Thursday, February 16, 2012

Bukan platform untuk megah diri



PERANAN dan sumbangan penggiat seni terutamanya pelakon dan penyanyi dalam memeriahkan lagi industri seni hiburan tanah air semakin mendapat pengiktirafan ramai termasuklah kerajaan. Situasi ini boleh dilihat apabila semakin ramai artis tempatan sekarang yang mendapat darjah kebesaran di beberapa buah negeri berdasarkan sumbangan mereka terhadap bidang yang diceburi.

Jika dahulu jumlah artis yang bergelar Tan Sri atau Datuk boleh dikira dengan jari, tetapi kini bilangannya semakin bertambah. Biasanya gelaran tersebut diberikan kepada individu yang masih hidup, tetapi ada juga dikurniakan kepada yang sudah meninggal dunia.

Sebagai contohnya, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee hanya dianugerahkan Bintang Kebesaran Darjah Panglima Setia Mahkota oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada tahun 1990, manakala Datuk Sudirman Haji Arshad pula menerima Darjah Sultan Ahmad Shah Pahang (DSAP) selepas 17 tahun pemergiannya.

Mengulas mengenai darjah kebesaran yang semakin ramai diterima oleh penggiat seni, Datuk Freddie Fernandez berkata ia sememangnya adalah satu pengiktirafan yang cukup besar dan bermakna dalam industri hiburan.

Selaku Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), Freddie menyatakan bahawa sumbangan dan jasa artis juga sebenarnya cukup besar kepada negara dan memang wajar sekiranya penyanyi atau pelakon turut diiktiraf seperti mereka yang berjaya dalam bidang lain.

"Sekitar tahun 80-an dan 90-an dahulu tidak ramai artis yang memegang gelaran seperti Datuk, tetapi kini jumlahnya sudah semakin bertambah dan ini adalah satu pencapaian yang cukup membanggakan.

"Dengan darjah kebesaran yang dikurniakan kepada golongan artis ini, pastinya ia setimpal dengan pengorbanan mereka terhadap bidang yang diceburi serta peranan dalam menghiburkan masyarakat," jelasnya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Jika sebelum ini kurniaan berkenaan lebih kerap diberikan kepada artis-artis yang sudah puluhan tahun menabur bakti dalam dunia seni, Freddie turut berbangga kerana kini sudah terdapat beberapa artis muda yang turut mendapat kurniaan yang sama.


AC Mizal (dua dari kiri) dan Eizlan bersama isteri masing-masing, Emylia Rosnaida dan Vieshantie Harun bergambar di Istana Balairung Seri Istana Abu Bakar Pekan pada 22 Disember tahun lepas yang merupakan tarikh mereka dikurniakan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) membawa gelaran Datuk.


Menurutnya, selain dilihat sebagai satu pengiktirafan yang cukup besar dan bermakna dalam industri hiburan, sudah tentu artis yang mempunyai gelaran mampu dijadikan role model kepada orang ramai.

"Sudah tentu segelintir artis yang mendapat darjah kebesaran ini berusaha keras sepanjang pembabitan dalam kerjaya masing-masing, maka dengan usaha keras yang ditunjukkan itu pastinya boleh menjadi ikutan terutama kepada artis yang mula bertapak dalam arena seni ini," ujarnya.

Sementara itu, salah seorang penyanyi wanita yang pernah menerima darjah kebesaran, Datuk Khatijah Ibrahim menegaskan bahawa memegang sesuatu gelaran itu bukanlah sebagai platform untuk bermegah-megah.

Menurut penerima Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) pada tahun 2009 itu, pengiktirafan yang diterimanya itu telah membuatkannya supaya lebih berusaha keras lagi untuk mencurahkan bakti dalam bidang seni.

"Perjalanan kehidupan yang saya lalui sekarang ini tidak ada jauh bezanya dan tetap sama seperti dahulu. Begitu juga dengan rakan-rakan seangkatan lain yang turut bergelar Datuk.

"Sebagai seorang penghibur peranan saya sudah tentu adalah mahu terus menghiburkan orang ramai. Pengiktirafan yang diperolehi ini pula adalah merupakan satu anugerah yang cukup bermakna sebagai seorang anak seni," ujarnya.

Biarpun sudah bergelar sebagai Datuk sejak tiga tahun lalu, namun penyanyi yang sudah melayari kehidupan sebagai anak seni selama lebih 30 tahun itu lebih selesa membahasakan diri sebagai Kak Kathy.

"Memang sejak dari dahulu lagi kalau berbual bersama rakan-rakan atau beramah mesra dengan para peminat, saya tetap membahasakan diri sebagai Kak Kathy dan ia membuatkan saya lebih dekat dengan mereka," ujarnya yang juga merupakan pemilik restoran Khatijah's Kitchen.

Pengiktirafan terbesar

Seorang pelakon yang baru sahaja bergelar Datuk pada bulan Disember 2011, Datuk Eizlan Yusof menyatakan yang dia sendiri langsung tidak menyangka apabila dikurniakan DIMP.

Ujarnya, pada awal tahun lalu dia diminta untuk menghantar butiran peribadi dan enam bulan kemudian dia telah menerima surat rasmi dari Istana Pahang yang menyatakan baginda Sultan Pahang telah memperkenankannya untuk menerima darjah kebesaran tersebut.

"Pertama sekali saya bersyukur dan ingin menjunjung kasih Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang, Sultan Haji Ahmad Shah dan Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Al-Haj atas kurniaan yang sebegitu tinggi ini.

"Secara kebetulan ketika saya menerima surat berkenaan pada 15 Jun 2011, sebulan sebelum hari ulang tahun saya yang ke-40. Jadi saya anggap ia adalah sebagai hadiah yang paling bermakna buat diri saya," ujarnya.

Mula berkecimpung dalam dunia lakonan pada tahun 1995, Eizlan menyatakan darjah kebesaran yang diterimanya itu merupakan satu pengiktirafan yang terbesar dalam kerjayanya sebagai seorang pelakon.

Jelas Eizlan, dia merasakan segala pencapaian yang diraihnya seperti bergelar pelakon popular dan gelaran yang diperoleh itu adalah hasil usahanya selama terbabit dalam bidang seni serta berkat doanya kepada Allah agar segala kerja yang dilakukan dapat dipermudahkan.


M. NASIR dan pemuzik Ramli MS turut menerima Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) pada tahun 2011.


"Semasa mula berkecimpung dalam dunia lakonan dahulu, saya bertekad untuk mencipta sesuatu kejayaan yang boleh dibanggakan. Walaupun bermula sebagai pelakon pembantu, tetapi saya bersyukur kerana tidak mengambil masa terlalu lama untuk berdiri sebaris dengan pelakon popular lain.

"Selepas tampil dengan drama bersiri Jaguh-Jaguh, kerjaya lakonan saya semakin berkembang termasuklah mendapat tawaran berlakon filem serta mewakili Malaysia ke acara festival yang berlangsung di luar negara," ujarnya.

Ditanya tentang pandangan sesetengah pihak yang memandang sinis terhadap gelaran yang diterimanya itu, pelakon berkenaan menegaskan dia tidak kisah jika ada yang berpandangan sebegitu kerana menganggap segala yang diterima itu adalah atas kehendak Allah.

"Dahulu saya pernah berasa kecewa dan kecil hati apabila ada pihak melemparkan tohmahan dan mempersoalkan kewibawaan saya sebagai pelakon, tetapi sekarang saya sudah lali dengan segala tohmahan terhadap diri saya," ujarnya.

Mengenai kerjaya lakonan pula, Eizlan memberitahu dia masih lagi berlakon sehingga kini, biarpun turut sibuk dalam bidang perniagaan sebagai Pengerusi Eksekutif Blackstone Dagangan Sdn. Bhd.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: