KUALA LUMPUR: Kumpulan trio, '3 Suara' yang terdiri daripada Ning Baizura, Jaclyn Victor dan Shila Amzah bakal mengadakan sebuah konsert khas di Esplanade, Singapura pada November tahun ini.
Ning berkata, penerbitnya, Kevin Chin, baru sahaja mendapat tawaran daripada pihak pengurusan Esplanade pada dua minggu lalu dan ia merupakan peluang yang besar untuk mengembangkan lagi jenama '3 Suara' ke luar negara.
"Memang tidak sangka '3 Suara' akan ditawarkan mengadakan konsert di sana dan ia adalah satu peluang yang besar yang tidak patut dibiarkan begitu sahaja.
"Kalau nak tahu, lagu Beribu Sesalan mendapat sambutan yang hangat di sana, termasuklah single pertama kami, Dimana Dimana.
"Kami berharap, langkah pertama memperkenalkan '3 Suara' akan menjadi satu jenama yang kekal sampai bila-bila," katanya yang ditemui selepas pertandingan AJL26, di Stadium Putra Bukit Jalil, di sini, Ahad.
Dalam pada itu, selepas kejayaan Beribu Sesalan, trio tersebut akan muncul dengan single lagu seterusnya yang berjudul Semua Isi Hatimu.
Mengenai AJL26 pula, Ning akui dia serta Jaclyn dan Shila hampir putus asa apabila merasakan tidak ada harapan untuk memenangi sebarang anugerah pada AJL26, yang disiarkan secara langsung di stesen televisyen TV3.
Ujarnya, kejayaan '3 Suara' mendapat tempat kedua menerusi lagu Beribu Sesalan pada AJL26 adalah perkara di luar jangkaan mereka, tambah pula melihatkan kehebatan kesemua peserta, agak sukar untuk menjangkakan pemenang-pemenangnya.
"Alhamdulillah ini adalah rezeki besar buat kami bertiga sekaligus berjaya membuktikan '3 Suara' mampu menyanyikan dengan cara yang tersendiri dalam sesebuah lagu, kiranya tiga suara yang menjadi satu.
"Tahun ini juga kita dapat lihat lagu balada diangkat semula dalam industri muzik tanah air. Malah, kalau nak dilihatkan semula, AJL26 kali ini lebih menarik kerana lagu-lagu yang dipilih sebagai finalis terdiri daripada pelbagai kategori. Harap-harap ia berkekalan pada tahun depan.
"Dan lebih menarik lagi jika lagu genre Hip-Hop turut memeriahkan acara AJL pada tahun depan," katanya
Selain itu, Ning turut bersyukur kerana menerusi '3 Suara' juga, Ning kembali di pentas pertandingan gah itu selepas menyertainya pada tahun 2005, membawakan lagu Awan Yang Terpilu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: