|
|
KADANG-KADANG terasa bingung kenapa pada abad ke-21 yang dianggap dunia tanpa sempadan dan era globalisasi masih terdapat kelompok manusia yang masih jauh ketinggalan daripada segi ketamadunan dan masih diancam kebuluran.
Kalau dilihat kepada perjuangan dunia tanpa sempadan yang diperjuangkan barat dan proses liberalisasi yang mereka agung-agungkan, sepatutnya apa juga yang ada dimuka bumi ini diagihkan dengan adil.
Kemarau dan kebuluran bukan setu kejadian yang ekstrem. Ia juga sebenarnya bukan sesuatu yang di luar kebiasaan. Perkara itu berlaku disebabkan sistem makanan yang dibina atas dasar tidak sama rata, tidak seimbang dan rapuh.
Tetapi yang sering disalahkan ialah perubahan iklim yang menjadi punca kepada masalah pengeluaran makanan terutama di negara dunia ketiga.
Bayangkan untuk kali ketiga dalam tujuh tahun wilayah Sahel di barat Afrika berhadapan dengan kemarau, tuaian makanan semakin berkurang dan harga makanan yang melambung.
Di Niger, kini terdapat kira-kira enam juta orang terancam akibat kemarau dan kekurangan makanan bersama-sama dengan 2.9 juta orang rakan mereka di Mali dan 700,000 di Mauritania.
Tindakan segera diperlukan untuk memastikan malapetaka tidak menimpa mereka ekoran krisis makanan dan kekurangan zat untuk hidup.
Salah satu caranya ialah dengan mentafsir semula apa yang dimaksudkan dengan krisis makanan.
Sebenarnya sistem makanan global yang berada dalam krisis.
Kebuluran yang melanda negara-negara di tanduk Afrika tahun lalu dan apa yang berlaku di wilayah Sahel tahun ini membuktikan bahawa sistem makanan global tidak betul.
Ada yang berpandangan ini adalah isu yang ekstrem. Tetapi realitinya ia tidak ekstrem. Ia bukan sesuatu yang tidak boleh dijangka.
Cuma masyarakat dunia terutama negara-negara maju bersikap tidak peduli kerana mereka yang memonopoli sistem makanan dunia.
Kegagalan masyarakat dunia menjangka dan memberi sedikit tumpuan kepada situasi itu yang menjadi punca kepada puluhan ribu kematian akibat kebuluran.
Dunia gagal mengenalpasti atau enggan mengakui bahawa sistem makanan yang ada sekarang tidak betul.
Maknanya masyarakat antarabangsa melalui apa juga polisi kemanusiaan gagal menyediakan pelan awal untuk bersiap sedia untuk berhadapan dengan masalah kemarau dan kebuluran.
Saban tahun mereka akan tunggu penduduk di wilayah terbabit kelaparan terlebih dahulu sebelum tindakan diambil.
Krisis kebuluran paling teruk abad ini berlaku di Kenya, Ethiopia, Somalia dan Djibouti tahun lalu.
Ia menjejaskan kehidupan 13 juta orang dan meragut puluhan ribu nyawa. Bantuan antarabangsa hanya datang selepas pertengahan 2011. Maknanya, bantuan tiba selepas berlaku krisis pelarian, kekurangan zat makanan malah kematian.
Menurut laporan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dikenali sebagai Oxfam dan Selamatkan Kanak-Kanak, sistem amaran awal sudah memberi gambaran mengenai krisis itu pada awal Ogos 2010.
Bagaimanapun tindakan hanya dibuat selepas para pembuat keputusan melihat buktinya - setelah berlaku kebuluran dan kematian.
Kelemahan di pihak kerajaan negara terbabit turut menyumbang kepada masalah tersebut. Kerajaan negara terbabit dengan bantuan pelbagai agensi antarabangsa sepatutnya sudah lama menyediakan pelan antikemarau yang komprehensif. Dari situ, masalah tentu dapat dikesan lebih awal.
Sedangkan tanda-tanda akan berlakunya malapetaka kemanusiaan itu cukup ketara di wilayah Sahel.
Pada masa yang sama agensi antarabangsa juga perlu memastikan tindakan mereka sesuai dengan situasi dan matlamat yang hendak dicapai.
Ini kerana bantuan makanan ada kitarannya tersendiri. Penderma lebih pemurah ketika harga makanan rendah iaitu ketika hasil tuaian memuaskan.
Oleh itu stok makanan serantau perlu diwujudkan. Ia supaya boleh dikeluarkan ketika krisis untuk memastikan harga kekal seimbang.
Oleh itu apabila negara yang berhadapan dengan krisis makanan itu tidak lagi mampu menawarkan bahan makanan pada harga yang munasabah, maka agensi bantuan boleh mendapatkannya dari stok simpanan tadi pada harga pasaran.
Tetapi masalahnya bukan sangat disebabkan kerajaan atau kaedah mengagihkan makanan. Tetapi dunia menggunakan pendekatan yang salah dalam memberikan penduduknya makan.
Di kebanyakan negara miskin, pelaburan dalam bidang pertanian hanya ditumpukan kepada komoditi untuk dieksport.
Terlalu sedikit bantuan dan sokongan untuk pekebun kecil yang menghasilkan makanan bagi menyara kehidupan penduduk tempatan.
Sedangkan jika petani-petani kecil itu dibantu ia sudah tentu dapat membantu mengurangkan masalah kemiskinan, kekurangan makanan dan seterusnya kebuluran serta kematian.
Kawasan yang saban tahun dilanda kemarau seperti wilayah Sahel memerlukan sistem perladangan yang pelbagai. Mereka juga perlukan empangan untuk menyimpan air hujan bagi digunakan untuk mengatasi ancaman kemarau.
Ini antara komitmen untuk memastikan tragedi kemarau, kebuluran dan kematian tidak berulang saban tahun.
Yang penting dunia perlu ikhlas untuk membantu negara-negara yang saban tahun dilanda krisis kebuluran ini.
Jangan hanya menghulurkan bantuan selepas berlaku penderitaan dan kematian.
Mesti ada perancangan jangka pendek dan jangka panjang supaya tragedi itu tidak berulang.
Ini termasuk mengakui bahawa sistem sistem makanan dunia ketika ini tidak betul dan melakukan perancangan supaya apabila berlaku krisis makanan ia ditangani dari peringkat awal.
Hanya apabila masyarakat dunia jujur barulah penduduk dunia di kawasan yang sangat mudah terjejas dengan krisis kebuluran dapat dibantu dengan bantuan jangka pendek dan sokongan jangka panjang yang mereka perlukan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: