Friday, February 10, 2012

Antara propaganda dan realiti


Rombongan Perkim, Selama, Perak bergambar kenangan dengan masyarakat Islam di Chengrai, Thailand.


APABILA menyentuh mengenai umat Islam di Thailand, kita pasti akan mengaitkan mengenai keganasan dan konflik yang berlaku di selatan negara itu.

Di wilayah berkenaan, kita digambarkan bahawa umat Islam di situ sentiasa ditindas dan menghadapi tekanan hidup akibat sikap kerajaan.

Bagaimanapun semua itu hanyalah propaganda yang sentiasa dimainkan oleh kelompok berkepentingan demi mencapai agenda politik mereka.

Nasib umat Islam di Thailand, sama ada di utara mahu pun selatan jauh lebih baik daripada apa yang digambarkan.

Kesempatan mengikuti rombongan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim), Selama, Perak, yang diketuai Presidennya, Datuk Mohammd Rodzi Awang Kechek, baru-baru ini memberi peluang kepada penulis mengetahui lebih mendalam mengenai nasib umat Islam di negara Gajah Putih.

Jika sebelum ini, penulis berkesempatan menyelami kehidupan masyarakat Islam Thailand di selatan iaitu di Narathiwat dan Pattani, lawatan kali ini pula merangkumi kunjungan ke wilayah utara iaitu Chiangmai dan Chengrai.

Adalah jelas seperti mana kata Ketua Pejabat Penyelaras Sempadan Malaysia-Thailand, Mejar Jeneral Chanwoot Indhulux, apa yang dilakukan oleh pihak tertentu dalam menggugat keamanan Thailand dengan cuba mewujudkan pergolakan di selatan hanyalah ibarat percikan air di dalam laut yang tidak mendatang apa-apa kesan.

Sebaliknya, kata beliau yang cukup popular di kalangan masyarakat Islam Thailand, kerajaan negara itu sentiasa berusaha bersungguh-sungguh bagi memberikan kestabilan kehidupan kepada semua rakyat tanpa mengira sesiapa.

"Kami tidak akan berputus asa, sebaliknya akan meningkatkan usaha bagi memastikan ancaman pejuang yang cuba menggugat kedudukan rakyat dapat dihentikan," katanya ketika berucap pada majlis makan malam bersama rombongan Perkim.

Sebab itulah, Chanwoot dan pemerintah Thailand, amat mengalu-alukan kehadiran rombongan daripada Malaysia untuk melihat sendiri kehidupan masyarakat Islam di Thailand.

Melalui langkah itu tegas beliau, rakyat Malaysia akan mendapat gambaran sebenar mengenai situasi masyarakat tersebut yang sering digambarkan sentiasa ditindas dan tidak dibela.

Sememangnya bagi Chanwoot dan pemerintah Thailand tiada apa yang perlu disembunyikan dalam soal tersebut.

Perkara ini diakui oleh Mohammd Rodzi dalam ucapannya bahawa sepanjang lawatan sebelum ini di Pattani dan Kabang rombongan melihat sendiri keadaan sebenar masyarakat Islam di selatan Thailand yang dapat menjalani kehidupan dengan bebas dan mendapat perlindungan daripada pemerintah negara.

Semua ini sudah menjadi bukti bahawa ada pihak tertentu yang tidak senang dengan kehidupan aman yang dinikmati oleh masyarakat Islam.

Kononnya atas nama perjuangan, jihad dan kebebasan mereka cuba mencetuskan huru-hara termasuklah melancarkan serangan bom sehingga mengorbankan insan tidak berdosa.

Sesungguhnya perbuatan golongan berkenaan amat bertentangan dengan ajaran Islam itu sendiri yang amat melarang kita melakukan kerosakan di muka bumi dan membunuh insan tidak bersalah.

Namun, golongan berkenaan sememangnya mempunyai agenda tersendiri justeru mereka cuba menggambarkan kepada dunia luar kononnya umat Islam di Thailand ditindas.

Pelbagai cara mereka lakukan bagi mengaut keuntungan peribadi termasuklah kononnya menubuhkan tabung jihad fisabillah bagi membantu pejuang.

Tetapi hakikatnya, apa yang mereka lakukan adalah sia-sia kerana masyarakat Islam Thailand tidak menyokong perjuangan mereka.

Ini kerana pemerintah Thailand tidak pernah mendiskriminasi masyarakat Islam seperti mana mereka dakwa.

Malahan masyarakat tersebut menikmati hak seperti rakyat Thailand lain tanpa rasa bimbang atau takut.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: