Saturday, February 4, 2012

'Ketua jangan emosional'


Bersama produk Taharah yang kini telah lebih 10 tahun di pasaran.


JIKA ingin menjadi CEO, mental kena kuat. Kita harus pandai menguruskan pemikiran sendiri sebelum menguruskan pemikiran orang bawahan. Jangan emosional, berani menanggung risiko dan jangan campur aduk masalah peribadi dengan perniagaan.'' Demikian kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Taharah Global (M) Sdn. Bhd., Azean Mahmud.

Taharah Global (M) Sdn. Bhd. merupakan pengeluar produk sabun samak dan produk penjagaan diri dan kecantikan yang berasaskan rumpai laut.

Telah memegang jawatan tersebut selama 10 tahun, Azean tidak mudah melatah dengan cabaran dan dugaan yang dihadapi sepanjang kerjayanya.

Beliau berkata, pada peringkat awal, cabaran yang dihadapi ialah apabila berurusan dengan mereka yang lebih dewasa.

Tambahnya, mereka kurang yakin dengan kemampuannya kerana melihat usianya yang masih muda. Bagaimanapun lama-kelamaan apabila melihat caranya bekerja dan berkomunikasi, mereka mula yakin dan boleh bekerjasama dengannya.

Azean yang memiliki Ijazah Kewangan (Kepujian) daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Kewangan) UKM ini menjelaskan di antara tugas yang dilakukannya ialah memastikan perjalanan syarikat berjalan lancar mengikut perancangan.

''Saya juga akan menjaga kewangan syarikat, berurusan dengan pelanggan, mendapatkan projek, berjumpa pihak atasan, berurusan dengan pembekal bangsa asing dan menjalin hubungan baik dengan pembekal supaya menjadi rakan kongsi tetap dan sebagainya.

''Kita perlu bersedia turun ke bawah. Jangan kata kita bos kita hanya mengarahkan orang sahaja. Kita memikul satu syarikat, jika gagal, syarikat pun akan gagal. Ini satu amanah besar," katanya yang berasal dari Jerantut, Pahang.

Menurut Azean, semasa berurusan dengan pelanggan, beliau sentiasa mengamalkan sikap fokus dan tenang supaya keputusan yang dibuat tepat.

Kesibukan beliau bukan setakat di pejabat malah turut menguruskan pusat latihan program untuk Kementerian Sumber Manusia, Jabatan Pembangunan Wanita, Jabatan Perdana Menteri serta mengendalikan kursus-kursus keusahawanan dan motivasi.

Setakat ini lebih 1,000 orang peserta telah mengikuti program tersebut.

Dalam kesibukan tersebut, tanggungjawab sebagai seorang ibu terhadap empat orang cahaya mata termasuk sepasang kembar tidak pernah diabaikan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: