JoHaRa

Setelah Aznil Nawawi atau Pak Nil meninggalkan segmen Riuh Pagi Era, pendengar setia stesen radio Era FM dihidangkan pula dengan slot baru iaitu JoHaRa Pagi Era.

JoHaRa ialah singkatan yang merujuk kepada nama tiga penyampai bagi segmen tersebut iaitu Johan, Haniff dan Ray.
Walaupun kolaborasi ini baru sahaja menjalankan tugasan mereka sejak 1 Januari lalu, ternyata gandingan ketiga-tiga penyampai ini berjaya menampilkan kelainan yang mampu memberi kejutan buat pendengar setia sekali gus menarik minat pendengar lain untuk memilih stesen tersebut.
Jika sebelum ini slot Pagi Di Era pernah dikendalikan nama-nama yang berpengaruh seperti Aznil, Allahyarham Din Beramboi, Kieran dan Khairil Rashid, kini tugas tersebut disandarkan pula kepada Johan untuk mengembalikan kegemilangan stesen radio itu.
Johan yang merupakan bekas peserta bagi program realiti Raja Lawak musim pertama kini sedang menjalani proses menyesuaikan dirinya dengan tugasan sebagai penyampai di konti bersama Ray dan Haniff yang lebih berpengalaman.
Menurutnya, walaupun sebelum ini dia tidak pernah menyimpan hasrat untuk bergelar penyampai, tawaran yang diberikan tidak dilepaskan begitu sahaja.
Malah, Johan mengakui dirinya kini sudah jatuh cinta dengan kariernya itu.
“Walaupun saya tidak mempunyai sebarang pengalaman sebagai seorang penyampai, ianya tidak memberi sebarang masalah dengan kelebihan yang ada pada saya.
“Mujur saya seorang yang banyak bercakap dan ianya sedikit sebanyak dapat membantu saya menyesuaikan diri dengan kerja ini,” katanya.
Johan yang dikenali dengan lawak spontannya itu juga menyatakan bahawa komitmen sebagai seorang penyampai yang mengendalikan segmen pagi tidaklah semudah yang difikirkan, tambahan pula dia juga merupakan seorang pelakon.
“Secara positif, saya memandang komitmen ini sebagai satu rutin harian yang mendisiplinkan diri. Walaupun terpaksa korbankan waktu rehat, saya masih lagi sayangkan karier ini,” ujarnya.
Menyentuh tentang kerjasama bersama Ray dan Haniff, Johan menyatakan dia tidak mengambil masa yang lama untuk mewujudkan keserasian antara mereka.
“Saya selesa bekerja dengan mereka berdua dan toleransi yang ada membuatkan kami cepat mesra dan senang sepanjang berada di konti. Sebagai orang baru, banyak perkara yang saya belajar daripada mereka.
“Walaupun masih baru dalam bidang ini, saya akan lakukan yang terbaik supaya JoHaRa Pagi Di Era menjadi lebih mantap seterusnya dapat menaikkan nama stesen radio Era FM ke peringkat yang lebih baik,” katanya.

Pengalaman mengajar Haniff
Berkongsi pengalaman perjalanan awal bergelar penyampai, Haniff Hamzah atau lebih dikenali sebagai Haniff menyatakan penglibatannya dalam bidang itu bermula dengan bertugas sebagai skuad X Fresh FM pada 2005.
“Saya mengambil keputusan untuk mencuba nasib sebagai penyampai di Era FM apabila mereka sedang mencari pengganti arwah Din Beramboi.
“Tak sangka saya terpilih dan peluang yang diberikan tidaklah saya sia-siakan begitu sahaja,” ujarnya.
Pada 2010, Haniff memulakan tugasnya sebagai penyampai pada segmen pagi di Era FM bergandingan bersama Aznil dan Ray.
“Bekerja bersama Pak Nil sememangnya memberi saya banyak pengajaran dan pengalaman yang berharga dan dari situlah saya belajar sedikit sebanyak pengetahuan tentang bidang penyampai.
“Pak Nil yang berpengalaman dalam bidang ini sentiasa memberi kami tunjuk ajar dan kami amat selesa bekerja bersama beliau,” katanya.
Menyentuh tentang segmen terbaru, JoHaRa Pagi Di Era, Haniff menyatakan ianya merupakan satu pengalaman baru dan kelainan yang dilakukannya bersama Ray dan Johan untuk meneruskan kegemilangan segmen pagi di stesen radio itu.
Katanya, sebagai kapten segmen itu, dia perlu mengawal dan memastikan semua yang dirancang berjalan dengan lancar bersama Ray dan Johan.
“Sebelum ke udara, perbincangan antara penyampai pagi akan diadakan supaya semuanya akan berjalan seperti yang dirancang.
“Setakat ini, saya dan Ray serta Johan telah berikan yang terbaik untuk menarik minat pendengar supaya terus setia bersama kami dan saya yakin segmen ini akan terus menceriakan pagi pendengar,” katanya.
Haniff berkata, karakter berbeza yang dibawa oleh mereka juga telah memberi kelainan yang berupaya menceriakan segmen pagi itu.

Ray lakukan yang terbaik
Bagi Shahreza Mohd Shah atau Ray, pengalaman bertugas sebagai Skuad Era bermula 2005 banyak memberinya pendedahan untuk mendekati pendengar.
“Dua tahun saya bertugas sebagai Skuad Era serba sedikit mengajar saya untuk berinteraksi bersama pendengar dan dari situlah saya mula meminati bidang penyampaian radio.
“Pada 2008, saya pernah digandingkan bersama Haniff sebagai penyampai X Fresh FM dan kemudian pada tahun berikutnya kami menyertai Era FM,” katanya.
Ray berkata, keserasian gandingannya bersama Haniff membuatkan mereka senang untuk bekerjasama dan selesa sepanjang bertugas di konti mahupun di luar konti.
“Pengalaman yang tidak akan saya lupakan adalah semasa mengendalikan segmen pagi bersama Haniff dan Pak Nil.
“Beliau banyak memberi tunjuk ajar kepada kami dan saya amat berbangga dapat bekerjasama dengan beliau yang menjadikan segmen kami lebih menarik,” kata Ray.
Bagi JoHaRa Pagi Di Era, Ray berpendapat segmen tersebut sememangnya dapat memberi impak berbeza daripada segmen pagi sebelumnya.
Lebih-lebih lagi dengan kemunculan Johan yang sentiasa memberi keceriaan pada ruangan pagi itu.
“Maklum balas yang kami terima daripada pendengar sepanjang mengendalikan segmen ini amatlah positif, malah kami juga menerima banyak panggilan daripada pendengar baru.
“Ini telah membuktikan pendengar gembira dengan segmen ini dan kami akan sentiasa melakukan yang terbaik untuk meneruskan kejayaan ini sehingga stesen radio Era FM menjadi stesen radio nombor satu di hati pendengar,” katanya.