Friday, February 17, 2012

Bunohan bangkit nostalgia Azura

pix_middle

NAMA Tengku Azura Tengku Awang mungkin asing di persada lakonan tanah air, tetapi tidak di pentas peragaan kerana dia adalah model wanita Melayu yang hebat dan terkenal. Apatah lagi, wanita berusia 37 tahun ini pernah melonjakkan nama negara apabila dipilih menjadi wajah jenama Dior untuk rantau Asia.

Tinggalkan kecemerlangannya sebagai peragawati, kini tumpukan kepada kemunculan sulung Tengku Azura di layar perak. Mesra disapa Zura, dia menjadi satu-satunya pelakon wanita tunggal dalam filem Bunohan arahan pengarah berkaliber, Dain Iskandar Said. Apakah istimewanya Bunohan?

  • Foto

  • Foto

    NOSTALGIA...salah satu lokasi penggambaran dalam filem Bunohan.

  • Foto

    HAYATI...Azura sedang memperdengarkan dialek Kelantan kepada instrukturnya, Wan Azli Wan Jusoh.

  • Foto

Berbicara mengenai filem aksi-drama lakonannya, Zura berkata faktor utama dia menerima tawaran daripada Dain Said kerana selesa bekerjasama dengan sutradara berpengalaman itu. Katanya dia sudah lama mengenali Dain dan kerjasama mereka terjalin sejak mula bergiat aktif sebagai model iklan.

“Perkenalan yang sudah lama, selesa dan serasi bekerja dengan Dain membuatkan saya sedia berlakon di bawah arahannya. Ditambah lagi, jalan cerita dimuatkan dalam Bunohan dan karakter Mek Yah yang diberikan kepada saya agak mencabar dan harus dicuba. Tidak terkecuali, lokasi penggambaran.


“Ia cukup membuatkan saya amat berbesar hati kerana penggambaran filem ini dibuat di Terengganu yang juga negeri kelahiran ibu dan bapa saya. Bahkan, lebih membangkitkan nostalgia indah apabila kawasan kampung Payang dipilih Dain itu pernah didiami ibu dan nenek saya.


“Biarpun lahir dan dibesarkan di ibu kota, saya seorang yang suka balik ke kampung. Cuma, kawasan kampung Payang itu sudah tidak wujud lagi selepas ia dihanyutkan ombak. Apapun, bekerja dengan Dain banyak memberikan pengalaman baru dan menarik kepada saya. Dain, seorang yang kreatif,” katanya.

Ditanya apakah dia benar-benar serius menceburi lakonan, tanpa berselindung Zura berkata apa yang dilakukannya sekadar mencuba bakat. Ujarnya, dalam usia sekarang sudah agak terlewat untuk dia bergelar pelakon. Apa yang pasti, jelasnya dia sekadar mahu mencabar sejauh mana kemampuan diri.

“Saya ingin lihat sama ada diri boleh berlakon atau tidak. Malah, ketika terima tawaran untuk berlakon filem ini pun saya sudah maklumkan kepada Dain yang saya tak boleh menghafal skrip. Saya tidak biasa dan mujur babak diberikan tidak banyak. Setahu saya, ada lima babak saja sebagai penampilan khas.

“Lagipun, Bunohan lebih mengetengahkan kisah lelaki yang menjadi teraju utama. Jadi, watak Mek Yah tidaklah besar iaitu seorang penari makyung yang hilang secara misteri dan muncul sebagai buaya putih. Tak dinafikan, ia umpama mitos tetapi kisah buaya putih itu sebenarnya adalah satu legenda.

“Berdasarkan penyelidikan dan bertanya kepada ibu saya, Tengku Zaharah mengenai legenda buaya putih itu, ia dikatakan memang wujud di kalangan segelintir penari makyung. Ini kisah lama dan saya juga percaya bahawa Dain juga membuat penyelidikan mengenainya. Mengenali Dain, dia suka mengkaji.

“Setiap kisah yang diilhamkan Dain, pasti lebih dulu sudah dilakukan penyelidikan. Atas sebab itu, saya suka bekerja dengannya kerana idea yang hebat, berpengalaman dan suka membantu. Tak dinafikan, Dain banyak memberi tunjuk ajar kepada saya mahupun pelakon lain sepanjang pembikinan Bunohan,” katanya.

Menurut Azura, memandangkan kisah dipaparkan berkait rapat dengan seni warisan seperti makyung dan tomoi yang popular di kalangan masyarakat Kelantan, pastinya dialek Pantai Timur diguna pakai. Oleh itu, semua pelakon disediakan kelas latihan intensif belajar dialek Kelantan selama tiga bulan.

Turut tampil dengan busana lusuh, tidak bersolek dan rambut yang kusut diakui Zura pengalaman yang cukup menarik. Katanya dia tidak pernah berasa malu tampil dalam gaya biasa seperti itu di layar perak. Jelasnya, dia seorang yang cukup ringkas dalam penampilan dan juga tidak suka bersolek.

“Saya hanya akan bersolek untuk bekerja. Jadi, apabila bercuti atau berada di rumah, saya suka tampil biasa dan bergaya sederhana saja. Itulah diri saya yang sebenar. Oleh itu, macam saya katakan perasaan memang gembira muncul dengan tidak bersolek dalam Bunohan. Ia nyata berbeza dengan karier saya,” katanya.

Biarpun Bunohan belum ditayangkan di pawagam tempatan, tetapi karya ini sudah sampai ke tahap antarabangsa. Ia secara tidak langsung mengubat kedukaan Dain apabila filem pertama arahannya, Dukun hingga kini tidak ditayangkan. Apapun, pencapaian Bunohan boleh dianggap di tahap terbaik.

Bunohan mewakili negara untuk tayangan di World Premiere: Toronto International Film Festival 2011, Asian Premiere: Taipei Golden Horse Film Festival (Netpac Award) 2011, Latin American Premiere: Sao Paulo International Film Festival 2011 dan European Premiere: Rotterdam International Film Festival 2012.

Sehubungan itu, barisan pelakon hebat lain yang membintangi Bunohan ialah Faizal Hussein sebagai Ilham, Zahiril Adzim (Adil/ Bunga Lalang), Pekin Ibrahim (Bakar), Bront Palarae (Deng), Nam Ron (Pak Wah), Wan Hanafi Su (Pak Eng), Soffi Jikan (Awang Sonar), Jing (Jimmy Lor) dan Hushairy Hussin (Jolok).



Trivia Tengku Azura

  • Karakter diri anda
    Seorang yang pemalu

  • Kisah enggan dikongsi
    Berkaitan keluarga

  • Individu pendorong semangat
    Ibu, Tengku Zaharah

  • Perasaan masuk paya dan berhadapan pacat
    Mula-mula takut tapi sekarang sudah berani

  • Pengarah pilihan
    Hanya pertimbang tawaran daripada Dain
  • No comments:

    Post a Comment

    Tinggalkan Komen Anda Sini: