Saturday, January 21, 2012

Zul tidak lagi hubungi Abby


NOSTALGIA. Zul dan Abby ketika di alam percintaan.


KEHADIRAN Zul Ariffin dalam dunia lakonan seolah-olah mampu memberi cabaran kepada pelakon lelaki yang sedia ada. Tidak dinafikan, dia kini antara pelakon yang semakin meningkat naik serta kerap menjadi pilihan pengarah dan produser.

Namun begitu, pembabitannya sebagai anak seni dilihat seiring dengan kisah cintanya dengan pelakon Abby Abadi. Sehinggakan kisah cinta mereka berdua lebih mendapat perhatian berbanding cerita tentang perjalanan kerjayanya.

Bagaimanapun, cinta yang telah berputik sejak tiga tahun yang lalu kini sudah pun menjadi sejarah apabila masing-masing membuat keputusan untuk berpisah.

Di sebalik perpisahan yang berlaku itu, ternyata ada cakap-cakap nakal yang mengatakan selama ini Zul sekadar menggunakan bekas kekasihnya itu sebagai platform untuk cepat popular.

Berkesempatan menemuinya di lokasi filem Penanggal di Kuala Kangsar, Perak baru-baru ini, pelakon itu meluahkan dia tidak pernah merasakan yang dirinya popular selama ini.

Kosmo!: Bagaimana anda boleh terbabit dalam filem Penanggal?

ZUL: Kira-kira bulan Mei tahun lalu saya ada terbabit dalam drama Laila Manja untuk slot Lagenda di TV3. Antara pelakon lain yang turut berlakon dalam drama berkenaan adalah pengarah filem Penanggal iaitu Ellie Suriati.

Semasa menjalani penggambaran drama tersebut, Ellie bertemu dengan saya dan memberitahu dia bakal menghasilkan sebuah filem. Kemudian pada bulan September lalu dia ada meminta saya hadir untuk sesi ujibakat dan akhirnya dia memilih saya untuk berlakon dalam filem sulung arahannya itu.

Apa watak lakonan Zul dalam Penanggal?

Sebenarnya ini adalah filem kedua saya selepas filem Evolusi KL Drift. Dalam filem Penanggal, saya membawakan watak sebagai Syed Omar iaitu adik kepada Syed Yusof yang dilakonkan oleh Azri Iskandar.

Mengenai watak yang saya bawakan ini, ia boleh dikatakan memang cukup mencabar kerana memerlukan saya melakukan beberapa perkara yang tidak pernah saya lakukan sebelum ini iaitu berbahasa Arab dan bersilat.

Semua peminat sudah tahu hubungan Zul dan Abby sudah pun berakhir. Bagaimana kehidupan selepas bergelar solo?

Sekarang ini saya tidak mahu lagi memikirkan tentang hubungan yang telah berakhir itu. Lagipun lebih baik sekiranya saya lebih memberikan tumpuan kepada kerjaya saya sebagai pelakon.

Kini keutamaan saya adalah lebih kepada kerjaya lakonan dan selepas ini saya tidak mahu kehidupan peribadi saya lebih menjadi tumpuan. Saya tidak mahu peminat memberi persepsi yang buruk terhadap diri saya.

Ada sesetengah pihak yang mengatakan Zul sekadar menggunakan Abby untuk cepat popular. Boleh Zul komen?

Popular ke saya? Sepanjang empat tahun saya menjadi seorang pelakon, saya tidak pernah merasakan diri saya ini seorang yang popular. Jadi, tidak perlu timbul isu yang saya mengambil kesempatan semata-mata untuk kepentingan diri sendiri.

Semenjak hubungan cinta kamu berdua putus, adakah Zul masih menghubungi Abby lagi?

Selepas kami berpisah memang saya tidak lagi menghubungi Abby. Bagi saya, tidak perlu lagi untuk kami berdua berhubung kerana masing-masing sudah pun buat keputusan untuk membawa haluan sendiri.

Adakah Zul serik untuk bercinta sesama artis pada masa akan datang?

Susah untuk saya perkatakan mengenainya kerana apa yang telah berlaku itu saya anggap sebagai satu pengajaran yang berguna agar tidak lagi mengulangi kesilapan sewaktu bercinta dengan Abby dahulu.

Sama ada bercinta dengan rakan sesama artis atau orang biasa, yang paling penting kena pandai membawa diri dan menjaga hubungan tersebut supaya terus berkekalan. Memandangkan saya sudah berada di dalam industri ini, bercinta sesama pelakon pastinya agar sukar untuk dielakkan dan terima siapa sahaja jodoh saya.

Sekarang Zul sudah ada temui pengganti?

Buat masa ini biarlah saya hidup solo terlebih dahulu dan saya lebih selesa dengan keadaan sekarang. Malah, untuk menjalinkan hubungan cinta dengan Abby semula saya rasa adalah suatu perkara yang agak mustahil.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: