Monday, June 4, 2012

EKSENTRIK JOHNNY DEPP


KOSTUM lanun yang digayakan Johnny Depp dalam filem Pirates of the Caribbean.



MASIH ingatkah anda dengan karakter Edward dalam filem Edward Scissorhands pada tahun 1990 atau Willy Wonka dalam Charlie and the Chocolate Factory pada tahun 2005? Jika memori anda belum cukup menelah, siapa di sebalik watak itu mungkin anda kenal siapa Kapten Jack Sparrow menerusi filem Pirates of the Caribbean.

Individu yang dimaksudkan tidak lain tidak bukan ialah Johnny Depp, aktor serba boleh yang sering tampil dengan kostum dan solekan tebal dalam hampir setiap filem lakonannya.

Depp ikon fesyen

Hidup jejaka berbintang Gemini ini cukup bertuah. Selain digilai wanita-wanita seluruh dunia kerana ketampanan wajahnya, Depp juga dijadikan idola kebanyakan lelaki yang tertarik dengan gaya fesyennya. Siapa sangka fesyen tersendiri yang dibawa Depp meletakkan beliau sebagai salah satu ikon fesyen dunia.

Baru-baru ini, Council of Fashion Designers of America (CFDA) mengumumkan bahawa Johnny Depp dipilih sebagai penerima Anugerah Ikon Fesyen untuk tahun ini. Menariknya, Depp menjadi lelaki pertama menerima pengiktirafan tersebut yang sebelum ini disandang bintang-bintang wanita seperti penyanyi, Lady Gaga dan supermodel, Iman.

Sepanjang lebih 25 tahun bertapak dalam industri perfileman Hollywood, Depp tidak pernah tampil dalam busana yang mengecewakan. Sejak usianya 20-an lagi, Depp mula bereksperimen dengan gaya yang ingin dibawa. Anda harus mengakui tiada orang mampu membawakan gaya Johnny Depp dengan baik selain dirinya sendiri. Johnny Depp ialah Johnny Depp!

Jean pudar, topi fedora, baju T hitam, kaca mata bingkai hitam, jaket kulit dan aksesori berlapis seperti rantai menjadi item kekunci gaya seorang Johnny Depp.

Jadi diri sendiri


GAYA Jonny Depp sewaktu membintangi filem Edward Scissorhands, pada tahun 1990.


Bagi yang tidak biasa melihat Depp berjalan di acara karpet merah, mungkin penampilan beliau dianggap berserabut dan tidak kemas.

Tetapi siapa yang mampu membawakan gaya lelaki nakal dengan wajah tampan selain Depp? Rambut panjang dan jambang menjadi identiti Depp. Ia menyerlahkan sisi unik dan misteri di sebalik karakter Depp yang sememangnya diakui sebagai jejaka yang mahu tampak berbeza.

Membentuk gaya tersendiri membuktikan Depp tidak perlu mengikut arus fesyen yang ditetapkan sesetengah pihak untuk tampak segak. Beliau hanya menjadi diri sendiri dan mencipta pemakaian yang bertepatan dengan personaliti.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: