Isu kepupusan hidupan liar acapkali dibincangkan masyarakat dunia yang sebahagian besarnya berpunca daripada pembangunan.
Ia terutamanya yang membabitkan penerokaan hutan secara berleluasa hingga menjejaskan habitat semulajadi haiwan.
Lebih membimbangkan ancaman terhadap hidupan liar yang menghuni di kawasan tersebut hingga mengakibatkan haiwan-haiwan berkenaan terpaksa mencari tempat baru termasuk menceroboh kawasan-kawasan berpenduduk.
Menurut kajian yang dijalankan, kehilangan atau kepupusan pelbagai spesies tumbuhan dan haiwan dalam persekitaran semulajadi dunia adalah di tahap yang sangat membimbangkan.
Hal ini banyak dihubungkaitkan dengan kemusnahan sumber hutan yang tidak terkawal dan bersistematik.
Keadaan ini telah menimbulkan kebimbangan dan kerisauan di kalangan masyarakat global.
Atas faktor ini juga Yayasan Sime Darby begitu giat menyokong program-program pemuliharaan terutama haiwan yang diancam kepupusan seperti di Santuari Badak Sumbu Borneo di Pusat Perlindungan Hidupan Liar Tabin, Lahad Datu, Sabah.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Yatela Zainal Abidin, berkata, sebanyak RM5 juta telah diperuntukkan dalam program Santuari Badak Sumbu Borneo.
"Komitmen selama tiga tahun yang bermula sejak tahun 2009 dilakukan untuk membiayai pembinaan pagar-pagar sekitar kawasan perlindungan dan kemudahan menempatkan badak sumbu berkenaan.
"Ia dilakukan untuk memastikan badak sumbu Sumatera yang berada di kawasan perlindungan dapat merasai suasana seperti habitat semula jadinya," katanya.
Yatela menambah, badak sumbu Sumatera yang berada dalam kawasan perlindungan tersebut turut diselia oleh pakar-pakar berpengalaman dalam memastikan kesejahteraan haiwan berkenaan.
Beliau yakin program pemuliharaan badak sumbu berkenaan mampu menyelamatkan spesies tersebut selain meningkatkan lagi kadar kelahiran badak sumbu jenis Sumatera.
Selain memberi faedah kepada badak sumbu Sumatera, beliau menambah, ia juga dapat melindungi dan memulihara pelbagai flora serta fauna yang terdapat di kawasan Pusat Perlindungan Hidupan Liar Tabin.
Menurutnya, Yayasan Sime Darby turut komited dalam memastikan haiwan terancam di Malaysia dapat dipulihara melalui Program Big9.
Haiwan-haiwan tersebut meliputi orang utan, gajah, monyet proboscis, harimau Malaya, beruang matahari, burung enggang, harimau bintang dan seladang banteng.
"Saya berharap dengan sumbangan yang dilakukan Yayasan Sime Darby dalam program pemuliharaan badak sumbu Sumatera akan membuahkan hasil sekali gus memberi sinar harapan kepada spesies berkenaan.
"Ia amat penting dalam memastikan kelangsungan hidup badak sumbu Sumatera agar generasi masa hadapan dapat mengenali haiwan tersebut kerana jika tidak dilakukan dikhuatiri akan pupus dalam beberapa dekad lagi," katanya.
Sementara itu Presiden Persekutuan Zoo dan Akuarium Antarabangsa, Dr. Jorg Junhold, memberitahu, pihaknya sentiasa bersedia memberi sokongan dalam pemuliharaan dan pembiakan hidupan liar.
"Ia amat penting untuk memastikan hidupan liar terutamanya yang terancam dapat hidup dengan baik dalam habitat yang sesuai dengan persekitaran moden.
"Ini kerana ia dapat membantu mendidik orang ramai mengenai kepentingan haiwan berkenaan terutamanya apabila mereka mengunjungi zoo," katanya yang juga merupakan Pengarah Zoo Leipzig, Jerman.
Dr. Jorg berkata, secara purata sebanyak 700 juta pengunjung mengunjungi zoo di seluruh dunia setiap tahun.
Di Jerman pula, dia memberitahu, sebanyak 35 juta pengunjung mengunjungi zoo setiap tahun.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: