SELAMAT datang ke Thailand, anda berada di dua persimpangan, memilih ke syurga atau memasuki senarai ke neraka.’’
Itulah khidmat pesanan ringkas (SMS) berbentuk gurauan yang penulis terima sebaik sahaja melepasi sempadan Malaysia-Thailand di Bukit Kayu Hitam.
Sememangnya Thailand dianggap syurga dunia sama ada untuk menikmati keseronokan berlibur atau membeli-belah.
Terserah masing-masing untuk menentukan ke arah mana hendak mereka pilih apabila memasuki negara Gajah Putih itu.
Apa yang pasti, wilayah-wilayah di Thailand mempunyai seribu satu warna kehidupan. Jika sebelum ini penulis pernah menjejaki wilayah selatan iaitu Narathiwat dan Pattani, kali ini penulis ke utara.
Misi lawatan mengunjungi pondok pengajian agama di Chiangmai dan penempatan masyarakat Islam di Chengrai.
Namun begitu rombongan kami singgah sebentar di Hatyai – bandar yang cukup terkenal dalam kalangan rakyat Malaysia sebagai syurga membeli-belah.
Barang-barang yang dijual di sini terutamanya pakaian jauh lebih murah berbanding di Malaysia termasuklah yang berjenama.
Justeru tidak hairanlah, kami yang berada di bandar berkenaan ketika sambutan Tahun Baru Cina mendapati rata-rata pelancong yang datang ialah dari Malaysia. Majoritinya secara berkumpulan termasuklah keluarga.
Kehadiran pelancong Malaysia ini sememangnya dialu-
alukan kerana mereka dianggap membawa rezeki kepada peniaga-peniaga di Hatyai.
Sementara pasar raya dan gerai-gerai menjadi tumpuan, turut menarik perhatian adalah pasar Hatyai yang menjual pelbagai keperluan harian.
Percaya atau tidak, ada rakyat Malaysia yang sanggup membeli ikan dan sayur di pasar tersebut untuk dibawa pulang, bukan sahaja kerana ia segar tetapi juga murah.
Turut menjadi tumpuan kepada rakyat Malaysia adalah pusat-pusat mengurut kaki dan badan yang dikenakan bayaran antara RM45 hingga RM95 sejam.
Sepanjang dua hari di Hatyai, penulis melihat pusat-pusat ini dipenuhi oleh rakyat Malaysia, ada juga ‘servis’ ke bilik hotel.
Tetapi kebiasaannya tidak ramai yang berani melakukannya kerana bimbang yang datang mengurut boleh ‘meruntuhkan’ iman, apatah lagi jika hanya berdua di dalam kamar.
Selepas semalam di Hatyai, keesokannya kami ke Chiangmai dengan menaiki pesawat kerana jika mahu menggunakan jalan darat ia mengambil masa selama 20 jam.
Di Chiangmai, kami menginap di Hotel Romena Grand – sebuah hotel baru milik seorang ahli perniagaan Islam. Walaupun bertaraf dua bintang, hotel ini cukup selesa.
Apa yang menarik ia dirasmikan semalam (Sabtu) dan kami adalah rombongan pertama dari Malaysia yang menginap di hotel itu.
Di Chiangmai, salah satu lokasi tumpuan utama pelancong adalah Anusarn Street. Ia bagaikan nadi utama kepada wilayah tersebut.
Anusarn Street bukan sahaja menempatkan gerai pelbagai jenis pakaian dan kraftangan Thailand bahkan juga restoran-restoran termasuk milik orang Islam.
Seperti juga di Hatyai, urutan kaki masih tetap menjadi pilihan pelancong dan jika anda mahu ke mana-mana, perkhidmatan tut-tut sedia menanti.
Hiburan
Tetapi awas, jika anda berjalan dengan rakan-rakan lelaki sudah pasti pemandu tut-tut tersebut akan menunjukkan ‘menu pilihan kalbu’.
‘Menu’ tersebut memaparkan gambar perempuan-perempuan cantik yang bersedia menjadi ‘teman sepermainan’ ketika anda berada di bandar tersebut. Namun semua itu perkara biasa kerana itulah Thailand yang dianggap pusat penuh hiburan dan dugaan.
Sama ada Hatyai mahupun Chiangmai, jika anda mahu membeli barang, tawar-
menawar menjadi acara wajib dan kalau boleh minta sehingga separuh daripada harga yang ditawarkan oleh peniaga.
Ia kerana sudah menjadi ‘adat’ peniaga di tempat tersebut meletakkan harga tinggi bagi setiap barangan yang dijual.
Selepas Chiangmai, rombongan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim), Selama, Perak yang disertai oleh penulis bertolak ke perkampungan masyarakat Islam di wilayah Chengrai.
Untuk ke kawasan berkenaan mengambil masa selama tiga jam perjalanan dengan bas dan perlu melalui kawasan gunung-ganang yang mempunyai pandangan cukup menakjubkan.
Bagaimanapun sebelum melalui kawasan itu, anda patut singgah di sebuah destinasi pelancongan yang menempatkan pancutan air panas tertinggi di Thailand.
Selain pancutan, kawasan ini juga mempunyai kolam air panas yang menjadi tumpuan pelancong untuk meredam kami.
Turut ditawarkan ialah merebus telur di dalam kolam berkenaan dengan dikenakan bayaran RM5 bagi membolehkan anda memiliki telur itu. Di sini juga, terdapat jualan pelbagai jenis kraftangan dan perhiasan serta cenderahati.
Selepas di Chengrai, jika anda rajin teruskanlah perjalanan ke sempadan Thailand-Myanmar untuk melawat daerah Maesai.
Menurut seorang warga Thailand yang menjadi juruiring rombongan kami, harga di Maesai jauh lebih murah berbanding mana-mana wilayah di negara itu. Sebab itulah dia menasihatkan kami agar tidak melepaskan peluang membeli-belah di situ terutamanya pakaian.
Apa pun, kenangan melawat Hatyai, Chiangmai, Chengrai dan Maesai cukup menarik dan ia akan menjadi ingatan sepanjang hayat kerana pelbagai warna kehidupan dapat disaksikan di empat-
empat wilayah berkenaan.
Dan di keempat-empat wilayah itu sememangnya pilihan di tangan anda seperti mana sms rakan penulis, hakikatnya Thailand adalah syurga dunia!
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: