DEMI NEGARA...pembabitan dalam Askar Wataniah banyak membentuk disiplin dalam diri Yana dan Mon.
BUKAN mudah membentuk disiplin dalam diri. Hanya mereka yang punya semangat kental mampu melalui cabaran yang mendatang. Semangat jitu serta diiringi keazaman yang kuat mampu memacu seseorang ke arah kejayaan. Inilah yang disaksikan ketika berpeluang mengikuti sesi latihan Platun Seni Askar Wataniah di Rejimen 515, Jalan Buku Lima, Off Padang Tembak, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Biarpun matahari semakin menegak di atas kepala, seramai 14 Perajurit Muda ini kelihatan segak melangkah dalam sesi kawad mereka. Setiap langkah mereka kedengaran begitu bertenaga dan seragam. Aktiviti latihan selama 240 jam perlu dilalui dengan penuh semangat bagi melayakkan mereka bergelar anggota sukarela terlatih.
Berada dalam kelompok ini juga adalah dua artis berbakat Yana Samsudin dan Mon Ryanti yang tidak mempedulikan status jantina mereka, sebaliknya lebih mementingkan semangat berpasukan dalam tentera.
Niat mereka hanya satu, menjana jati diri dan meniupkan semangat cintakan negara yang aman makmur tanpa sebarang ancaman keselamatan serta bersedia mempertahankan kedaulatan bumi bertuah ini andai perlu.Ujar Yana, jiwanya dengan disiplin ketenteraan bukan asing kerana ayahnya, Samsudin Jamuri, 66, adalah bekas tentera. Ayah Yana dulu bertugas di Unit Artileri dan menamatkan perkhidmatan pada 1990 dengan gelaran Pegawai Waran Dua.
“Saya selalu tengok ayah bawa balik kelongsong peluru tapi saya tak pernah hargai. Apabila saya masuk Askar Wataniah, saya minta restu ayah. Dia tanya, sanggupkah saya menggalas cabaran yang akan dilalui? Saya cakap saya sangat fleksibel dan yakin boleh melakukannya dan selepas terbabit dengan latihan amali, kompas, koordinat dan menembak, barulah saya benar-benar dapat rasa keseronokannya.
“Satu perkara baru yang saya belajar - disiplin dan mendengar arahan sangat penting dalam setiap perkara yang kita lakukan. Terbabit dengan demonstrasi kuasa tembakan juga menyedarkan saya satu perkara iaitu kalau tersalah dengar arahan, akibatnya akan membahayakan diri sendiri,” katanya ketika ditemui selepas selesai latihan.
Yana akui gembira kerana biarpun terpaksa menjalani sesi latihan yang lasak, ada masanya mereka boleh bergurau dengan tenaga pengajar dan pegawai yang terbabit.
“Sewaktu latihan kita kena fokus dan serius. Tapi selepas habis latihan, kami masih boleh bergurau mesra bagaikan sebuah keluarga. Soal disiplin memang dititik beratkan dan tak boleh kompromi, kalau ada salah, maka hukuman tetap sama rata. Saya akui sangat teruja untuk menyertai sesi latihan yang diadakan sekarang.
“Awal-awal dulu saya rasa sangat takut tapi sekarang keadaannya sudah jadi lain. Saya juga sudah melalui sesi latihan menembak yang diadakan pada 11 Julai lalu di Kem Terendak, Melaka. Memang gementar juga kerana kami menggunakan peluru betul tapi saya berbangga kerana mencatat markah tertinggi mengatasi Mon Ryanti dan Kamal Faridz,” kata Yana pelakon filem Bini-Biniku Gangster.
Bagi Mon Ryanty pula, daripada jumlah 240 jam yang perlu dilakukan, dia baru berpeluang menyertai tiga sesi latihan. Bukan sengaja ponteng, sebaliknya dia sukar bahagikan masa kerana sibuk dengan penggambaran drama dan filem terbitan produksi MIG.
“Banyak yang saya belum belajar kerana tak terbabit sepenuhnya lagi. Bagaimanapun, saya bersyukur kelonggaran diberikan kerana jadual kerja saya yang tak menentu. Biarpun begitu, saya tetap gembira kerana berpeluang menyertai latihan menembak di Melaka. Pengalaman ini sangat istimewa dan saya sangat teruja untuk menyertai sesi latihan selanjutnya selepas ini,” katanya yang akan muncul dengan filem Hantu Dalam Botol Kicap tidak lama lagi.
Pelakon baru, Kamal Faridz menyifatkan dia tidak bermasalah menyertai Platun Seni kerana ayahnya juga seorang tentera. Bahkan, dia dibesarkan dengan disiplin yang tinggi.
“Bapa memang sokong sangat apabila saya mahu masuk Wataniah. Dari zaman sekolah lagi saya sudah minat unit beruniform. Jadi kesempatan menyertai Platun Seni AW tak boleh dibiarkan begitu saja. Saya mahu menggunakannya untuk membentuk disiplin dan peribadi yang baik sebagai anak seni,” katanya.
Sementara itu, penyelaras latihan AW Rejimen 515, Leftenan Kolonel Abdullah Ibrahim, menyangkal tuduhan mengatakan aktiviti Platun Seni makin sepi. Katanya, mereka hentikan seketika aktiviti latihan kerana menghormati ketibaan Ramadan tahun lalu. Bagaimanapun aktiviti berbuka puasa, tahlil dan majlis rumah terbuka Aidilfitri sudah diadakan dan semua anggota Platun Seni menghadirinya.
“Kehadiran mereka dalam majlis yang berlangsung di sini adalah sebahagian daripada modul latihan. Kemasukan mereka masih baru iaitu pada Jun lalu. Mereka kini bergelar Perajurit Muda dan perlu melengkapkan 240 jam untuk menjadi anggota sukarela terlatih. Kami faham situasi artis yang bekerja tak tentu masa, jadi kelonggaran diberikan buat mereka untuk menjalani latihan.
“Bagaimanapun, kami tetap akan memastikan mereka akan menghabiskan semua sukatan pelajaran merangkumi kawad, pengendalian senjata, latihan medan seperti menembak, menempuh halangan, ‘compass matching’, koordinat dan latihan peperangan. Kami merancang untuk mengadakan majlis pentauliahan pada April ini.
“Sebenarnya untung sesiapa yang sertai Askar Wataniah kerana biasanya untuk dapat ilmu sebegini kena bayar.
“Askar Wataniah juga ada tempoh persaraan,” katanya yang akan mengadakan sesi latihan menembak buat kali kedua untuk Platun Seni di Lapang Sasar Kem Sungai Besi pada 9 Februari ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: