|
FAUJA SINGH hanyalah seorang petani yang menetap di sebuah perkampungan kecil di Bias Pind, Jalandhar, Punjab.
Sepanjang hayatnya, dia hanya tahu mengusahakan tanaman tebu dan gandum untuk menyara keluarganya.
Ditemani isteri dan enam cahaya mata, tiga lelaki dan tiga perempuan, lelaki itu bahagia dengan kehidupan yang dilaluinya.
Bagaimanapun, pada usia mencecah 81 tahun, anak keduanya, Kuldip meninggal dunia akibat ditimpa palang besi ketika berada di rumah.
Sejak itu, Fauja mula berubah sikap. Dia lebih suka menyendiri dan mengalami kemurungan.
"Jiwa saya tertekan selepas kematiannya. Kebanyakan masa dihabiskan ke tempat upacara tempat pembakaran dan sering bercakap seorang diri," katanya dalam satu temu ramah bersama The Telegraph.
Bimbang dengan keadaan bapa mereka, anak lelakinya, Sukhjinder, yang menjalankan perniagaan di United Kingdom mempelawanya tinggal bersama sekitar tahun 1995.
Pada mulanya, Fauja sukar untuk membiasakan diri dengan kehidupan baharunya. Tidak hairanlah, masanya lebih banyak dihabiskan dengan menonton televisyen di rumah.
"Duduk di rumah tanpa berbuat apa-apa sememangnya membosankan. Kebanyakan lelaki berusia di negara ini tidak mengawal pemakanan, kurang beriadah dan berkenderaan untuk ke mana-mana. Itu menyebabkan ramai antara mereka jatuh sakit," katanya.
Enggan perkara yang sama berlaku ke atasnya, lelaki itu mula berjoging di sekitar kawasan perumahan itu.
Dia mengenali sukan maraton selepas menyaksikan sekumpulan atlet lelaki dan wanita berlari dalam satu pertandingan yang disiarkan di televisyen.
Melihat kesungguhan atlet berkenaan berlari tanpa henti selama berjam-jam membuatkan dia berasa kagum, sekali gus membakar semangatnya untuk mencuba sukan yang agak asing bagi dirinya itu.
Lupakan kesedihan
Peluang itu hadir selepas dia menyertai satu larian maraton amal sejauh 32 kilometer (km) yang diadakan di tengah London. Tanpa diduga, dia berjaya menyudahkan larian sejauh 20 km.
"Saya mahu melarikan diri daripada kesedihan dan kesepian yang menghantui selama ini. Berlari merupakan satu-satunya pilihan yang ada," ujarnya.
Pada usia 89 tahun, Fauja memberanikan diri menyertai London Marathon pada tahun 2000. Pada penyertaan pertama itu, dia berjaya menyudahkan larian sejauh 42 km dalam tempoh masa enam jam, 54 minit.
Jurulatih kecergasan dan bekas pelari maraton, Harmander Singh, yang kagum melihat kesungguhan Fauja, mengambil inisiatif untuk melatih dirinya.
"Saya melatih dia secara percuma," kata Harmander. Ia merupakan satu penghormatan kepada saya."
Harmander secara peribadi mengakui Fauja mempunyai tahap kesihatan yang mengagumkan pada usia sedemikian.
"Keputusan pemeriksaan kesihatan ke atasnya menunjukkan dia mempunyai tulang seperti mereka yang berusia 35 tahun."
Dengan bantuan Harmander, lelaki yang selesa dengan imej turban dan berjanggut putih sehingga ke paras dada itu berpeluang menyertai lebih 14 pertandingan maraton dan separa maraton yang diadakan di seluruh dunia.
Pada tahun 2003, ketika berusia 92 tahun, dia mencipta rekod maraton bagi kategori 90 tahun ke atas dengan catatan masa lima jam 40 minit.
Kagum dengan semangat yang ditunjukkan, jenama sukan terkenal, Adidas telah melantiknya sebagai duta bersama bintang bola sepak, David Beckham di dalam kempen, Impossible is nothing.
Wajahnya terpampang di papan-papan iklan utama di seluruh United Kingdom. Malah, syarikat itu juga telah mengeluarkan kasut khas, Fauja Singh Shoes sebagai penghormatan kepadanya.
Sejak itu, lelaki yang hanya fasih berbahasa Punjab itu mula menjadi tumpuan orang ramai di London. "Saya amat dihormati di sana, mereka menyayangi saya.
"Mereka bertanya apakah keistimewaan kaki saya yang kurus ini. Sukar untuk sesiapa percaya lelaki berusia 100 tahun mampu menyertai pertandingan maraton," katanya.
Bagaimanapun, tidak semua masyarakat di Barat mengalu-alukan kehadiran Fauja.
Dia menjadi subjek perkauman ketika menyertai pertandingan di New York selepas peristiwa 11 September 2004. Penonton-penonton yang hadir mengejeknya dan memanggilnya, Heym Osama Bin Laden dan Lihat, itu Saddam gara-gara imejnya itu.
"Biarpun marah, namun pelari-pelari lain berjaya menenangkan dan menyuruh saya supaya tidak mengendahkannya," ceritanya.
Pada bulan Oktober tahun lalu, Fauja diiktiraf sebagai pelari maraton tertua di dunia selepas berjaya menamatkan larian dalam tempoh lapan jam 11 minit ketika menyertai Toronto Waterfront Marathon di Kanada.
Kejayaan itu membolehkan dia memecahkan rekod berusia 35 tahun yang dipegang oleh seorang pelari dari Greece, Dimitrion Yordanidis, 98.
Popularitinya semakin meningkat, malah dia dianggap sebagai seorang wira di India.
Ketika pulang ke kampung halamannya sebelum ini, dia disambut puluhan peminat setianya.
Tumpuan peminat
Malah dia sentiasa menjadi tumpuan peminat yang mahu bergambar, termasuk ketika menghadiri sebuah majlis perkahwinan di sana.
"Saya boleh menjadi jutawan sekiranya saya mengenakan bayaran kepada mereka yang mahu bergambar," guraunya.
Ketika kanak-kanak, anak bongsu daripada empat beradik itu pernah melalui pelbagai pahit getir kehidupan.
Dilahirkan dalam sebuah keluarga miskin, Fauja dianggap berbeza berbanding adik-beradiknya yang lain kerana hanya mula berjalan ketika berusia lima tahun. Pada usia 15 tahun pula, dia hanya mampu berjalan sejauh 1.6 km.
"Kaki saya sangat lemah ketika kecil. Mungkin ia satu cara tuhan memeliharanya agar ia boleh digunakan sepenuhnya beberapa tahun kemudian," dedahnya di dalam buku biografi miliknya bertajuk, Turbaned Tornado: The Oldest Marathon Runner Fauja Singh.
Biografi setebal 144 muka surat itu diterbitkan pada 6 Jun tahun lalu. Penulisnya, Kushwant Singh sebelum itu pernah menulis buku mengenai Fauja, bertajuk, Sikhs Unlimited dan Mending Souls.
"Dia seorang lelaki unik. Dia berlari pada usia di mana orang lain sudahpun bersara, tenaganya amat luar biasa.
"Menulis biografi itu merupakan satu penghormatan besar kepada saya. Fauja telah memberi dimensi baharu terhadap makna ketahanan, aspirasi dan kekuatan," ujar Kushwant.
Di dalam biografi itu, lelaki yang mempunyai ketinggian 172 sentimeter itu turut berkongsi tip pemakanannya.
"Saya amat berhati-hati ketika memilih makanan dan hanya makan bila berasa lapar. Diet saya terdiri daripada sayuran hijau, yogurt, kacang daal, roti.
"Saya tidak menyentuh nasi, parata, pakoras dan makanan yang bergoreng. Saya minum banyak air dan teh halia."
Fauja turut mengakui umur panjang yang dimilikinya berkait rapat dengan gaya hidup positif yang diamalkan.
"Setiap hari saya bangun pukul 6 pagi dan berdoa kepada tuhan agar semua perkara-perkara negatif tidak wujud di dalam diri saya.
"Selepas itu saya akan berlari sekurang-kurangnya 10 km sehari," jelasnya.
Malah dia turut menjadi contoh kepada lima warga emas Britain berketurunan Sikh untuk terlibat di dalam maraton. Kesemua mereka berusia sekitar 80-an.
Sumbangan amal
|
|
Biarpun kejayaan menjadi pelari maraton tertua di dunia tidak tercatat di dalam Guinness World Record disebabkan ketiadaan sijil kelahiran yang sah, namun Fauja tidak kecewa.
Sebelum ini, dia sudah menerima beberapa anugerah seperti Pride of India dan Ellis Island Medal of Honor di atas sumbangan amal yang dilakukan.
Lebih membanggakan, dia juga pernah menerima jemputan peribadi daripada bekas Presiden Pakistan, Pervez Musharraf menyertai pertandingan maraton di Lahore pada tahun 2005.
"Kami bergambar bersama, ternyata beliau seorang yang peramah.
"Ratu Elizabeth II juga pernah menghantar telegram ucapan tahniah sempena ulang tahun kelahiran saya ke-100, malah saya juga pernah dua kali dijemput ke Istana Buckhingham," jelasnya.
Ditanya sampai bila dia akan terus berlari, ini jawapan Fauja : "Saya tidak akan berhenti sehinggalah saya mati. Sasaran saya sekiranya diizinkan tuhan ialah untuk menjadi pelari maraton yang tertua di dunia."
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: