Friday, February 17, 2012

Program kesihatan di K Klub


SEORANG warga emas mendapatkan maklumat mengenai cara-cara berhenti merokok.


PELBAGAI usaha dilakukan bagi meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap kepentingan menjaga kesihatan di peringkat awal lagi.

Menyedari hakikat itu, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Daerah Gombak dan kompleks sukan K Klub dengan kerjasama Institut Jantung Negara (IJN), Pejabat Kesihatan Daerah Gombak, Hospital Selayang serta Majlis Kanser Negara (Makna) menganjurkan ceramah dan pemeriksaan kesihatan untuk penduduk setempat di kawasan itu.

Program tersebut yang diadakan di kompleks K Klub memberi peluang kepada orang ramai untuk menjalani pemeriksaan kesihatan seperti tekanan darah, paras gula dalam darah, berat badan unggul, barah payudara, klinik berhenti merokok, ujian saringan Human Immunodeficiency Virus (HIV), pemeriksaan gigi, ujian pap smear dan payudara.

Aktiviti turut diselang seli dengan ceramah yang disampaikan oleh sekumpulan pakar perubatan dari Hospital Selayang dan IJN dengan pelbagai topik penyakit seperti kanser, penyakit kardiovaskular dan buah pinggang.

Dalam pada itu, lebih 300 penduduk di sekitar Taman Melawati, Kuala Lumpur hadir untuk mendapatkan pemeriksaan secara percuma itu.

Rata-rata penduduk ketika ditemui menyifatkan penganjuran program tersebut memberi kemudahan kepada masyarakat untuk menjalani pemeriksaan bagi mengetahui tahap kesihatan masing-masing sekali gus dapat membantu mereka dalam merancang pemakanan dan aktiviti seharian.

Pertama kali

Seorang penduduk, Lee Ong, 67, berkata, dia terkejut kerana disahkan mempunyai gula yang tinggi dalam darah.

“Ini merupakan pertama kali saya melakukan pemeriksaan kerana sebelum ini saya tidak mengalami sebarang simptom. Oleh itu, saya tidak berkunjung ke mana-mana klinik atau hospital.

“Walau bagaimanapun, saya bersyukur kerana tergerak hati untuk datang ke program ini dan sekurang-kurangnya selepas ini saya boleh menjaga cara pemakanan dengan lebih baik lagi,” katanya sambil menyifatkan program tersebut amat bermanfaat terutama kepada warga emas.


PEMERIKSAAN gigi percuma juga disediakan kepada orang awam yang berkunjung ke program itu.


Turut hadir Pengerusi Gabungan Pertubuhan-Pertubuhan Bukan Kerajaan Daerah Gombak, Datuk Dr. Rahman Ismail dan Pengerusi Persatuan Veteran Utusan Melayu, Datuk Raja Ahmad Niza Raja Ismail.

Terdahulu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai dalam ucapannya memuji langkah semua pihak kerana berganding bahu menganjurkan program berkenaan.

“Masyarakat sekarang mengambil mudah mengenai kepentingan pemeriksaan kesihatan memandangkan mereka lebih gemar menunggu sesuatu penyakit menjadi lebih serius sebelum menjalani rawatan. Oleh itu, dengan adanya program seperti ini masyarakat boleh mengambil langkah awal untuk mencegah penyakit menerusi pemeriksaan kesihatan,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: