Saturday, February 11, 2012

Kerja ekstra demi aksesori



SEGALA-GALANYA bermula ketika berumur 18 tahun. Kegilaan mengubah suai kereta bagi Mohamad Haziq Abdul Rahman, 24, hanya terbit selepas bapanya membeli sebuah kereta Perodua Kancil 660cc.

'Hadiah' itu sebenarnya adalah untuk memudahkan anak sulung itu untuk berulang-alik dari rumah mereka yang terletak di Cheras ke Universiti Kuala Lumpur (UniKL).

Buat permulaan, kehadiran kenderaan baharu itu sekadar mencetus sedikit minat buat Mohamad Haziq untuk mengubah suai kereta. Namun, lama-kelamaan ia seolah-olah menjadi satu ketagihan.

Pemegang ijazah sarjana muda dalam jurusan Multi-Rekaan Interaktif itu semakin seronok melihat hasilnya. Lantaran menyedari hobi tersebut memerlukannya berusaha mendapatkan wang sendiri, dia nekad bekerja separuh masa.

Bekerja sebagai pereka grafik bebas di sebuah syarikat penerbitan majalah kereta di salah sebuah syarikat swasta, anak muda itu mampu meraih pendapatan dari RM1,000 hingga RM2,000 sebulan. Namun, jumlah pendapatan itu bergantung kepada tempoh masa dia bekerja.

Daripada jumlah tersebut, sekurang-kurangnya RM500 diketepikan untuk menampung kos mengubah suai kereta, sementara bakinya disimpan untuk keperluan lain.

"Dengan bekerja separuh masa, saya bukan sahaja dapat 'melabur' gaji yang diterima itu ke atas kereta malah ia menjadi satu cara untuk untuk mendapat wang sampingan.

"Pada masa yang sama, komitmen terhadap pelajaran tidak diabaikan," ungkapnya yang kini terus bekerja di syarikat yang sama sebagai pekerja tetap.

Berbicara lanjut mengenai minat yang menuntut modal yang besar, jejaka itu mengakui sejak tahun 2006 sehingga kini, kereta yang dibeli pada harga RM21,000 telah bertukar 'wajah'.

Selama enam tahun, dia telah menghabiskan sebanyak RM2,000 setiap tahun dan tabiat itu sudah menjadi lumrah dalam hidupnya.

Kepuasan tersendiri


SEORANG ahli senior kelab Keicarmania memberi tunjuk ajar mengenai penjagaan enjin kepada ahli-ahli yang lain.


Biarpun terpaksa mengeluarkan wang yang besar untuk membeli aksesori dan alat ganti, katanya, dia berasa puas hati kerana kepuasan yang dirasai itu tidak boleh dibeli.

"Bagi saya, biar habis duit untuk hobi yang nampak hasilnya asalkan tidak membuang duit pada perkara-perkara yang tidak mendatangkan faedah," ungkap anak jati Kuala Lumpur itu.

Ketika ditanya mengenai pengubahan pertama yang dilakukan terhadap kereta Kancilnya itu, dia membuka langkah dengan menukar papan pemuka yang bernilai RM600 sekitar tahun 2006.

Kemudian pada tahun seterusnya dia memasang sport rim yang mencecah sehingga RM1,000 serta aksesori tambahan yang lain seperti spoiler (RM200), skirting (RM200), bumper (RM300), cermin gelap (RM300) dan enjin turbo (RM3,000).

Bagaimanapun, penukaran barangan keretanya dilakukan secara berperingkat-peringkat dan bergantung kepada kemampuan dirinya.

"Kebiasaan, selepas menukar sesuatu barangan, ada sahaja tambahan pengubahsuaian yang akan dilakukan untuk mendapat hasil yang memuaskan memandangkan sekali modifikasi pasti tidak cukup. Sebab itulah saya melakukannya pada setiap tahun.

"Pada tahun ini, saya perlu cat kereta sahaja, mungkin itu azam tahun ini," katanya berseloroh.

Bagaimanapun, Mohamad Haziq mengakui minat itu hanya sekadar hobi, jauh sekali untuk menunjuk-nunjuk apatah lagi menyertai perlumbaan haram.

Minat mengubah suai turut dikongsi Mohammad Hafiz Zainal Abidin, 23. Pada mulanya, minat yang timbul itu hanyalah sekadar suka-suka. Malah dia sendiri tidak sangka akan terlibat dalam kerja-kerja ubah suai.

"Mula-mula, ingatkan hanya suka-suka tetapi tak sangka minat itu mendorong saya menjadi obses, Tanpa saya sedari, saya telah menghabiskan kira-kira RM6,000.

Meneruskan perbualan, jejaka tinggi lampai itu mengakui bahawa dia gemar menghias kereta Kelisa yang diberikan ibunya pada tahun 2006 dengan pelbagai aksesori.

Sehingga ini, dia telah mengubah suai kereta miliknya itu di bahagian depan dan belakang kereta dengan sentuhan peribadi termasuk penukaran sport rim, lampu, pelekat, body kit malah kemasan bahagian dalaman turut ditukar termasuk memantapkan sistem audio.


TEMPAT khas untuk gelas dan minuman turut disediakan.


"Saya mempunyai cita rasa yang tersendiri. Begitupun, saya tidak boleh melangkaui batasan kemampuan saya sebagai pelajar.

Menurut Mohammad Hafiz, mujur kedua-dua orang tuanya tidak menunjukkan halangan terhadap minat tersebut.

Lagipun, dia tidak pernah meminta wang daripada ibu bapanya malah dia menjadikan minat itu sebagai pencetus untuk lebih berdisiplin dengan mencari rezeki dan bekerja lebih masa.

"Saya berusaha kumpul duit untuk mengubah suai kereta itu dengan melakukan kerja separuh masa di syarikat perkapalan yang terletak di Lumut, Perak.

"Dengan memperoleh pendapatan kira-kira RM1,000, ia sekurang-kurangnya dapat menampung perbelanjaan untuk hobi saya itu.

"Begitupun, saya tidak kisah apa orang nak kata, asalkan saya puas dengan apa yang dilakukan dan mencari rezeki sendiri untuk menghias kereta," kata pemegang Diploma Pembinaan dan Penyelengaraan Kapal, UniKL.

Bukan sembarangan

Bagaimanapun, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengingatkan orang ramai agar tidak sewenang-wenangnya mengubah suai kenderaan mereka.

Pengarah Bahagian Kejuruteraan Automotif JPJ, Ir. Mohamad Dalib berkata, kegiatan itu dilarang mengikut Seksyen 6 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

"Jika sabit kesalahan individu terbabit bakal berhadapan dengan denda maksimum sehingga RM5,000," katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Dalam pada itu, berdasarkan perangkaan jumlah saman yang dikeluarkan JPJ terhadap kesalahan di atas bagi tahun 2009 adalah sebanyak 12,559 saman dan bagi tahun 2010 sebanyak 18,756 saman.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Mohamad Dalib berkata, permohonan mengenai mengubah suai kereta sentiasa meningkat dari tahun ke tahun.

"Kebiasaannya, permohonan yang paling banyak adalah pengubahsuaian bahagian enjin dan pemasangan sunroof di atas bumbung kereta. Namun, pengubahsuaian yang dibenarkan hanyalah mengikut peraturan pemasangan sebagaimana dinyatakan dalam Kaedah Penggunaan dan Pembinaan, Akta Pengangkutan Jalan 1987," ujarnya.


KONSEP VIP Style antara yang menjadi pilihan utama kaki kereta.


Sehubungan itu, beliau berkata, pengubahsuaian kereta secara berlebihan boleh menyebabkan kereta itu terdedah dengan risiko kemalangan selain mengancam keselamatan dan nyawa pengguna jalan raya lain.

Untuk keterangan lanjut mengenai panduan pengubahsuaian kereta, orang ramai boleh melayari laman sesawang http://portal.jpj.gov.my.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: