SETIAP hidupan yang diciptakan oleh tuhan pasti memiliki kelebihannya yang tersendiri.
Jumlah spesies flora dan fauna yang terdapat di dunia ini tidak dapat dihitung. Namun kerja-kerja mengenalpasti dilakukan oleh saintis secara berterusan.
Bagaimana pula nasib bagi spesies-spesies flora yang telah dikenal pasti memiliki potensi dan manfaat yang besar kepada manusia namun sedang diancam kepupusan?
Bagaimana pula mahu mengekalkan kesinambungan spesies tersebut agar tidak terus lenyap?
Di sinilah bermulanya penglibatan bidang perhutanan dengan kawasan ais atau tundra yang memiliki suhu di bawah paras beku di Antartika.
Kawasan tersebut menyediakan persekitaran yang cukup sesuai untuk penyimpanan biji benih pokok-pokok yang berada dalam spesies terancam.
Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Datuk Dr. Abd Latif Mohmod berkata, pada masa ini simpana dan pemuliharaan biji benih spesies pokok balak terancam dilakukan secara tiruan.
"Kita menggunakan sebatian kimia seperti cecair hidrogen untuk menyimpan biji benih pokok-pokok ini. namun ia tidak dapat bertahan lama.
"Melalui penglibatan Malaysia bersama kajian di Antartika, saya dapat lihat ini peluang baik untuk mengkaji salah satu cara menyimpan biji benih dengan selamat secara semulajadi di sana," ujarnya.
Katanya, di Antartika cuaca yang terlalu sejuk boleh menjadikan biji benih diawet secara semulajadi dengan baik tanpa merosakkannya (boleh ditanam semula).
Justeru, FRIM boleh melakukan kajian khas untuk tujuan tersebut ke atas spesies flora yang memiliki ciri-ciri istimewa dan pelbagai guna kepada manusia.
Beliau berkata demikian pada majlis ceramah umum oleh Pengerusi Program Penyelidikan Malaysia Antartika, Akademi Sains Malaysia (ASM), Tan Sri Dr. Salleh Mohd. Nor bertajuk Pengembaraan ke Benua Antartika di FRIM, Kepong baru-baru ini.
Tujuan ceramah tersebut adalah untuk berkongsi pengalaman, maklumat dan peluang yang membolehkan saintis negara terbabit secara langsung dalam semua penyelidikan di benua tersebut.
Dr. Salleh yang juga merupakan bekas ketua Pengarah FRIM dan bekas Presiden Persatuan Pencinta Alam (MNS) telah mengiringi Tuanku Mizan Zainal Abidin sewaktu baginda menjawat jawatan Yang di-Pertuan Agong membuat lawatan kerja ke benua Antartika pada November tahun lepas.
Lawatan tersebut bersempena penyertaan Malaysia ke atas Triti Antartik 1959 pada 31 Oktober tahun lalu.
Para saintis dan penyelidik Malaysia juga telah menjalankan penyelidikan di benua tersebut sejak tahun 1999 sehingga 2010.
Sejumlah 62 ekspedisi saintifik telah diadakan dengan melibatkan 60 penyelidik dari tujuh institusi pengajian tinggi (IPT).
Pelbagai pengalaman dan peluang untuk melaksanakan kajian di Antartika didedahkan oleh Dr. Salleh. Salah satunya adalah berkaitan dengan perhutanan.
Justeru, bagaimana pula kaitan antara perhutanan dengan kawasan yang suhunya yang sentiasa mencecah di bawah paras beku?
Menurut Dr. Salleh, biarpun Antartika tidak memiliki sebarang hutan, namun kajian berkaitan aspek asas boleh dilakukan di sana.
Jelasnya, beberapa saintis daripada luar negara berjaya mengesan fosil tumbuhan (yang diterbangkan angin) berusia ribuan tahun terpelihara dengan baik di bawah lapisan ais di Antartika.
"Ia merupakan satu penemuan yang menakjubkan. Seperti mana yang kita ketahui, Antartika merupakan antara kawasan dunia yang terpelihara kebersihannya.
"Oleh itu, kajian dan penyelidikan berkaitan dengan perbezaan keadaan seperti antara kawasan panas dan sejuk dapat dilakukan di sana tanpa ada sebarang gangguan pencemaran," katanya.
Selain itu, kawasan tundra yang amat sejuk dan tidak dicemari menjadikan kawasan tersebut berpotensi sebagai pusat penyimpanan.
Dikenali sebagai Bank Benih, kajian mengenainya telah lama dilakukan oleh saintis luar negara dan kini tiba giliran Malaysia untuk turut melibatkan diri.
Selain sesuai menjadi kawasan penyimpanan, pelbagai lagi kajian dan penyelidikan boleh dilakukan di Antartika.
Dalam pada itu, Dr. Abd Latif turut mengumumkan penubuhan Tabung Amanah Antartika (TAA) untuk tujuan tersebut oleh FRIM.
Katanya, idea penubuhan tabung tersebut telah dibentangkan kepada Lembaga FRIM dan akan diluluskan secepat mungkin.
"Kita menyasarkan ia diluluskan pada februari tahun ini.
"FRIM sememangnya memiliki tabung atau dana khas untuk tujuan penyelidikan, justeru dana yang sedia ada ini akan dipecahkan dan salah satunya untuk kegunaan TAA." katanya.
Peruntukkan daripada tabung tersebut akan digunakan oleh penyelidik daripada FRIM untuk melaksanakan kajian di Antartika.
"Kita menyasarkan sebanyak RM500 ribu untuk tabung ini dan menjangkakan progres untuk melaksanakan kajian di Antartika akan bermula enam bulan akan datang," ujarnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: