PETALING JAYA: Pelakon Yasmin Hani tersentuh hati apabila menyaksikan nasib seorang lelaki berusia 72 tahun tinggal di dalam sebuah pondok buruk.
Terpanggil untuk melawat lelaki berkenaan, Yasmin dan suaminya, Sha'arin Razali telah menemui Lim Chee Yeong untuk memberikan bantuan kepada warga emas itu.
"Ketika kami tiba dia sedang tidur di ruang koridor kedai berhampiran pondoknya kerana berlindung daripada hujan lebat," katanya kepada Sunday Star.
Pada lawatan itu, Yasmin dan suami telah membawa lelaki itu satay Kajang, bantal dan selimut serta ang pow bersempena Tahun Baru Cina.
Ditanya lanjut mengenai pertemuannya dengan Lim, Yasmin memberitahu dia mengetahui mengenai lelaki itu daripada jurugambar perkahwinannya yang merakamkan aktiviti lelaki itu menerusi kamera digital.
Yasmin turut mempersoalkan bagaimana warga emas tersebut boleh hidup dalam keadaan daif selama tiga tahun tanpa diberikan sebarang bantuan oleh pihak berkuasa.
"Hati saya begitu sayu dan tersentuh apabila menonton video mengenai dirinya yang dalam keadaan susah tanpa dihiraukan oleh sesiapa. Bagaimana jika dia jatuh sakit?," ujarnya.
Video berjudul 'Bantulah Uncle Lim Chee Yong Umur 72 Tahun' turut dimuat turun di dalam laman Youtube dan sehingga kini telah menerima 500 penonton sejak 7 Januari lalu.
Menerusi rakaman itu, Lim memberitahu dia menggunakan bilik air di stesen Petronas berdekatan rumahnya untuk mandi dan membasuh baju.
Sementara itu, Yasmin memberitahu dia akan cuba membantu Lim untuk ditempatkan di rumah orang tua yang mana dia boleh dijaga dengan baik.
Yasmin juga turut menggesa masyarakat atau badan kebajikan untuk bekerjasama dalam membantu warga emas itu supaya mendapat kehidupan lebih baik.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: