SYDNEY – Beribu-ribu penumpang dari Hawaii menuju ke Thailand terkandas semalam apabila syarikat penerbangan tambang murah, Air Australia kehabisan wang.
Dalam satu kenyataan syarikat yang berpangkalan di Brisbane itu memberitahu, pihaknya telah melantik firma kecairan tempatan, KordaMentha sebagai pentadbir sukarela syarikat tersebut.
Pentadbiran sukarela itu adalah sama dengan terma perlindungan bankrap.
Perkembangan tersebut berlaku sehari selepas syarikat penerbangan utama Australia, Qantas mengumumkan ia membuang sekurang-kurangnya 500 pekerja, memotong perbelanjaan dan menutup dua laluan antarabangsa selepas keuntungan syarikat merudum 83 peratus pada suku pertama kewangan tahun ini.
“Semua pesawat Air Australia tidak akan melakukan penerbangan. Syarikat kehabisan dana untuk membayar kos operasi, justeru, semua penerbangan dibatalkan dengan serta-merta,” kata kenyataan ketua Korda Mentha, Mark Korda.
Menurutnya, sekitar 4,000 penumpang yang kini berada di seberang laut telah menempah tiket penerbangan pulang dengan Air Australia.
Beliau seterusnya menasihati mereka agar membuat persiapan alternatif untuk pulang ke Australia.
Beliau memberitahu stesen radio tempatan, ABC bahawa Air Australia tidak dapat membeli bahan api di Lapangan Terbang Antarabangsa Phuket, Thailand pada malam kelmarin.
“Susulan perkembangan tersebut, lembaga pengarah syarikat bermesyuarat pada pukul 1.30 pagi semalam dan melantik kami (KordaMentha) sebagai pentadbir sementara Air Australia,” kata Korda.
Dalam perkembangan berkaitan, penumpang yang terkandas rata-rata memberitahu, mereka tidak dimaklumkan tentang perkembangan tersebut.
“Tiada seorang pun wakil Air Australia di lapangan terbang,” kata seorang wanita, Wesa Chau kepada media Australia ketika menunggu penerbangannya di Phuket.
“Mereka (Air Australia) tidak menawarkan apa-apa bantuan,” tambahnya.
Penerbangan Air Australia merangkumi laluan antarabangsa ke Pulau Bali di Indonesia, Pulau Phuket dan Hawaii selain destinasi tempatan iaitu Brisbane, Melbourne, Perth, Derby dan Port Hedland di Australia Barat.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: