Monday, February 13, 2012

Pencapaian menakjubkan


AZIZULHASNI (kiri) dan Josiah menamatkan saingan dalam acara keirin elit lelaki dengan masing-masingnya memenangi pingat emas dan perak.


GANDINGAN dua pelumba pecut negara, Josiah Ng dan Azizulhasni Awang berjaya menghadiahkan kemenangan 1-2 buat Malaysia dalam acara keirin lelaki elit pada Kejuaraan Lumba Basikal Asia (ACC) 2012 di Velodrom Kuala Lumpur, Cheras, semalam.

Strategi yang direncanakan dua pelumba negara itu berjaya menghalang dominasi Jepun dalam acara berkenaan yang turut mempunyai dua wakil iaitu Kazunari Watanabe dan Yudai Nitta, manakala dua slot lagi diisi pelumba Iran, Mahmoud Parash dan pelumba pilihan, Zhang Lei dari China.

Sorakan padu penyokong Malaysia sekali lagi menjadi azimat buat pelumba negara yang melakukan henjutan bertenaga pada saat-saat akhir sebelum mencecah garisan penamat, sekali gus menyaksikan Josiah, 31, memenangi emas dengan catatan 10.985 saat dan Azizul, 24, memenangi perak.

Pingat gangsa pula menjadi milik pelumba Jepun, Nitta selepas kemenangan Watanabe dibatalkan kerana memasuki laluan yang tidak dibenarkan dalam perlumbaan.

Kejayaan Josiah ini juga merupakan yang pertama bagi pelumba yang berpangkalan di Melbourne, Australia itu sepanjang penyertaannya dalam ACC.

"Tidak dapat digambarkan lagi kegembiraan saya pada hari ini dan ia juga amat bermakna bagi saya kerana akhirnya tercapai juga impian memenangi pingat emas dalam ACC sepanjang karier saya dalam sukan berbasikal," kata Josiah.

"Sebelum ini, saya telah memenangi perak pada ACC 2011 di Korat, pingat emas dalam Sukan SEA dan Komanwel, jadi walaupun emas ini hadir setelah terlalu lama, namun ia satu penantian yang berbaloi.

"Lebih bermakna, Azizulhasni juga berjaya memenangi pingat perak dan ia kejayaan 1-2 kepada negara. Sebenarnya, saya tidak kisah siapa yang akan memenanginya asalkan ia pelumba Malaysia dan nampaknya hari ini kami berdua berjaya melakukannya," katanya.

Sementara Azizulhasni juga meluahkan rasa puas hatinya dengan prestasi semasa di ACC 2012 ini meskipun hanya mampu menyumbang pingat perak dalam acara pecut dan keirin.

Pelumba kelahiran Dungun itu menjelaskan bahawa dia kini hanya mahu memberi tumpuan kepada siri Trek Piala Dunia Klasik di London pada 14 hingga 15 Februari ini bagi melihat peningkatannya dengan pelumba dari Eropah selepas berehat panjang ekoran kecederaan.

"Kejayaan 1-2 ini sangat mengagumkan dan ia sama seperti ketika pencapaian kami di Sukan Komanwel 2010 di New Delhi," kata Azizulhasni.

"Saya tidak terkilan walaupun gagal memenangi emas, pingat perak ini pun sudah cukup bagus kerana tumpuan saya ialah pada Piala Dunia Klasik di London dan juga Sukan Olimpik 2012.

"Masih banyak lagi yang perlu saya perbaiki dari segi pecutan dan kuasa henjutan, saya harap saya sempat mendapat semula keadaan fizikal ketika memenangi pingat perak di Kejuaraan Dunia tiga tahun lalu," ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: