KUALA LUMPUR: Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) bakal menganjurkan sebanyak 1,547 aktiviti seni budaya sepanjang tahun ini bagi mengembangkan kebudayaan dan kesenian negara ke segenap lapisan masyarakat.
Ketua Pengarahnya, Datuk Norliza Rofli berkata, 1,547 aktiviti tersebut merangkumi tujuh aktiviti teras JKKN seperti Program Merakyatkan Seni Budaya, Program Bimbingan Seni Budaya, Penyemarakan, Pengukuhan dan Kecemerlangan Seni, Program Keilmuan & Penerbitan, Pencungkilan Bakat, Penyelidikan Dan Pemuliharaan dan Program Industri Kreatif.
"Menerusi aktiviti yang dibuat itu, pihak kami menyasarkan kepada 40 peratus penduduk bandar manakala 60 peratus lagi bagi penduduk luar bandar.
"Selain itu, program seni budaya pada tahun ini memberi fokus utama kepada rakyat dan pembangunan seni budaya, latihan dan keilmuan kepada para penggiat seni budaya selain menyediakan persekitaran yang kondusif kepada para penggiat seni budaya mengikut bidang.
"Program Merakyatkan Seni Budaya (PMS) mampu menjadi pemangkin kepada industri seni budaya di peringkat luar Bandar agar mereka tidak terpinggir daripada arus pemodenan dan untuk tahun ini sebanyak 136 PMS sedang dirancang," katanya.
PMS merupakan program di bawah seliaan Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan dan ia diuruskan oleh JKKN yang bertujuan untuk mendekatkan masyarakat khususnya di luar bandar dengan kegiatan seni budaya.
Penganjuran PMS juga merupakan strategi jangka panjang kerajaan untuk memupuk pembangunan industri kreatif dalam pelbagai bidang seni budaya negara melalui rangsangan penglibatan masyarakat luar bandar.
Manakala program-program berteraskan Pembangunan Modal Insan /Kelab Asuhan Seniseperti Kelab Asuhan Seni, Kelab Tunas Budaya (KTB), Kelab Giat Budaya (KGB), Bimbingan Seni Budaya Rakyat (BSBR), Kelab Siswa Budaya (KSB), Sekolah Seni, Jurulatih Seni Budaya Negara dan Program PERMATA Seni Koir dan Tari juga turut menjadi keutamaan kepada JKKN.
Di samping itu juga, acara-acara baru seperti Festival Ramadan, Ekspo Industri Seni Budaya Badan Bukan Kerajaan, Eksplorasi Makyong (Siri Jelajah Kijang Emas) yang akan menjadi titik tolak kepada pembaharuan dalam pembangunan seni tanah air.
Begitu juga dengan Festival Teater Malaysia (FTM) yang dilaksanakan dua tahun sekali bertujuan mengangkat seni pementasan teater Bahasa Melayu untuk menjadi produk yang boleh dibanggakan di kalangan penggiat teater amatur di Negara ini.
Pada tahun ini sebanyak enam kumpulan yang terpilih dari seluruh negara akan berentap mempersembahkan karya terbaik mereka sempena festival pada kali ini.
Dikenali sejak tahun 70 an lagi, FTM yang dulunya dikenali sebagai Pekan Teater Kebangsaan akan berusaha melaksanakan perubahan dan nafas baru kepada penggiat teater Bahasa Melayu dalam melahirkan ramai bakat-bakat baru dalam bidang teater. FTM dijangka akan diadakan (Peringkat Kebangsaan) pada bulan Oktober.
Koir Kebangsaan pula akan terus menjadi produk kebanggaan negara dalam bidang vokal berkumpulan dan mereka akan terus melatih dan mendidik generasi muda Malaysia dalam bidang tersebut.
Sementara itu, cawangan Komunikasi Korporat JKKN turut melancarkan rangkaian laman sosial JKKN seperti Facebook, Tagged, YouTube dan Twitter Sahabat Budaya JKKN yang dapat menjadi pemangkin kepada penyerlahan dan penyemarakan aktiviti seni budaya di seluruh Negara.
Sejak mula Facebook Sahabat Budaya JKKN ditubuhkan pada 2010, jumlah keahlian kini telah mencecah 2,528 orang manakala jika merangkumi kesemua jumlah keahlian Facebook Sahabat Budaya JKKN di peringkat negeri di seluruh Negara adalah seramai 8,489 orang.
Begitu juga dengan penggunaan saluran YouTube yang meningkat naik dengan jumlah pengunjung kini mencecah 122,909 muat turun. Laman sosial ini bagi memudahkan interaksi terbuka kepada para peminat seni budaya yang mengikuti dan meminati perkembangan seni budaya tanah air. Selain itu juga, para peminat juga boleh melayari www.jkkn.gov.my.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: