Sunday, February 12, 2012

Osaka




SELAMA ini, penulis hanya mengetahui mengenai keindahan Osaka, Jepun melalui pembacaan dan apa yang dilihat di kaca televisyen atau internet. Tidak pernah terbayang di fikiran bahawa satu hari nanti, kaki ini akan dapat menjejak bumi di mana matahari terbit itu.

Perjalanan ke Osaka bersama kru siri Travelog AirAsia yang diketuai oleh Pembantu Khas kepada Pengerusi dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Edd Radze dari 13 hingga 16 Januari lalu, bermula dengan but koyak yang menyedarkan penulis bahawa keindahan sebenar bandar raya kedua terbesar di Jepun selepas Tokyo itu terletak pada budi, senyuman dan keramahan penduduknya.

Dek kerana but koyak itu, fikiran penulis runsing sepanjang enam jam penerbangan menggunakan pesawat Airbus A340-300 kerana memikirkan kesukaran menghadapi suhu di antara satu hingga lima darjah celcius apabila mendarat di Osaka yang sedang di penghujung musim sejuk.

Namun, semua itu hilang selepas kami mendarat.

Konichiwa But Koyak, Keindahan di Dotonbori

Ketibaan kami di Lapangan Terbang Antarabangsa Kansai (KIX) disambut oleh Pengarah Urusan Yayasan Promosi Wilayah Kansai, Motoyuki Yasutake yang amat prihatin bersama beberapa pegawai kanannya.

Yasutake, sebaik sahaja melihat keadaan but penulis, menangguhkan urusan lain dan mengarahkan seorang pegawai yang mengiringinya untuk membawa penulis meninjau sekitar KIX bagi mencari kedai kasut yang bersesuaian dan apabila usaha itu gagal, mengarahkan Timbalan Pengurus Besar Pusat Promosi Pelancongan Antarabangsa Yayasan Promosi Wilayah Kansai, Akihiko Kondo supaya membantu penulis sebaik sahaja rombongan kami bergerak dan tiba di destinasi lawatan pertama iaitu Dotonbori.

Daerah Dotonbori adalah pusat hiburan, beli-belah dan kulinari Osaka yang menempatkan pelbagai restoran dan juga pusat perbelanjaan mewah. Pemandangan di sini tidak ubah seperti sebuah pertunjukan fesyen dengan muda-mudinya memiliki citarasa pakaian yang unik.

Kawasan ini juga dihiasi dengan papan-papan iklan lampu neon yang amat indah dan menarik seperti 'Glico Man' dan ketam gergasi yang dipamerkan oleh kebanyakan restoran yang terdapat di sini.

Keindahan hiasan neon Dotonbori paling menarik jika ia dilihat dari jambatan Ebisubashi yang merentasi terusan Dotonbori. Menurut Kondo, jambatan ini juga menjadi tempat muda-mudi Osaka mencari pasangan.

Maedo, Selamat Datang dan Satu Persahabatan

Selesai bersiar-siar di Dotonbori, kami di bawa ke Hotel Rhiga Royal, Kyoto yang menjadi lokasi penginapan sepanjang lawatan empat hari tiga malam ini.

Dalam perjalanan ke hotel, pemandu pelancong kami yang juga Pegawai Bahagian Promosi Pelancongan Biro Konvensyen dan Pelancongan Osaka, Yoko Maruyama mengejutkan kami dengan kefasihannya berbahasa Melayu.

Maruyama yang mesra dipanggil Mariam, turut mengejutkan kami apabila menggunakan loghat Kelantan semasa mengajar ahli rombongan mengenai penggunaan perkataan maedo (ucapan selamat yang sesuai untuk setiap masa) yang hanya digunakan oleh warga Osaka.

Di hotel, ketiadaan khidmat wifi yang amat diperlukan memaksa penulis dan rakan sebilik daripada Harian Metro, Zamri Mahmud dengan bantuan Mariam menyusuri kawasan berhampiran hotel untuk mencari perkhidmatan itu.

Dalam pencarian itu, kami mendapati orang Jepun amat menghargai waktu santai sebagaimana yang dapat dilihat di bar, restoran makanan segera dan rumah urut yang sentiasa penuh hingga lewat malam.

Di situ jelas kelihatan mereka lebih ceria dan santai meluangkan masa bersama rakan sekerja dan kenalan dan yang paling menarik setiap orang asing (seperti kami) sentiasa disambut baik seperti di Bar Jamu - satu-satunya premis yang menyediakan perkhidmatan wifi percuma paling hampir dengan Rhiga Royal.

Kesejukan Salji, Kehangatan Iman di Kobe

Pada hari kedua, kami dibawa ke puncak Gunung Rokko yang menjadi kawasan rekreasi musim sejuk utama di Osaka. Gunung berketinggian 931 meter dari aras laut ini puncak tertinggi banjaran Rokko dan wilayah Hanshin.

Di sana, artis undangan Travelog Episod 12, Aizat mencuba aktiviti luncur salji manakala kami yang berasa agak gayat memilih untuk mencuba sled di tebing yang lebih landai di situ.

Selain meluncur salji, para pengunjung juga boleh menikmati pemandangan Pelabuhan Osaka selain menjamu juadah asli Jepun.

Seterusnya, kami ke Kitano-cho, Kobe untuk bersolat dan menziarahi masjid tertua di Jepun. Menurut Pengerusi AirAsia Berhad, Datuk Aziz Bakar yang turut sama menyertai kami, Masjid Kobe dengan senibina Turki itu dibina pada 1928 dan disiapkan pada 1935 oleh pedagang Islam.

Masjid ini juga terselamat dan tidak langsung terjejas dalam serangan bom atom pada 1945 ketika berlangsungnya Perang Dunia Kedua mahupun ketika gempa bumi besar melanda Kobe pada 1995.

Konbamwa Osaka

Pagi hari ketiga lawatan, kami dibawa ke Istana Osaka yang terletak di daerah Chuo-ku. Istana ini dibina di hujung sebelah utara daerah Uemachi iaitu muka bumi paling tinggi di kawasan tersebut.

Istana ini terdiri daripada menara utama yang dilindungi oleh dua lapis tembok tinggi yang dikelilingi oleh dua lapis parit, parit bahagian dalam (Uchibori) dan parit bahagian luar (Sotobori). Air yang digunakan untuk mengairi parit istana diambil dari Sungai Yodo yang mengalir di sebelah utara Istana Osaka.

Istana ini paling menarik dilawati ketika musim bunga awal April kerana ketika itu pohon ceri di sekitarnya mekar berbunga.

Seperkara lagi yang menarik di sini anda boleh cuba untuk memasak sendiri makanan popular Jepun, Takoyaki di kedai-kedai makan yang terdapat di situ.

Dari Istana Osaka, kami ke Osaka Station yang menjadi hentian bersepadu utama bagi perkhidmatan keretapi dalam bandar dan bas selain menempatkan beberapa gedung ternama.

Bangunan ini juga menempatkan dua buah taman iaitu Yawaragi no Niwa (Taman Pemulihan) dan Kaze no Hiroba (Plaza Angin), juga sebuah kebun sayuran moden di mana para pengunjung boleh bersantai sambil menikmati pemandangan Osaka.

Kami kemudiannya melalui Jalan Midosuji sepanjang 1.9 kilometer yang dihiasi dengan lampu neon berwarna-warni dari 14 Disember hingga 22 Januari setiap tahun bagi menghidupkan lagi suasana bandar Osaka.

Sayonara Kota Osaka

Lawatan kami ke Osaka diakhiri dengan kunjungan ke Universal Studio terletak di tebingan air Konohana yang memberi kami pengalaman mengembara ke alam fantasi seperti dalam filem Jurassic Park, Terminator dan Back to the Future.

Kunjungan ke taman tema itu adalah hadiah perpisahan yang paling manis daripada pihak AirAsia untuk kami.

Kepada AirAsia, terima kasih atas pengalaman yang menakjubkan di Osaka, Jepun. Maedo! Maedo! Maedo!

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: