Thursday, February 16, 2012

Fiesta belon udara kembali ke Putrajaya

TENTU ramai yang tidak mahu melepaskan peluang mendekati belon-belon udara panas ini nanti.


FIESTA tahunan Belon Udara Panas Putrajaya kembali lagi dengan menampilkan 25 buah belon udara panas dari 12 buah negara.

Edisi keempat fiesta yang bakal berlangsung dari 15 hingga 18 Mac itu pastinya memberikan inspirasi kepada orang ramai dengan tarikan reka bentuk, saiz dan warna yang pelbagai.

Pelawat edisi tahun lepas yang dianggarkan berjumlah 250,000 orang pasti tidak lupa dengan keunikan beberapa belon udara panas yang berbentuk figura dari filem Star Wars, Darth Vader, selain watak kartun Doraemon.

Fiesta 2012 dilancarkan di Putrajaya baru-baru ini oleh Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Datuk Zainal Abidin.

"Ini acara yang membanggakan Malaysia dan ia benar-benar acara antarabangsa yang berasal sepenuhnya dari negara ini. Penganjurannya menarik penyertaan warga tempatan dan asing dari seluruh dunia," kata Raja Nong Chik.

Raja Nong Chik berpendapat, fiesta itu akan berperanan sebagai sebuah program pembangunan bagi generasi muda dan akan mendedahkan mereka kepada aktiviti istirehat yang berguna.

Mengekalkan tema 2011, 1Dunia. 1Malaysia. 1Fiesta (1World. 1Malaysia. 1Fiesta) Tugu Milennium di Putrajaya sekali lagi menjadi tuan rumah fiesta yang menyeronokkan ini.

"Hanya segelintir acara tahunan di Malaysia yang menyaksikan penyertaan semua lapisan masyarakat di satu tempat sepanjang tempoh empat hari," kata Ketua Pegawai Eksekutif AKA Balloons Sdn. Bhd., Khairudin Abdul Rani.

Antara negara yang mengesahkan penyertaan mereka adalah Amerika Syarikat, Belgium, Poland, Belanda, Perancis dan Thailand.

Dengan penyertaan dari hampir setiap benua di dunia, acara ini menjadi landasan baik untuk menggabung satu dunia.

"Tahun lepas, kita menyaksikan penyertaan 28 pemilik belon udara panas tetapi pada tahun ini angka itu dikurangkan kepada 25 oleh kerana ruang yang terhad selain mengambil kira aspek keselamatan," kata Khairudin.

Pada satu daripada empat hari itu, pemilik-pemilik belon akan menghidupkan pembakar propana dan membiarkan belon mereka naik dan mencetuskan panorama yang indah. Satu pertunjukan bunga api akan turut mewarnai langit pada malam itu.

"Pertunjukan cahaya malam ini akan berlangsung pada 17 Mac ini. Ini acara tahunan kami," kata Khairudin.

Tengku Abdillah Tengku Hassan, Presiden Persekutuan Sukan Penerbangan Malaysia berkata, acara tahun ini akan memperkenalkan satu elemen baharu iaitu satu permainan yang dikenali sebagai Hare and Hound (Arnab dan Anjing Pemburu) bagi pemilik belon udara panas.

"Pada setiap hari sepanjang fiesta, sebuah daripada belon udara panas milik Malaysia berperanan sebagai hare iaitu ia akan terapung jauh, sebelum belon yang lain naik, seolah-olah bertindak sebagai hound. Objektif hound ialah untuk mengambil laluan yang sama dan mendarat di tempat yang sama, setepat yang mungkin," katanya.

Walaupun ia mungkin nampak mudah, permainan ini mencabar. Faktor-faktor seperti perubahan altitud dan pertukaran arus udara akan menguji kemahiran pengendalinya.

"Belon udara panas yang mengumpul bilangan mata tertinggi mata akan diumumkan sebagai pemenang pada hari terakhir acara," kata Tengku Abdillah.

Selain daripada acara utama, acara tujuga akan menyaksikan fiesta basikal, ragbi street touch, bersiar dengan helikopter, aktiviti sukan air dan aktiviti sukan lasak.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: