayah seorang arkitek landskap, manakala ibu pula terlibat dalam bisnes gubahan bunga.

"Kini ibu dan ayah, menjalankan perniagaan pembuatan perabot dan hiasan dalaman di Sungai Buloh, Selangor. Jadi saya fikir lebih baik mendalami bidang ini.

"Sekurang-kurangnya selepas menamatkan pengajian, saya boleh membantu menguruskan bisnes keluarga," jelas Mohammad Zarrieff ketika ditemui Stailo di di butiknya yang berlokasi di Taman Gombak Setia, Gombak, Selangor.


ZARRIEFF di sisi ibunya, Nor Azlyna bergambardi depan butik Zarrieffdi Taman Gombak Setia, Gombak, Selangor


Menyambung bicara, anak kepada pasangan Nasir Ismail, 56 dan ibu, Nor Azlyna Aziz, 49, menyatakan, sebaik saja tamat persekolahan, ibu menyarankan supaya memilih jurusan rekaan fesyen untuk menambah variasi seni rekaan dalam keluarganya.

Pada mulanya, Zarrieff tidak yakin kerana jari-jemarinya hanya selesa melakar rekaan perabot. Namun, ternyata si ibu lebih arif menilai potensi anak-anak sehingga pereka yang berketinggian 178 sentimeter itu berani menyahut cabaran ibunya.

Memenuhi hasrat ibu

"Saya memenuhi permintaan ibu dengan hati terbuka. Tiada istilah dipaksa atau terpaksa kerana saya sedar ibu berusaha mencari sesuatu yang terbaik untuk saya. Lagipun bermula pada usia lima tahun saya sentiasa bertindak sebagai 'perunding imej' ibu.

"Acap kali sebelum keluar rumah, saya membantu ibu memilih aksesori dan sepatu yang sesuai. Lazimnya, pilihan saya cocok dengan destinasi dan acara yang dihadiri ibu (ketawa)," tutur Zarrieff, yang pernah menghasilkan busana Datuk Siti Nurhaliza dalam program bual bicara Siti yang disiarkan menerusi saluran Astro.

Sambil membetulkan blaus cetakan batik yang digayakan ibunya, graduan Ijazah Rekaan Fesyen dari Universiti Middlesex, London itu tidak henti-henti bersyukur dan berterima kasih kepada ibunya kerana memilih jurusan yang tepat buat dirinya. Kini dia bukan saja berkebolehan mereka busana, malah kreatif menghasilkan kasut pelbagai stail dan konsep.

"Saya mengalakkannya melanjutkan pelajaran di London memandangkan di sana sarat dengan ilmu fesyen. Pada masa yang sama, saya ingin dia belajar cara penampilan masyarakat tempatan dan menjenguk rumah-rumah fesyen antarabangsa di sana," terang Nor Azlyna yang pada mulanya berat hati untuk berpisah dengan anaknya.


NOR AZLYNA membimbing Zarrieff dalam bidang fesyen dan dekorasi berdasarkan pengalaman yang dimilikinya selama dua dekad sebagai ahli perniagaan dalam bidang itu.


Sehinggakan pada satu ketika, Nor Azlyna sanggup terbang ke London bersama suami dalam keadaan tergesa-gesa, disebabkan Zarrieff tidak muncul dalam talian selama dua hari.

Tambah wanita yang memiliki darah campuran Jepun dan British (sebelah ibu), manakala Melayu (sebelah bapa), dia sentiasa menasihatkan anaknya supaya mahir dalam aspek rekaan, jahitan dan operasi butik. Ini bagi mengelakkan dirinya ditipu oleh pekerja bawahan.

Anak yang baik

Bagi Azizah Johari, 50, pula, beliau menyifatkan Azura seorang anak yang penyayang dan patuh kepada ibu bapa. Dalam apa jua situasi, anak sulungnya itu akan memberi keutamaan kepada keluarga.

"Azura sentiasa bekerja keras dan pantang berundur selagi belum berjaya memperoleh sesuatu yang dihajati. Misalnya, jika rekaan yang dihasilkan masih belum mampu menambat hati pelanggan, dia tidak mengeluh sebaliknya tanpa jemu melakar rekaan fesyen yang terbaik.

"Saya kagum dengan keupayaannya pada hari ini. Dia fokus dan sentiasa berusaha sehingga kebanyakan kerja menjahit dilakukannya sendiri. Sebelum mampu membuka butik dan mengupah pekerja, Azura sanggup bersengkang mata siang dan malam menyiapkan baju pelanggan sambil dibantu kami sekeluarga," kata Azizah yang berkongsi minat membeli-belah, menonton wayang dan bersantai bersama Azura.

Tambah ibu kepada lima orang cahaya mata itu, selain bertindak sebagai tulang belakang karier dan ibu kepada Azura, dia juga merupakan pengkritik tetap pada setiap produk jenama Azura Couture. Jelasnya, cara tersebut pendekatan yang ideal bagi meningkatkan lagi prestasi dan mutu busana serta sepatu rekaan Azura.

Dalam pada itu, Azura yang merupakan graduan bidang rekaan fesyen dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam memberitahu, sinarnya mula berkerlip terang dalam industri fesyen tempatan sejak mengungguli Anugerah Jarum Berlian pada tahun 2003.


AZURA (kanan) gemar menonton wayang dan bersiar-siar bersama ibunya.


"Pencapaian yang dikecapi ini hasil dorongan dan didikan daripada ibu. Jatuh dan bangun saya, ibulah peniup semangat. Dia amat memahami setiap kali saya berhadapan dengan masalah. Lebih mengharukan ibu sanggup turun padang membantu saya menguruskan hal tempahan, jahitan, mengangkat stok barang dan menemani sepanjang malam sewaktu menyempurnakan tempahan pelanggan.

"Sukar untuk dijelaskan apatah lagi dihitung sumbangan ibu kepada saya. Apa yang pasti, ibu sentiasa berada di sisi setiap kali saya berada dalam kesusahan. Selain itu, ibu juga selalu berkongsi idea rekaan dan konsep perincian yang kadangkala tak terfikir dek fikiran saya," jelas Azura yang berbangga dilahirkan sebagai anak kepada Azizah Johari dan Mazaruddin Hamzah.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: