|
SETIAP pasang mata para pelancong di Pavilion Event Dome, Kuala Lumpur tertumpu pada gerak tarian para penari Tourism Malaysia yang memakai busana tradisional pelbagai kaum di Malaysia.
Tambah menarik apabila tarian yang ditarikan lebih kurang 10 orang itu diiringi dengan satu pertunjukan cahaya yang sangat berbeza.
Seiring dengan perubahan rentak muzik, corak dan warna yang dipancarkan ke skrin kubah tempat majlis berlangsung turut berubah. Kadangkala memaparkan imej Malaysia dan beberapa saat kemudian rona alam sekitar pula mengambil tempat.
Tiada sebarang herotan dalam visual yang terhasil sama ada pada bahagian runcing di puncak kubah atau lebar di bawah kubah.
Mungkin ada individu di luar sana yang menganggap bahawa tayangan visual kubah oleh Oracle Project International Pte. Ltd. itu boleh dilihat di mana-mana seperti di Planetarium.
Ujar pengarah urusannya, Chris Sifton, 36, kubah planetarium sangat berbeza kerana visual yang direka hanya sesuai dengan saiz kubah tersebut.
Variasi saiz
Rekaan dan saiz kubah Oracle Project pula boleh diubah-ubah bergantung pada permintaan dan rekaan. Dalam masa yang sama, visual tanpa sebarang herotan boleh dipancarkan pada skrin tidak kira keadaan saiz dan bilangan kubah.
Paparan imej juga jelas dan tajam dengan piksel visualnya hampir lima kali ganda resolusi berdefinisi tinggi (HD) dengan visual memenuhi di setiap bahagian kubah.
Jika imej persekitaran hutan dipancar, pengunjung dengan mudah dapat merasa seperti berada di dalam hutan sebenar.
Rahsianya terletak pada penggunaan perisian yang dibangunkan sendiri oleh Chris selama dua tahun. Perisian tersebut membolehkan imej yang ditayangkan dapat dipancar pada kubah tanpa mengira saiz.
Matlamat Chris dalam mereka bentuk kubah dan perisian tersebut adalah untuk memberi pengalaman yang berbeza kepada para pengunjung berbanding skrin rata berbentuk empat segi.
Dia mahukan semua tetamu yang datang ke setiap acara yang diuruskannya akan terpesona dengan seni visual yang dipertontonkan.
“Ia adalah integrasi seni dengan teknologi,” ujar lelaki yang berasal dari Australia itu.
Rahsia teknologi Oracle
Oracle Project adalah syarikat yang memiliki dan mempunyai kepakaran mengendalikan perisian tersebut. Sudah banyak syarikat dan pihak persendirian yang mahu membelinya tetapi ditolak oleh Oracle.
Pertama kali idea kubah projektor tersebut dibuat adalah pada tahun 2007 di Changi Mall, China.
Sehingga kini, syarikat tersebut telah mengembara hampir ke semua pelosok dunia bagi mempertontonkan keajaiban visual Oracle.
Mereka pernah terlibat dengan banyak syarikat gergasi seperti Adidas, Coca-cola dan Audi malah, pernah bersama-sama mengadakan persembahan dengan Duran Duran serta Lady Gaga.
Kesan visualnya sangat mengagumkan. Bayangkan imej kereta yang membosankan dapat diberi impak penuh mengagumkan kepada semua para hadirin ketika majlis perasmian kereta Volkswagen suatu masa dulu.
Imej kereta muncul dari skrin kubah dengan efek tiga dimensi mendekati penonton.
“Semua penonton kelihatan tercengang,” ujar Chris sambil mengajuk reaksi tetamu ketika itu dengan membesarkan mata dan menggerakkan kepala.
Untuk bahan yang digunakan bagi menyiapkan kubah pula, Oracle Project menggunakan sejenis bahan istimewa iaitu sejenis membran yang boleh menahan daya lenturan.
Kata Chris, banyak syarikat yang cuba untuk meniru rekaannya tetapi, menemui kegagalan apabila binaan mereka tidak bertahan lama dan runtuh.
Bagi Pavilion Event Dome, sebanyak enam buah kubah yang mempunyai ketinggian 8 meter dengan panjang 27.7 meter disambung menjadi sebuah premis acara.
Kubah yang terdapat di hadapan pintu masuk pusat beli-belah Pavilion itu merupakan yang paling kecil.
“Kubah Pavilion dibuat dalam tempoh dua hari sahaja dan ia mampu bertahan selama 50 tahun lagi,” terang Chris lagi.
Sebanyak 11 buah projektor wayang digunakan. Menurut pengarah acara Oracle Project, Beesim, 37, kedudukan projektor adalah ditentukan selepas corak dan kedudukan kubah dibuat.
Bekerja dalam bidang seni itu, Beesim sering berdepan dengan masalah apabila pelanggan mereka tidak mempunyai apa-apa idea untuk mempersembahkan produk mereka.
Sampuk Chris, biasanya mereka akan memulakan dengan mencari idea bahagian akhir persembahan iaitu kesan yang bakal dirasai oleh para pengunjung.
Selepas itu, barulah dia memikirkan konsep persembahan dan diikuti dengan pembangunan idea oleh pasukannya,
“Sudah pasti, saya mahu produk akhir sama dengan apa yang saya bayangkan (idea awal),” kata Chris kepada Kosmo!
Pavilion Event Dome merupakan sebuah projek kerjasama antara Oracle Project dengan pihak Pavilion. Ia hanya akan tersergam di depan pusat beli-belah itu sehingga 24 Februari ini sahaja.
“Sebagai sebuah pusat beli-belah yang terletak di lokasi tumpuan orang ramai. Pihak kami sentiasa mahu memberi kelainan kepada pengunjung,” kata Pengarah Pemasaran Pavilion, Kung Suan Ai.
Ini merupakan kerjasama kali kedua antara kedua-dua pihak dan Chris mengakui bahawa Pavilion merupakan pusat beli-belah pertama yang memiliki kubah acara 360 darjah.
Selepas ini, Chris dan pasukannya akan terlibat dalam persembahan sempena memperingati ulang tahun karamnya kapal Titanic kali ke-100 di New York, Amerika Syarikat.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: