SAO PAOLO - Brazil "hampir pasti" membeli jet pejuang Perancis, Rafale, bagi meningkatkan keupayaan pertahanan udara negara Amerika Selatan berkenaan.
Keputusan tersebut jika dimuktamadkan kelak, bakal menjadikan Brazil memilih pesawat tempur itu.
Presiden Brazil, Dilma Rousseff dan barisan penasihat kanan beliau percaya tawaran firma Perancis, Dassault Aviation untuk menjual 36 buah jet Rafale adalah yang terbaik secara keseluruhan berbanding dua lagi pesaingnya.
Rousseff sebelum ini bimbang berhubung keupayaan Rafale berikutan belum ada pihak luar yang membeli jet pejuang berkenaan.
Namun, beberapa sumber memberitahu, kebimbangan tersebut terlerai selepas India pada 31 Januari lalu mengumumkan untuk membeli 126 buah pesawat Rafale.
Dua lagi pembida selain Perancis adalah jet pejuang F-18 Super Hornet buatan firma Amerika Syarikat (AS), Boeing dan jet tempur buatan Saab dari Sweden, Gripen.
Pesawat AS, F-18 dipercayai lebih murah berbanding Rafale.
Namun, sumber-sumber di Brazil berkata, Dassault menawarkan kombinasi terbaik merangkumi pesawat pejuang berkualiti tinggi dan perkongsian teknologi yang merupakan faktor utama untuk Brazil menerima tawaran firma Perancis berkenaan.
Brazil berharap dapat menggunakan teknologi Perancis untuk membangunkan industri pertahanan negara tersebut yang diterajui firma tempatan, Embraer.
Dassault mengemukakan Rafale sebagai pesawat bersaiz sederhana dan tangkas di samping kos operasi yang rendah. Faktor-faktor tersebut menjadi tarikan utama kepada Brazil yang tidak memiliki konflik dengan jiran-jirannya, tetapi mahu menggunakan Rafale bagi tujuan pertahanan seperti meronda kawasan-kawasan sumber minyak di perairan negara itu.
Akhbar Perancis, La Tribune pada 2 Februari lalu telah melaporkan bahawa Dassault akan memuktamadkan perjanjian untuk menjual sekurang-kurangnya 16 buah jet Rafale kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) tidak lama lagi.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: