Thursday, February 16, 2012

Taman Negara Chitwan diselamatkan


GAJAH Asia adalah antara 50 jenis mamalia yang mendiami Taman Negara Chitwan.


DAERAH sepi Taman Negara Diraja Chitwan, Nepal menarik perhatian orang ramai pada awal tahun lalu apabila sebuah projek pembangunan iaitu pembinaan jalan raya yang 'mencuri' kawasan taman negara itu dimulakan.

Beberapa penggubal undang-undang daripada parti Maoist, Kongres Nepali (NC) dan Parti Komunis Nepal (CPN-UML) telah membantah perjalanan projek tersebut dalam persidangan parlimen.

"Isu ini bukan sahaja melibatkan keselamatan sempadan antarabangsa, taman negara dan kemusnahan hutan malah ia sangat penting dalam memelihara rangkaian Chure (parti pemerintah).

"Sehubungan itu, kami mengambil keputusan untuk mencari penjelasan daripada pihak tentera," kata Pampha Bhusal yang mewakili parti Maoist.

Malah, menurut Arjun Joshi daripada NC, projek itu tidak pernah disebut dalam senarai program ketika pembentangan bajet tahunan dibuat.

Penduduk tempatan Chitwan pula keluar beramai-ramai di jalanan sebagai menunjukkan bantahan terhadap projek pembinaan di taman negara yang menjadi habitat badak bertanduk satu. Badak itu termasuk dalam spesies yang terancam.

Dengan pantas, Ahli Jawatankuasa Hal-ehwal Negeri Parlimen (SAC) Nepal telah mengarahkan Tentera Nepal (NA) dan kementerian pertahanan supaya mengeluarkan laporan lengkap mengenai projek pembinaan tersebut dalam tempoh lima hari.

NA adalah pihak yang bertanggungjawab menjaga CNP dan sempadan negara.

Kaki banjaran

Taman Negara Citwan yang terletak di dataran rendah atau lebih dikenali sebagai Inner Terai berkeluasan 932 kilometer persegi dan bersempadan dengan India.

Ia terletak di kaki salah satu cabang Banjaran Himalaya iaitu Banjaran Siwalik. Taman Negara Chitwan diisytihar sebagai taman negara pada tahun 1973 manakala undang-undang kecil Taman Negara Chitwan diperkenalkan pada 4 Mac 1974.

Kawasan selatan Sungai Rapti merupakan bahagian yang mula-mula dicadangkan sebagai sebuah santuari badak pada tahun 1958.

Ia kemudian disatukan dengan Taman Negara Chitwan selepas kawasan tersebut diisytihar sebagai taman negara pada tahun 1973 manakala pada tahun 1984, statusnya diisytihar sebagai Tapak Warisan Dunia.

Chitwan memiliki lebih 50 spesies mamalia berbeza, 400 spesies burung dan 65 jenis rama-rama berlainan yang tinggal di hutan pokok sal manakala terdapat lebih 70 jenis rumput yang berbeza untuk santapan gajah-gajah di situ.


PELBAGAI jenis unggas menjadikan pokok sal sebagai tempat tinggal dan membiak.


Berkurangan

Badak bertanduk satu adalah yang paling dikenali dalam katalog hidupan liar Chitwan. Dalam beberapa dekad lalu, bilangan haiwan tersebut semakin menyusut sehingga kurang daripada 100 ekor.

Tetapi, dalam pengiraan terbaharu binatang yang memiliki bahagian luar yang sangat keras itu, jumlahnya meningkat sehingga 400 ekor.

Selain itu, lebih kurang 150 ekor harimau Bengal masih mendiami Chitwan yang sebelum ini pernah menjadi habitat buat 3,000 ekor.

Ancaman terbesar yang menjadi penyebab utama pengurangan bilangan harimau itu adalah apabila habitatnya menyusut secara beransur-ansur.

Bayangkan, bagi seekor harimau jantan memerlukan kawasan seluas 60 kilometer persegi manakala harimau betina pula perlu satu pertiga luas kawasan jantan.

Adalah mustahil untuk Chitwan dapat menampung bilangan harimau yang banyak dengan keluasan yang ada.

Walau bagaimanapun, nasib semua badak dan harimau Bengal di Chitwan masih lagi baik apabila Mahkamah Agung Nepal telah mengarahkan projek pembinaan jalan raya dihentikan serta-merta.

Tindakan tersebut dilakukan kerana pembinaan yang bakal melalui kawasan dalam taman negara itu mampu menjejaskan kesan pada bio-diversiti hutan di situ.

Arahan tersebut dikeluarkan pada 11 Januari 2012 iaitu tiga hari selepas SAC mengarahkan pihak terlibat mengeluarkan laporan penuh mengenai projek pembinaan jalan itu.

Hakim Prakash Wasti mengarahkan supaya defendan tidak menandatangani sebarang perjanjian atau menjalankan kerja-kerja pembinaan dalam Taman Negara Diraja Chitwan, Nepal.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: