Wednesday, February 8, 2012

Si pemalu kini ke depan

pix_middle

SEPERTI kebanyakan wajah baru dan rakan seangkatan, Karl Shafek Ibrahim turut mencuba pelbagai cabang seni dalam usaha mencari keserasian terbaik dengan jiwanya. Dan memasuki tahun ketiga pembabitannya di dalam dunia seni sepenuh masa, anak muda ini semakin mengerti terhadap minat dan hala tujunya.

Memang dari awal lagi minatnya menjadi pengacara terserlah tetapi sifat keingintahuan terhadap bidang lain menolaknya ke depan untuk mencuba. Selepas mengacara dan berlakon, hatinya sepakat sekata lebih mencintai seperti apa yang dilakukan oleh idolanya, Aznil Nawawi.

  • Foto

  • Foto

Sebagai pengacara katanya, dia lebih bebas untuk menjadi diri sendiri berbanding lakonan yang perlu menghayati karakter berbeza.

Kelibat bekas pramugara berusia 32 tahun ini kini lebih banyak kelihatan di lokasi-lokasi uji bakat On Air termasuk ketika ditemui di Kuching, Sarawak hujung minggu lalu. Bekerjasama dengan Aznil yang bertindak sebagai Ketua Juri program terbitan Azlan Zanudin itu bagaikan hikmah berganda.“Saya memang nak buat program ini. Pertama, kerana ia program realiti pertama saya dan kedua, bekerja dengan Pak Nil (Aznil). Rugi kalau saya tidak ambil peluang untuk mengutip ilmu daripadanya yang sudah lebih 25 tahun di dalam bidang pengacaraan.


“On Air satu pengalaman baru. Saya tidak sangka Pak Nil jenis orang yang pemurah ilmu. Sebagai orang baru, mulanya saya segan-segan untuk mendekatinya, takut untuk bertanya. Saya tahu sikap itu tidak bagus tetapi malu pun ada.

“Namun saya silap, satu yang ditanya, lima yang dijawab Pak Nil. Bukan senang untuk menuntut ilmu daripada orang sepertinya. Percuma pula, bekerja sambil timba ilmu. Saya perasan Pak Nil selalu tekankan kepada intonasi kerana di dalam satu ayat, pelbagai intonasi boleh diluahkan dan itulah yang akan membayangkan apa yang seseorang hos sedang bicarakan,” kata Shafek yang menyifatkan dirinya bertuah.

Tidak hanya itu, Pak Nil turut menasihatinya supaya tidak terikat dengan skrip yang hanya ‘layak’ dijadikan panduan. Selebihnya bergantung kepada kebijaksanaan seseorang pengacara itu.

Biarpun suka bekerja di depan kamera, ironinya Karl memberitahu yang dia seorang pemalu dan pendiam ketika zaman persekolahan. Pengalaman sebagai petugas di awan biru turut membantunya mengatasi sifat itu.

“Keluarga saya pun terkejut dengan ‘keberanian’ saya. Mereka gembira dengan perubahan ini,” kata anak bongsu tiga beradik yang berasal dari Pekan, Pahang ini.

“Malah ketika belajar di kolej dulu, saya mula didedahkan dengan kamera dan TV apabila rakan-rakan menyuruh saya beraksi di dalam tugasan mereka,” katanya.

Kata model iklan ini, laluannya masih panjang untuk menjadi sehebat Aznil. Itu impiannya, walaupun ada teman yang skeptikal bertanyakan berapa lama dia mampu bertahan di pentas seni ini. Dianggapnya sebagai tujahan semangat untuknya melangkah lebih giat.

Pun begitu katanya, tawaran lakonan atau apa sahaja yang mampu dilakukan, Karl tidak menolak. Bukan sekadar rezeki wang ringgit malah pengalaman dan pendedahan kepada kepelbagaian cabang kerja seni tidak harus dilepaskan.

“Tahun lalu saya terbabit di dalam penggambaran filem Zaiton Ceritaku arahan Esma Daniel. Kebetulan saya tidak buat apa-apa, tawaran datang tepat pada masanya dan ini peluang untuk saya ke layar lebar. Filem Zaiton pula, takkan saya nak biarkan ke tangan orang lain?

“Saya sebagai Syamsul, adik yang rapat dengan Zaiton. Karakter itu memang berat bagi orang baru seperti saya. Syamsul tertekan selepas kejatuhan Zaiton (akibat kemalangan jalan raya) dan usahanya bukan sahaja untuk mengembalikan semula bintang Zaiton ke persada seni, malah semangat dan mental wanita itu,” katanya.

Sebagai Syamsul, Karl menjelaskan dia perlu banyak bermain emosi. Esma lebih memfokuskan kepada teknik lakonan sesuai dengan tema drama filem itu.

“Esma sangat terperinci. Saya selalu gementar kerana harapan agak tinggi untuk filem ini. Ini filem pertama arahan Esma dan filem pertama lakonan saya, semuanya cukup memberatkan emosi saya. Tetapi pengalaman ini amat berharga.

“Cuma saya tidak boleh beri karakter sebenar adik Zaiton. Inilah susahnya membawa watak orang yang masih hidup. Tetapi saya memang tidak sabar untuk menyaksikan filem ini,” katanya yang difahamkan Zaiton Ceritaku bakal ditayangkan pertengahan 2012.

Karl yang sebelum ini pernah mengacara program Hip TV, Chopp! dan 3 Hari 2 Malam, mengakui tidak menyesal meninggalkan kariernya sebagai pramugara untuk sepenuh masa menjadi anak seni.

“Saya cuma rindukan kerja-kerja produksi di balik tabir. Pengalaman itu turut membantu saya mengenali dunia pengacaraan dengan lebih jelas, terutama peranan masing-masing dalam sebuah pasukan.

“Apa-apapun saya mahu sehebat Pak Nil. Dia memang hebat, walaupun baru pertama kali tengok programnya, kita pasti akan terpegun kerana dia mampu mempengaruhi audien untuk terus melekat di depan kaca TV.

“Sebab itu, saya harus melipatgandakan usaha, mendedahkan diri kepada sebanyak mungkin produksi dan program. Tidak kisahlah apa sahaja tawaran kerana kadang-kadang kita sendiri tidak tahu sejauh mana kemampuan kita kalau kita sendiri tidak mencuba dan membuka peluangnya,” katanya.



Trivia Karl

Insan ingin ditemui: Ryan Seacrest & Jason Mraz

Buku sedang dibaca: One Summer (David Baldacchi)

Gajet yang digunakan: iPhone, iPad2 dan Nikon D5100

Kereta impian: BMW X6.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: