Wednesday, February 1, 2012

Oscar 2012: Antara pelik dan ajaib


SALAH satu adegan filem Hugo yang mendapat 11 pencalonan dalam Anugerah Academy Ke-84.


SEPERTI mana yang semua sedia maklum, dua buah filem, Hugo dan The Artist menepati ramalan apabila menguasai senarai akhir pencalonan Anugerah Academy Ke-84 atau Oscar 2012. Pada pengumuman minggu lalu, masing-masing dengan 11 dan 10 pencalonan.

Sedari awal musim anugerah kali ini bermula, dua buah filem itu dilihat bakal memberikan saingan hebat untuk menempatkan diri dalam senarai pencalonan.

Kedua-duanya turut dicalonkan dalam kategori Filem Terbaik dan bakal bersaing dengan tujuh buah filem lain iaitu The Descendants, Extremely Loud and Incredibly Close, The Help, Midnight In Paris, Moneyball, The Tree of Life dan War Horse.

Mengekori rapat, filem Moneyball dan War Horse apabila menerima enam pencalonan sementara The Descendants dan The Girl with the Dragon Tattoo pula tersenarai dalam lima kategori.

Rata-rata filem yang dipertandingkan kali ini merupakan naskhah yang memang sudah dijangka akan mendapat tempat dalam acara anugerah filem berprestij di Hollywood itu.

Begitu juga dengan kategori lakonan, di mana hampir kesemua calon-calon yang dipertandingkan merupakan mereka yang sememangnya dengan mudah tersenarai dalam kelompok lima terbaik.

Dalam kategori Pelakon Lelaki Terbaik misalnya, Jean Dujardin dan George Clooney yang bertanding atas tiket The Artist dan The Descendants bakal memberikan saingan pada malam kemuncak nanti.

Namun, laluan mereka dilihat tidak mudah walaupun menjadi calon pilihan kerana tiga calon lain juga bukan calang-calang iaitu Demian Bichir bagi filem A Better Life, Gary Oldman (Tinker Tailor Soldier Spy) dan Brad Pitt (Moneyball).

Perkara yang sama juga dapat dilihat dalam kategori Pelakon Wanita Terbaik apabila dua aktres, Meryl Streep dan Michelle Williams antara yang bakal bersaing untuk merebut gelaran itu.

Streep dicalonkan hasil keberkesanan lakonannya sebagai bekas Perdana Menteri Britain, Margaret Thatcher dalam filem The Iron Lady sementara Williams pula bagi filem My Week With Marilyn menerusi wataknya sebagai primadona legenda, Marilyn Monroe.

Kedua-duanya yang dijulang sebagai Pelakon Wanita Terbaik pada Anugerah Golden Globe Ke-69 lalu bakal disaingi oleh tiga calon lain iaitu Glenn Close untuk filem Albert Nobbs, Viola Davis (The Help) dan bakat baru, Rooney Mara (The Girl with the Dragon Tattoo).

Sudah menjadi resmi Oscar yang mula dianjurkan pada tahun 1929, saban tahun pastinya tidak akan terlepas daripada kontroversi dan kejutan.

Mana tidaknya, dalam beberapa kategori yang dipertandingkan, pelbagai persoalan mula dibangkitkan oleh karyawan filem, selain para pengkritik.

Dalam erti kata lain, ada calon yang dilihat lebih layak dikatakan terlepas pandang atau sengaja tidak diendahkan daripada dicalonkan untuk tahun ini.

Sebagai contoh, pemilihan Mara sebagai salah seorang calon Pelakon Wanita Terbaik dilihat sedikit pelik apabila dia mampu menewaskan seorang lagi calon pilihan, Tilda Swinton.

Sejak awal lagi, Swinton yang memberikan lakonan penuh emosi dalam filem We Need To Talk About Kevin dijangka mampu memberikan saingan hebat dalam kategori itu.

Ternyata, kehebatan lakonan Mara tidak mampu menandingi Swinton, lalu dia ditempatkan dalam kelompok lima wanita elit itu.

“Saya tidak sedih dengan berita itu kerana saya sendiri tidak pernah meletakkan harapan tinggi untuk dicalonkan mahupun memenangi sebarang anugerah.

“Bagi saya, untuk dicalonkan dan menjadi perhatian bagi sebuah filem kecil seperti ini sudah memadai serta satu kejayaan besar buat saya,” kata Swinton yang pernah memenangi Oscar bagi kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik menerusi filem Michael Clayton pada tahun 2007.

Biarpun kejayaan Mara tercalon dalam kategori itu manakala filem The Girl with the Dragon Tattoo menerima lima pencalonan, tetapi pengkritik berasakan filem itu tetap ‘gagal’ apabila tidak tercalon untuk Filem dan Pengarah Terbaik.

David Fincher sewajarnya dicalonkan kerana telah memberikan hasil kerja yang cukup cemerlang sekali gus layak juga untuk menjadi salah satu calon dalam kategori Filem Terbaik.

Persoalan terbesar yang dibangkitkan adalah tentang pemilihan calon-calon Filem Terbaik. Dengan peraturan baru yang ditetapkan iaitu setiap filem yang layak dicalonkan harus mendapat lima peratus undian daripada juri untuk ditempatkan dalam kelompok lima hingga 10 Filem Terbaik.

Lalu, bagaimana filem Extremely Loud and Incredibly Close dan The Tree of Life yang tidak tercalon dalam kategori utama mampu menembusi pencalonan bagi Filem Terbaik?

Itulah ‘keajaiban’ Oscar yang tidak pernah terlepas daripada menjadi bahan perbualan yang bagaikan agenda wajib oleh pengkritik, pengamal media dan peminat filem secara amnya.

Selain itu, sesuatu yang menarik untuk diperkatakan tentang pencalonan kali ini apabila filem Iran, A Separation mendapat perhatian meluas apabila dicalonkan untuk dua kategori iaitu Filem Bahasa Asing dan Lakon Layar Asal Terbaik.

‘Mangsa’ seterusnya yang dilupakan pihak akademi kali ini adalah Michael Fassbender yang sememangnya layak untuk dicalonkan dalam Pelakon Lelaki Terbaik.

Melakonkan watak sebagai seorang lelaki yang berdepan dengan masalah ketagihan seks dalam filem Shame, lakonan Fassbender merupakan antara yang terbaik dalam musim anugerah kali ini.

Namun, sayangnya bakat lakonannya dipandang enteng sehingga gagal dicalonkan untuk Pelakon Lelaki Terbaik.

Sebaliknya, kejutan tercipta menerusi Bichir dan Oldman yang tidak menjadi perhatian dalam beberapa anugerah berprestij sebelum ini.

Biarpun filem arahan mereka, War Horse dan Extremely Loud and Incredibly Close dicalonkan untuk Filem Terbaik, malangnya kedua-dua pengarahnya iaitu Steven Spielberg dan Stephen Daldry tidak tercalon kali ini.

Sebagaimana terkilannya pengkritik filem dan pengamal media apabila filem animasi arahan Spielberg, The Adventures of Tintin bagaikan tidak layak di mata juri Oscar kali ini, barangkali perasaan itu juga dirasai pengarahnya.

Cukup halus dan teliti pembikinannya, The Adventures of Tintin hanya layak untuk dicalonkan dalam kategori Skor Muzik Asal Terbaik. Bahkan, kehebatan filem itu juga dinafikan sehingga gagal tercalon dalam Filem Animasi Terbaik.

Begitu juga dengan filem sekuel Cars 2 yang juga menjadi mangsa kali ini.

Sebaliknya, dua tempat yang sepatutnya menjadi milik dua buah filem itu diisi dengan dua filem animasi yang kurang popular iaitu A Cat in Paris dan Chico and Rita bersama tiga calon lain iaitu Puss in Boots, Rango dan Kung Fu Panda 2.

Sebuah lagi kategori yang menjadi bahan lawak dalam Oscar kali ini adalah Lagu Asal Terbaik yang memperlihatkan hanya dua buah lagu sahaja yang layakiaitu Man or Muppet dari filem The Muppets dan Real In Rio (Rio). Ini telah mengundang persoalan ramai pihak.

Dalam ratusan lagu yang dicalonkan pada peringkat awal sebelum disenarai pendek kepada 39 buah lagu, kenapa hanya dua lagu sahaja yang layak ke peringkat akhir?

Sedangkan banyak lagu lain yang dilihat sebenarnya layak untuk tercalon seperti lagu-lagu dari filem The Help, Gnomeo and Juliet, W.E. dan Albert Nobbs yang dicipta komposer handalan seperti Mary J. Blige, Elton John, Madonna dan Sinead O’Connor.

Anugerah Academy Ke-84 akan berlangsung di Kodak Theatre, Los Angeles, Amerika Syarikat pada 27 Februari ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: