RASAI PENGALAMAN... sebahagian pengunjung dibawa merasai pengalaman menggunakan deria bau dengan pelbagai bahan berlainan yang dijadikan ektrak dalam koleksi terbaru Dr Andrew Weil for Origins Mega-Bright Skin lluminating.
KULIT kusam, tidak bermaya, kewujudan garis halus pada kulit serta kedutan adalah antara proses alami yang perlu dilalui setiap individu apabila usia makin meningkat.
Namun bagi wanita, proses semula jadi berkenaan sering menjadi sesuatu yang membimbangkan dan ingin dilengahkan selama mungkin yang boleh.
Malah, mereka sanggup melalui pelbagai proses rawatan yang adakalanya bukan saja tidak memberikan kesan yang diingini sebaliknya memudaratkan lagi masalah yang dialami. Ini kerana ia hanya dilakukan bagi merawat faktor luaran saja bukan daripada segi dalaman.
Menurut Pengasas merangkap Pengarah Pusat Integratif Perubatan Arizona, Pusat sains Kesihatan, Universiti Arizona, Dr Andrew Weil, penuaan adalah suatu proses semula jadi yang pasti dilalui dan setiap individu perlu menerimanya dengan terbuka.Malah katanya, wanita juga perlu menangani proses penuaan terbabit secara sihat dan bukannya mengusutkan fikiran dengan memikirkan sesuatu yang tidak berfaedah hingga memberi kesan kepada kesihatan diri.
“Memiliki kulit yang sihat bermakna kulit wajah berada pada tahap maksimum dengan penuh keanjalan, keserian, pigmen kulit sekata serta tidak kering dan kusam.
“Oleh itu, jalani kehidupan harian dengan cara yang sihat, dekatkan diri dengan alam semula jadi, lakukan senaman sekerap mungkin dan paling penting amalkan pengambilan diet pemakanan seimbang yang menyihatkan,” katanya.
Tidak dinafikan katanya, dalam kehidupan kini tekanan banyak memainkan peranan dalam kehidupan setiap individu dan ia sedikit sebanyak mempengaruhi keseluruhan fizikal personaliti individu berkenaan.
Malah Dr Weil berkata, peningkatan gejala kemurungan di seluruh dunia kini adalah sesuatu yang membimbangkan kerana ia menunjukkan aktiviti kehidupan harian yang tidak seimbang hingga mengakibatkan peningkatan kepada masalah terbabit.
“Penting untuk cuba mencari masa bagi merehatkan diri serta menghindari aktiviti harian yang serba pantas dan lalui hari anda dengan suasana lebih menenangkan.
“Lakukan sedikit meditasi bagi menenangkan diri, amalkan gaya hidup sihat serta jauhkan diri daripada segala masalah yang boleh membebankan diri secara keseluruhan,” katanya.
Ditemui pada majlis pelancaran rangkaian produk penjagaan kecantikan kulit Origins di Hong Kong, baru-baru ini, beliau juga berkata, merokok adalah antara faktor utama yang memberikan pelbagai masalah pada kesihatan. Kandungan bahan di dalam rokok juga boleh menyebabkan kulit wajah menjadi kusam dan tidak berseri.
Malah, ia juga boleh menampakkan individu terbabit tua sebelum usianya disebabkan kandungan kimia yang digunakan di dalam bahan terbabit mula sebati dalam diri.
Disebabkan itu, keseimbangan antara setiap perkara yang dilakukan penting dan jika kehidupan hanya tertumpu di dalam rumah tanpa keluar menikmati alam walaupun seketika, ia adalah sesuatu yang tidak normal.
“Jangan menganggap jika berkurung di rumah boleh menjadikan kulit wajah kurang masalah garis halus ataupun kedutan kerana ia tetap akan berlaku memandangkan proses terbabit berlaku secara semula jadi. Paling penting adalah mengetahui cara untuk menanganinya agar ia boleh berlaku dengan lebih baik.
“Selain itu, penting untuk menerima dan menyukai diri sendiri dalam segala hal terlebih dulu sebelum melakukan sesuatu perkara. Namun tidak dinafikan ia sukar dilakukan selain memerlukan kesungguhan berterusan,” katanya.
Selain itu, Dr Weil juga turut menulis beberapa buku berkaitan kaedah untuk hidup sihat dan bahagia antaranya, Spontaneous Healing, 8 Weeks to Optimum Health, Eating Well for Optimum Health, The Healthy Kitchen dan Healthy Aging.
Dr Weil berkata, tidak dinafikan ramai beranggapan kebahagiaan hanya boleh dicari melalui faktor luaran tetapi ia sepatutnya dimulakan secara dalaman kerana jika faktor dalaman tidak tenteram, ia tidak akan mencapai perasaan bahagia.
Selain itu, makanan sampingan mungkin boleh dijadikan sebagai alat bantuan tambahan untuk mendapatkan nutrisi diperlukan bagi mendapatkan kesihatan yang baik tetapi bukan bermakna ia boleh dijadikan bahan gantian kepada keperluan berkenaan.
Malah, dengan kebanyakan ‘ubat tambahan’ yang diambil atas dasar kesihatan, ia adalah sesuatu yang tidak begitu baik untuk diamalkan terutama bagi jangka masa panjang kerana boleh menimbulkan masalah lain.
“Tidak dinafikan kesan yang diperoleh mungkin lebih berkesan namun ia boleh memburukkan lagi kesan alahan yang dialami terutama pada kulit kerana bahagian berkenaan adalah lebih sensitif memandangkan ia lebih banyak terdedah kepada pencemaran luaran.
“Bukan saja ia tidak merawatnya secara dalaman malah ia menjadikannya lebih sukar untuk dirawat. Sebaiknya gunakan bahan semula jadi bagi memberikan kesan lebih memberangsangkan untuk kepuasan diri,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: