Sunday, January 29, 2012

Samri si tukang ulung



DI sudut tepi pangkin, kelihatan kelibat dua lelaki yang begitu asyik menarah bongkah kayu dengan menggunakan pahat kecil.

Dalam keadaan duduk bertinggung beralaskan konkrit, hampir seluruh lantai di ruang kerja itu dilitupi karpet yang terhasil daripada serpihan dan habuk kayu berwarna coklat kemerah-merahan.

Bersebelahan dengan kaki yang selesa berkaki ayam, terdapat pelbagai jenis peralatan mengukir dalam pelbagai bentuk dan saiz seperti pahat dan pisau.

Ketika disapa, lelaki yang berbaju biru muda itu bingkas bangun dan mengalu-alukan kedatangan kami dengan penuh mesra biarpun ia bukanlah pertemuan yang dirancang.

Memperkenalkan dirinya sebagai Samri Abdul Rahman, 37, dia sedang sibuk menyiapkan topeng kayu yang ditempah pelanggan sambil dibantu sepupunya, Noreman Bilon, 39.

"Noreman membantu saya menyiapkan topeng bertaring ini. Pejabat Kraftangan ada menempah 20 unit. Saya pula baru sahaja menebuk bongkah kayu untuk dibuat topeng perhiasan Tok Naning.

"Topeng ini belum ada yang menempah tetapi oleh kerana stok topeng sudah habis, saya perlu buat. Kalau ada rezeki, bolehlah dijual jika ada pelancong datang ke mari nanti," kata lelaki bersosok tubuh kecil dan berambut kerinting halus ini.

Samri merupakan salah seorang penggiat ukiran kayu yang masih aktif di perkampungan Orang Asli Mah Meri di Kampung Sungai Bumbun, Pulau Carey, Banting, Selangor.

Beliau memang terkenal dengan bakat dan kehalusan seni ukiran patung dan topeng kayu.

Malah, warisan kesenian ukiran suku kaum Mah Meri bukan hanya diminati penggemar arca dalam dan luar negara bahkan turut mendapat pengiktirafan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Pikul kayu sedepa

Mengusahakan bengkel ukiran yang disumbangkan oleh Kraftangan Malaysia itu secara kecil-kecilan, Samri tidak lokek berkongsi pengalaman selama lebih 16 tahun dalam kerja mengukir.

"Hanya dua jenis kayu yang boleh digunakan untuk mengukir iaitu kayu nyireh batu dan kayu pulai.

"Kayu pulai lebih ringan dan sesuai untuk dijadikan topeng tarian sementara ukiran daripada bongkah kayu nyireh batu yang lebih berat sesuai untuk dijadikan perhiasan," kata Samri.


TOPENG kayu menjadi satu kemestian dalam tarian tradisi Mah Meri.


Untuk mendapatkan kayu pulai, Samri mendapatkan bekalan dari Gombak tetapi untuk kayu nyireh batu, Samri dan Noreman perlu mengambilnya sendiri di kawasan paya berselut di Pulau Carey.

"Terdapat dua jenis nyireh batu iaitu yang berkulit putih dan kulit coklat kehitaman.

"Kualitinya sama tetapi warna kayu yang lebih gelap lebih cantik apabila diberi kemasan terakhir nanti," kata Noreman.

Memerlukan masa sekurang-sekurangnya dua hari untuk mengeluarkan kayu nyireh, pengukir biasanya memilih-milih pokok nyireh batu sebelum ditebang.

Kata Samri, pokok perlu dipastikan sudah matang, besarnya kira-kira dua pemeluk, bebas daripada sebarang kerosakan manakala tingginya sekitar tujuh meter.

"Bila pokoknya besar, kita boleh tinggalkan bahagian teras kayu yang mudah pecah akibat kerap dipahat atau ditebuk," ujar Samri yang sudah biasa memikul sedepa batang kayu untuk dibawa keluar dari kawasan selut ke jalan raya.

Dengan kemahiran dan pengalaman yang menebal di dada, kehalusan kerja tangan Samri memang mengagumkan sekali gus meletakkan dirinya sebagai seorang pengukir bertaraf profesional.

Buktinya, tahun lalu, dia menerima Anugerah Tukang Ulung 2011 iaitu pengiktirafan yang dikurniakan oleh kerajaan melalui Kraftangan Malaysia kepada insan yang berpengalaman luas, mahir dan mempunyai pengetahuan teknikal dalam pembuatan sesuatu kraf.

"Masih ramai tukang ukir yang lebih hebat di luar sana. Ilmu saya masih banyak kurangnya," kata Samri merendah diri.

Membelek satu daripada karya yang terdapat di bengkel Samri, penulis mengakui, hasil ukiran anak muda ini memang mengagumkan.

Ekspresi mistik

Garapan ilham dan imaginasi Samri bukan calang-calang. Bermula dengan mencedok karya lama yang pernah dihasilkan oleh generasi terdahulu, kini dia lebih selesa tampil dengan gaya dan rekaannya yang tersendiri yang diberi nama Moyang Simpai Sauh.

"Ukiran ini mengambil tema patung Moyang Sauh tetapi saya tambah dengan simpai atau rantai kayu.

"Ia tiada maksud tersirat, sekadar mengambil semangat nelayan yang hebat di lautan, yang tidak gentar dengan badai, ibarat sauh yang dirantai," katanya.

Ditanya tentang masa depan topeng kayu, Samri bersyukur kerana warisan Mah Meri ini boleh diterima masyarakat tempatan.

"Kalau ada pelancong yang datang ke sini, kebanyakannya tidak pulang dengan tangan kosong.

"Malah, saya sering menerima tempahan daripada pelancong asing sekiranya kehabisan stok di bengkel," ujarnya sambil menunjukkan sebuah buku lusuh yang dijadikan panduan untuk melihat contoh ukiran.

Buku bertajuk Mah Meri Carvings yang dihasilkan oleh Prof. Dr. Roland Werner dari Jerman dengan kerjasama Universiti Malaya (UM) itu menghimpunkan kajian 460 corak ukiran patung dan topeng yang pernah dihasilkan oleh suku kaum Mah Meri.

Memetik kata-kata Werner dalam buku yang diterbitkan pada tahun 1997 itu, dia menyifatkan karya patung bermotif imaginasi dan topeng kayu ukiran Mah Meri sebagai seni yang cukup unik.


TOPENG mini berilhamkan pacat ini menjadi pilihan ramai pelanggan.


"Ia adalah ekspresi seni mistik Mah Meri yang diterjemahkan pada kayu.

"Ukiran Raja Beruk misalnya, ia berasal daripada seekor beruk yang mati disumpit dan kemudiannya bertukar menjadi roh.

"Semangat itu di abadikan melalui ukiran mengunakan imaginasi kita sendiri,"katanya.

Menurut Samri lagi, ukiran yang dibuat berdasarkan daya imaginasi dan ia tiada kaitan dengan pemujaan.

"Ukiran juga bukan dibuat untuk dipuja tetapi sekadar untuk menterjemah semangat alam dan haiwan.

"Ia ada adalah perhiasan semata-mata dan tiada roh semangat padanya," katanya.

Jelas Samri lagi, bukan mudah untuk mencipta satu rekaan baharu memandangkan dia perlu menebuk dan menimbulkan imaginasi atas bongkah kayu yang kaku.

Bukan hendak memuji, tetapi memang tidak dapat dinafikan, keindahan ukiran topeng bukan sahaja terserlah pada alunan urat kayu nyireh batu yang halus atau warna kayu yang menarik tetapi juga pada reka bentuk ukiran itu.

Walaupun nampak ringkas, ia sarat dengan tafsiran pengukir yang menghasilkannya.

"Ukiran kayu Mah Meri bukan dicipta untuk tujuan beribadat atau untuk disembah," kata Noreman.

Jelasnya, kaumnya yang masih kuat pegangan pada semangat moyang menganggap ukiran ini sebagai satu cara untuk berhubung dengan dunia roh.

"Namun untuk generasi sekarang, apabila ukiran kayu semakin dikomersialkan, fungsinya lebih kepada perhiasan.

"Bagi kami, ia masih lagi relevan pada hari-hari kebesaran seperti Hari Moyang dan perkahwinan," jelasnya lagi.

Antara ukiran kayu Mah Meri yang terkenal ialah Harimau Berantai, Tenung Jerat Harimau, Naga, Tok Moyang Pisang, Kelolong, Katak Kala, Moyang Belangkas, Moyang Kelor dan Moyang Jabang.

Kesemuanya dihasilkan oleh generasi terdahulu dan kini diwarisi oleh Samri, Noreman dan belia lain di kampungnya.

Tidak hanya jaguh kampung, Samri sudah tiga kali mewakili Malaysia ke ekspo kraf antarabangsa di Paris, Shanghai dan Bangkok.

"Pameran di Shanghai, China paling mendapat sambutan. Semua ukiran siap dan bekalan mentah yang dibawa habis dijual.

" Mereka benar-benar sukakan ukiran kayu nyireh batu," kata Samri yang berkampung selama dua bulan di sana.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: