Sunday, January 29, 2012

Berkorban demi anak


Mohd. Idham Yahya yang terlantar lumpuh ditemani ibu dan adik-beradiknya.


Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Beban yang terpaksa ditanggung seorang ibu tidak mampu disembunyikan lagi sejurus diajukan soalan tentang keadaan anaknya.

Air mata Jamaliah Mohd. Saidin, 58, tidak mampu ditahan kala mengenangkan nasib anaknya, Mohd. Idham Yahya, 26, yang kini terlantar lumpuh.

Lebih memilukan, bantuan tidak putus-putus yang disumbangkan para dermawan sejak kisah anaknya tersiar di beberapa akhbar tempatan tahun lalu, hilang bersama seseorang.

Baru-baru ini, Jamaliah mengetahui yang anak dan menantunya itu sudah bercerai sebelum Mohd. Idham lumpuh akibat kemalangan lagi.

Menurutnya, Mohd. Idham terlantar selepas terlibat dalam nahas ngeri di gaung dekat Gua Tempurung, Perak.

Doktor memaklumkan anaknya mengalami pendarahan otak yang memberi kesan kepada urat saraf.

Kedua-dua tangan Mohd. Idham patah dalam kemalangan itu dan dia terlantar selama empat bulan di hospital sebelum dibawa pulang ke rumah.

Akibat kemalangan itu, Mohd. Idham yang menjadi tunjang pendapatan keluarganya, separuh koma.

Jamaliah menambah, ada masanya Mohd. Idham diserang sawan, sering tergigit bahagian dalam mulut sehingga berdarah dan perlu diberikan perhatian sepanjang masa.

Mohd. Idham hanya diberi 'makan' susu melalui saluran tiub.

"Sesiapa sahaja melihat keadaannya ketika itu pasti luluh hati," katanya

bantuan

Syukurlah atas bantuan Persatuan Penduduk Taman Wilayah Fasa 4 (Tawis F4), Taman Wilayah Selayang, Kuala Lumpur yang dipengerusikan Mohamed Noor Sain, kisah malangnya mendapat perhatian media.

"Ketika Mohamed memanggil pihak media, beban kami berkurangan sedikit.

"Selama ini banyak bantuan terutamanya wang disampaikan terus kepada menantu kerana saya hanya menguruskan makan minum Mohd. Idham," ujar Jamaliah.

Tindakannya memberanikan diri pergi ke pejabat Perkeso untuk bertanyakan bantuan Mohd. Idham mendedahkan keadaan yang berlaku.

"Saya tidak menyangka alamat Mohd. Idham di bawah jagaan saya telah diubah oleh orang lain. Padahal Mohd. Idham masih di bawah jagaan saya di Selayang. Setelah berbincang, pihak Perkeso sudi membantu saya," katanya menghela nafas lega.

Bantuan

Jamaliah turut bersyukur kerana Mohamed dan anak-anaknya yang lain membantu sedikit sebanyak meringankan bebannya.

Kini, Mohd. Idham juga menerima bantuan Baitulmal dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

"Kami bersyukur dan berterima kasih kepada orang ramai atas bantuan yang diterima sekarang terutamanya daripada penduduk sekitar sini dan rakan-rakan Mohd. Idham," katanya yang terpaksa berhabis untuk kos ubat-ubatan dan susu anaknya itu.

Mohd. Idham juga kini mula menjalani rawatan akupuntur sebanyak lima sesi dalam dua minggu dengan kos RM400.

Dalam pada itu, Mohamed berkata, persatuan penduduk amat kesal dengan apa yang terjadi terhadap Mohd. Idham.

"Tidak sangka masih ada lagi orang yang mengambil kesempatan atas kekurangan insan lain," ujarnya.

Justeru, beliau meminta orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan menghubunginya terus di talian 013-3909944 atau Jamaliah di talian 012-3416226.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: