Friday, February 10, 2012

Kelainan On Air


PROGRAM On Air bakal melatih pengacara untuk menjadi serba boleh.


SELAMA ini penonton sering dihiburkan dengan pelbagai rancangan realiti televisyen berbentuk hiburan yang mencari bakat-bakat baharu sama ada dalam bidang nyanyian atau lakonan.

Memandangkan sudah terlalu banyak rancangan sebegitu menjadi santapan penonton, maka pihak Astro telah mengambil inisiatif dengan menghasilkan sebuah program untuk mencungkil bakat dalam bidang pengacaraan.

Diterbitkah khusus untuk saluran Astro Ria, dikenali dengan judul On Air, ia adalah sebuah rancangan mencari bakat baharu sebagai seorang pengacara yang bukan hanya terhad kepada televisyen, seluruh entiti industri penyiaran termasuk radio.

Pengurus Saluran Astro Ria, Raqim Ahmad berkata, biarpun rancangan tersebut baru pertama kali diperkenalkan, tetapi ia telah mendapat sambutan yang baik daripada orang ramai.

“Sebelum ini kami sudah mengadakan sesi uji bakat di tiga buah lokasi iaitu di Pulau Pinang, Johor dan Sarawak. Kehadiran orang ramai untuk mencuba nasib menyertai rancangan On Air ini sangat memberangsangkan.

“Apa yang menariknya rancangan ini mendapat sambutan yang baik daripada bukan Melayu, terutamanya kaum Cina dan India yang turut tidak ketinggalan untuk sama-sama hadir pada uji bakat yang diadakan,” ujarnya ketika ditemui pada sesi uji bakat yang diadakan di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tambah Raqim, peserta yang terpilih hingga ke peringkat akhir akan menjalani kursus melalui silibus yang ditentukan untuk memantapkan lagi pengetahuan dalam pelbagai genre pengacaraan.

Jelasnya, dalam tempoh 10 minggu para peserta akan diberi tunjuk ajar, pendedahan serta tugasan tertentu yang berlandaskan format televisyen iaitu berita, majalah dan hiburan.

“Biarpun matlamat utama rancangan On Air adalah untuk mencari perintis dalam dunia pengacaraan, namun sasaran kami bukanlah sekadar untuk melahirkan seorang pengacara semata-mata.

“Pada masa yang sama, para peserta yang terpilih ini akan turut dilatih dengan kerja-kerja di belakang tabir supaya kami dapat membentuk pengacara yang serba boleh dan tidak terlampau mengejar glamor,” ujarnya.

Merupakan rancangan yang julung-julung kalinya diadakan oleh Astro, On Air turut menampilkan dua orang ikon dalam bidang pengacaraan iaitu Aznil Nawawi dan Suhaimi Sulaiman.

Selain itu, kedua-duanya turut dibantu oleh beberapa orang pengacara terkenal lain sewaktu sesi uji bakat seperti Datin Normala Samsudin, Dang Suria, Sarimah Ibrahim dan Wan Zaleha Radzi.

Sudah memulakan siaran pada 1 Februari lalu, ia akan disiarkan pada pukul 9 malam setiap hari Rabu di saluran Astro Ria sebanyak enam episod yang mengimbas kembali rakaman semasa sesi uji bakat sehinggalah pemilihan 14 orang peserta.

Bahasa Melayu dan Inggeris

Menurut Aznil Nawawi atau lebih sinonim dengan panggilan Pak Nil, antara kriteria utama dalam pemilihan peserta untuk rancangan On Air adalah mereka yang mampu memberikan kelainan dalam cara pengacaraan yang ditampilkan.

Jelasnya, sepanjang sesi uji bakat yang berlangsung di keempat-empat buah lokasi, dia melihat kebanyakan yang hadir untuk mencuba nasib terlalu terikut-ikut dengan gaya pengacara sedia ada.

“Saya lihat rata-rata yang menjalani sesi uji bakat ini terperangkap kerana mereka cuba meniru cara penyampaian pengacara pujaan mereka dan banyak menghafal sehingga berasa gugup apabila berada di hadapan kami.

“Sedangkan apa yang kami mahukan adalah untuk melahirkan seorang pengacara yang mempunyai identiti tersendiri serta gaya penyampaian yang sesuai keadaan sekarang, bukan seperti gaya 15 atau 20 tahun yang lalu,” ujarnya.

Menurut Aznil, untuk layak bergelar sebagai pengacara, seseorang individu itu perlulah memiliki bakat, berpengetahuan luas, mempunyai personaliti menarik dan mahir dalam dua bahasa.

“Sepanjang mengendalikan sesi uji bakat di keempat-empat buah tempat, saya berharap supaya ada yang mampu tampil mengacara dalam bahasa Melayu dan Inggeris kerana ia dilihat satu kelebihan untuk menceburi bidang pengacaraan.

“Namun, saya juga berasa sangat kagum kerana ada di antara peserta bukan Melayu yang datang semasa sesi uji bakat mampu bertutur dalam bahasa Melayu dengan lancar dan fasih,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: