Wednesday, February 8, 2012

Usaha rapatkan jurang komunikasi

Terletak kira-kira 16 kilometer dari bandar Kuala Rompin, Pahang, Kampung Bukit Serdang merupakan sebahagian daripada kampung-kampung di sekitar daerah Rompin dan di Pulau Tioman yang bakal mendapat manfaat daripada program T3 yang sedang giat dilaksanakan.



BERTUAH sungguh masyarakat di bandar-bandar utama tanah air kerana kehidupan mereka sudah lama dipermudahkan dengan pelbagai jaringan telekomunikasi yang pantas dan terhubung.

Lebih daripada medium telefon, mereka sudah boleh mencapai akses data dan komunikasi generasi terbaharu yang menjadikan rutin hidup mereka selari dengan keperluan dan kehendak dunia urban dan global.

Namun, bagi penduduk yang mendiami kawasan ladang kelapa sawit berhampiran perkampungan Orang Asli, Kampung Bukit Serdang, Kuala Rompin, Pahang, mereka hanya mahukan satu kemudahan biasa zaman ini sebagai langkah mula.

Tanpa liputan jelas untuk 'menghidupkan' fungsi telefon bimbit mereka, segalanya dirasakan terkebelakang.

Walaupun ada sesetengah kediaman di kampung itu memiliki talian tetap, masih ramai lagi yang ingin merasakan 'nikmat' menggunakan telefon bimbit untuk menjalankan pelbagai urusan.

Dengan sosioekonomi pertanian dan perniagaan sara diri berskala kecil, ramai penduduknya mahu berurusan dengan pekerja, pembekal, pembeli dan pelanggan dari lokasi luar yang jauh daripada premis kerja atau kediaman.

Rasa terasing

"Kalau bukan kerana keperluan kerja, kami juga mahu berhubung dengan ahli keluarga dan saudara-mara yang datang dari jauh ke kampung ini.

"Bagi yang tiada talian tetap di rumah, mereka seumpama terasing daripada dunia luar. Mereka langsung tidak boleh menduga soal kunjungan tetamu, penyampaian khabar penting dari jauh, bertindak cepat pada waktu kecemasan mahupun menjejak lokasi anak-anak yang belum pulang ke rumah," rungut seorang warga kampung itu.

Tambahnya, jika adapun yang tegar untuk menggunakan telefon bimbit di kampung itu, isyarat yang diterima pula tidak menentu.

"Ramai yang perlu berjalan jauh ke jalan utama berdekatan bandar, mendaki bukit malah perlu berdiri kaku di hujung anjung dan tangga rumah, hanya untuk mendapatkan kualiti isyarat liputan yang lemah serta sering terputus-putus.

Kini semua 'mimpi ngeri' itu bakal berakhir. Kampung Bukit Serdang pada November tahun lalu dimeriahkan dengan upacara pecah tanah tanda pelaksanaan majlis Pembinaan Struktur Telekomunikasi Program Pemberian Perkhidmatan Sejagat (USP) di bawah Pakej Inisiatif Jalur Lebar Negara peringkat Pahang.

Antara tetamu kenamaan yang turut hadir bagi meniupkan khabar gembira kepada penduduk kampung itu ialah Timbalan Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Wilayah Timur, Syed Ahmad Anas Syed Omar dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tioman, Kapten (B), Datuk Mohd. Johari Hussain.

Sejarah besar


BANYAK faktor yang perlu diambil kira untuk membina tapak menara telekomunikasi.


Dalam hingar-bingar keramaian tersebut, Ajat Toman tidak terkecuali. Selaku Tok Batin Kampung Bukit Serdang, dia tidak mahu terlepas menyaksikan upacara yang penuh bersejarah itu.

Lelaki berusia 63 tahun tersebut tekun melihat kerja-kerja pembinaan yang sedang dijalankan ketika sesi lawatan ke tapak projek. Terdapat struktur-struktur konkrit berbentuk segi tiga yang tertanam kukuh di dalam sebuah lubang besar.

Dia diberitahu, ia merupakan sebahagian kerja-kerja pembinaan tapak menara pemancar setinggi 60 meter itu. Peringkat seterusnya ialah pemasangan menara dan peralatan komunikasi yang dijangka selesai dalam tempoh beberapa bulan lagi.

"Sudah lama kami menunggu saat-saat ini. Pembinaan menara pemancar ini besar ertinya kepada penduduk di kampung ini dan kampung-kampung sekitar," ujar Ajat.

Tambahnya, ketiadaan menara pemancar telekomunikasi di kawasan itu menyebabkan jurang komunikasi antara penduduk semakin besar berbanding mereka yang tinggal di bandar.

Katanya, menara pemancar yang sedia ada tidak mampu menyalurkan isyarat ke perkampungan itu yang terletak kira-kira 16 kilometer dari bandar Kuala Rompin.

"Sekarang ini, ada telefon bimbit pun tak berbaloi sebab tiada isyarat. Jika ada pun ia tidak jelas," keluhnya.

Disebabkan itu, agak sukar sekiranya penduduk mahu mendapatkan bantuan sekiranya berlaku kes-kes kecemasan.

"Penduduk di sini bukannya semewah mana. Semua bergantung hidup kepada kerja-kerja kampung dan pertanian dan tidak semua memiliki kenderaan sendiri untuk melancarkan urusan dengan pihak yang jauh dari kampung.

"Pernah juga ada penduduk yang terpaksa bersalin di rumah gara-gara tidak sempat menghubungi sesiapa apatah lagi pihak hospital untuk mendapatkan rawatan," ceritanya.

Peningkatan selular


BANYAK manfaat perhubungan dapat dirasai oleh penduduk Kampung Bukit Serdang selepas projek pembinaan menara telekomunikasi berjaya disempurnakan.


Kini, melalui projek yang sedang rancak berlangsung itu, Kampung Bukit Serdang menjadi sebahagian daripada kampung-kampung di sekitar daerah Rompin dan Pulau Tioman yang bakal mendapat manfaat daripada program berkenaan.

Sebanyak 35 menara pemancar kini rancak dibina di kawasan-kawasan yang telah dikenal pasti bagi membolehkan penduduk mendapatkan perkhidmatan selular yang lebih baik pada masa hadapan.

Syarikat yang bertanggungjawab merealisasikan hasrat itu ialah Realm Energy Sdn. Bhd. yang berpangkalan di ibu negara.

Menurut Pengurus Projeknya, Muhammad Shahzadar Mohdzar, pelaksanaan program peningkatan selular terutama di kawasan pedalaman dan luar bandar atau Time 3 (T3) di daerah itu giat dilaksanakan sejak Julai 2010.

Katanya, setiap menara pemancar yang terdapat di sekitar Rompin itu mampu memberikan liputan perkhidmatan data suara 2G pada jarak sejauh empat kilometer.

Muhammad Shahzadar menjelaskan, sebelum pembinaan sesebuah menara pemancar, pihaknya akan melakukan tinjauan dan kajian di lokasi yang telah dikenal pasti bersama wakil syarikat telekomunikasi.

Beberapa teknik digunakan termasuk teknik belon untuk menentukan kedudukan rangkaian di antara sesebuah menara dengan menara yang lain.

"Pelaksanaan projek ini merupakan antara cabaran besar bagi syarikat kami kerana setiap lokasi mempunyai bentuk muka bumi yang berbeza-beza dan jauh daripada laluan utama," ujarnya.

Cabaran itu lebih sukar sekiranya lokasi itu tidak boleh diakses dengan kenderaan khususnya lori yang membawa bahan-bahan binaan.

"Di situlah kebijaksanaan digunakan untuk mengatasi segala halangan yang wujud. Kami tidak mempunyai banyak pilihan kerana setiap menara perlu disiapkan mengikut tempoh yang ditetapkan," ujarnya.

Selain itu, masalah juga wujud apabila tapak yang dicadangkan itu merupakan tanah milik persendirian.

Ujarnya, pihaknya bukan sahaja terpaksa mengenal pasti pemilik tanah melalui bantuan penduduk setempat, malah terpaksa berunding beberapa kali sebelum dapat mendapat persetujuan yang diinginkan.

Gangguan cuaca

Katanya, cabaran yang dihadapi tidak terhad setakat itu sahaja sebaliknya berterusan sehingga proses pelaksanaannya.

"Faktor cuaca juga menguji kelancaran komitmen kami. Jika musim hujan, kami terpaksa menghentikan kerja-kerja kerana bimbang risiko tanah runtuh. Adakalanya, kami terpaksa menggunakan pam bagi menyedut air yang memenuhi tapak projek.

"Bagaimanapun, kami banyak belajar dari pengalaman sebelum ini. Dahulu, melalui projek yang sama di sekitar Kelantan, telah berlaku kejadian jambatan runtuh akibat arus kuat," katanya.

Berpengalaman di dalam dunia pembinaan ketika mengendalikan beberapa projek sebelum ini, Muhammad Shahzadar menganggapnya sebagai alah bisa tegal biasa.

"Semua penat lelah itu hilang sebaik melihat setiap menara pemancar berdiri dengan megah di depan mata.

"Pastinya, apabila ia berfungsi sepenuhnya nanti, seluruh penduduk di daerah ini akan mendapat manfaat darinya," ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: