Saturday, February 11, 2012

Zizi penyambung warisan seni silat


GERAK langkah silat sememangnya pantas namun penuh dengan nilai kesenian.


JIKA dilihat dari luaran, penulis tidak menyangkakan penyampai radio Suria FM yang mengendalikan segmen Menu Ceria ini sebenarnya mempunyai minat yang sangat mendalam dalam seni mempertahankan diri Melayu, silat.

Mula mempelajari warisan seni tersebut seawal umur 14 tahun, kini Zizi nekad mahu memastikan ia sentiasa dekat dalam kehidupannya, sejajar dengan perjuangan agar tidak ditelan zaman.

Sentiasa ingin mencabar diri melakukan yang terbaik, Zizi atau nama sebenarnya Ahmad Zuwairi Mohd Nor sudah mencapai tahap Murid Tua dalam seni silat Gerak Nobat Pusaka yang dipelajarinya sejak di bangku sekolah itu.

Membawa S3 ke gelanggang silat yang terletak di Tehel, Melaka baru-baru ini, ternyata Zizi sememangnya mempunyai semangat juang yang tinggi dalam memartabatkan seni silat.

Menceritakan kembali bagaimana dia mula terlibat dalam seni mempertahankan diri itu, Zizi lebih suka mengibaratkan dirinya sebagai seorang yang sentiasa ingin mengetahui sesuatu perkara dengan lebih mendalam.

“Ketika saya berusia lapan tahun lagi saya sudah diperkenalkan dengan silat Helang Putih.

“Bermula daripada apa yang saya pelajari ketika itu, saya mula tertarik dengan setiap pergerakan dan kesenian yang wujud di dalam silat namun dalam masa yang sama saya juga masih tercari-cari dan cuba memahami seni ini dengan lebih mendalam.

“Lantas ketika umur saya menjangkau 14 tahun, saya telah dikenalkan dengan seorang guru silat, Hesmisham Sabdin atau lebih dikenali sebagai Abang Amy.

“Bermula daripada situ saya terus belajar mengenai silat Gerak Nobat Pesaka yang menggabungkan buah harimau dan juga kuntau Melayu sehingga kini.

“Malah sekiranya tiada perkara yang menghalang, saya akan datang ke gelanggang ini setiap Jumaat malam,” katanya.

Bina ketahanan diri, pupuk nilai murni

Menurut Zizi, bukan mudah untuk mempelajari seni silat jika seseorang tiada ketahanan mental dan fizikal.

Ini kerana, kata Zizi, tanpa ketahanan diri yang kuat, tidak mudah bagi seseorang itu untuk menjalani latihan berat sepanjang mempelajari seni tersebut.

“Silat ini sebenarnya berasal daripada perkataan silap. Panglima-panglima dahulu kala belajar silat melalui kesilapan yang mereka lakukan.

“Ketika mula berguru dan mempelajari silat Gerak Nobat Pusaka ini, ada 17 orang murid kesemuanya namun akhirnya jumlah itu berkurangan.

“Bayangkanlah selama tiga bulan kami hanya mempelajari untuk menguatkan kuda-kuda sahaja dan akhirnya hanya tinggal tiga orang sahaja yang kekal.

“Memang tidak dinafikan, silat menuntut kesabaran dan ketahanan diri yang sangat kuat. Jika tidak tahan, memang seseorang individu itu akan cepat mengalah,” jelas penyampai radio popular yang sudah menjangkau umur 30 tahun itu lagi.

Sepanjang penglibatannya dalam seni silat tersebut, Zizi bersyukur kerana tidak mengalami sebarang kecederaan serius ketika sedang melakukan latihan.

“Jika bibir pecah dan mengalami lebam dan bengkak, itu sudah menjadi perkara biasa.

“Malah apa yang penting jika kita sedang dalam latihan bertarung, kesabaran adalah perkara utama yang harus dijaga.

“Jika kita dapat mengawal kesabaran dan tidak terikut-ikut dengan kemarahan, Insya-Allah kita akan lebih tenang dan mampu untuk memenangi sesuatu situasi tersebut,” jelasnya lagi.

Meneruskan perjuangan silat

Sejajar dengan niat murninya untuk meneruskan warisan Melayu ini, Zizi menyimpan hasrat untuk membuka sebuah gimnasium yang turut menyediakan gelanggang untuk mempelajari silat.

“Saya memang menyimpan hasrat untuk melakukan perkara ini sebab saya mahu mengembangkan lagi warisan seni kita ini.

“Malah jika tempat itu juga turut menyediakan perkhidmatan seperti yang terdapat di gimnasium sudah semestinya ia akan menjadi satu pakej yang lengkap,” katanya lagi.

Selain itu, Zizi juga mempunyai pandangannya tersendiri bagi memastikan seni silat ini akan sentiasa mendapat perhatian di mata peminat seni tanah air.

Namun setiap kali melihat seni silat dibawa ke kaca televisyen mahu pun layar perak, jujurnya anak kelahiran Melaka itu mengakui sangat kecewa kerana apa yang dipaparkan adalah terlalu sedikit mengenai seni mempertahankan diri.

“Bagi pendapat saya, tidak salah kiranya seni ini turut diangkat setaraf dengan seni mempertahankan diri yang lain.

“Jika bukan kita sendiri yang memperkenalkan perkara ini, siapa lagi.

“Tidak salah kiranya jika penggiat filem tanah air turut memperlihatkan seni silat ini sebagai salah satu seni mempertahankan diri yang hebat.

“Sepanjang apa yang saya lihat di kaca televisyen, kebanyakan silat yang ditampilkan tampak perlahan dan diambil daripada asasnya sahaja.

“Saya yakin bagi semua penggiat seni silat, kami sememangnya mahu melihat perkara ini dipaparkan dengan lebih serius dan mendalam lagi.

“Malah ia juga dapat menarik lebih ramai orang untuk mengenali dan berminat untuk mempelajari seni mempertahankan diri ini,” katanya sebelum menutup bicara.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: