TIGA wajah ini sering mewarnai Anugerah Juara Lagu malah sudah membuktikan kehebatan mereka. Pengalaman memungkinkan Jaclyn Victor (Jac), Faizal Tahir dan Aizat Amdan punya kelebihan dalam kemuncak AJL26 yang berlangsung di Stadium Putra, Bukit Jalil, malam ini.
Jac pernah melakar kenangan manis di AJL20 melalui lagu Gemilang yang juga membawa tuah kepadanya untuk muncul juara pertandingan Malaysian Idol pertama. Dua tahun selepas itu, menang Vokal Terbaik bersama Lah VE menerusi Ceritera Cinta di AJL22.
Faizal pula menang Persembahan Terbaik dan Vokal Terbaik di AJL23 dan sekali lagi menang Persembahan Terbaik di AJL25 tahun lalu menerusi aksi memukau sewaktu mendendangkan lagu Hanyut.
Aizat menjadi peserta paling muda memenangi anugerah utama apabila lagu nyanyiannya, Pergi ciptaan Pete Teo dan lirik Amran Omar, muncul juara di AJL 24 dan Persembahan Terbaik menerusi lagu Kau Aku.Selain itu kerana pengalaman juga, ketiga-tiga penyanyi berbakat besar ini mungkin tidak merasai debaran untuk berhadapan dengan persaingan AJL26 malam ini.
Ditemui di sesi fotografi khas yang diadakan di The Royale Ice Skating Rink, The Royale Bintang Damansara baru-baru ini, Jac atau nama penuhnya, Jaclyn A/P Joshua Thanaraj Victor menafikan peluang mereka lebih cerah berbanding peserta lain. Katanya, debaran berhadapan dengan persaingan lain tetap ada.
“Bagaimanapun saya tidak nafikan persaingan sewaktu mendendangkan lagu Sedetik Lebih di peringkat Separuh Akhir Muzik-Muzik lebih dirasai berbanding malam AJL26. Tanyalah mereka yang ada di sekeliling saya waktu itu. Mereka boleh nampak saya tidak tenang dan berpeluh di belakang pentas. Sebaik selesai menyanyi, saya berasakan segala beban terus hilang,” katanya.
Jelas Jac, dia berasa sedemikian mungkin kerana tekanan yang dirasai memandangkan lagu Sedetik Lebih nyanyian asal Anuar Zain dan dicipta sepenuhnya Edry Abdul Halim adalah karya besar. Waktu sama, Jac juga akan muncul bersama Ning Baizura dan Shila Amzah mendendangkan lagu Beribu Sesalan.
“Latar belakang lagu itu sendiri mempunyai sejarah cukup gah. Penyanyi asalnya, Anuar Zain cukup hebat dan Sedetik Lebih berupa runut bunyi Hikayat Merong Mahawangsa, sebuah filem epik yang bagus dan memenangi anugerah Filem Terbaik. Ia turut menjadi Lagu Terbaik di Anugerah Industri Muzik ke-18 (AIM18).
“Begitupun sebagai penyanyi, tawaran mendendangkan lagu sehebat Sedetik Lebih dianggap sebagai satu penghormatan apatah lagi berpeluang menyanyi di pentas AJL26.
“Pada saya, walaupun ada tekanan dirasai tetapi peluang dan penghormatan diberikan itu lebih berharga menyebabkan saya menerima tawaran diberikan Edry untuk menyanyikan lagu terbabit,” katanya.
Jac tidak menafikan pada waktu sama, banyak komen diterima sewaktu dia membawakan Sedetik Lebih. Ada yang mendakwa dia mendendangkan lagu itu secara ‘selamat’ dan tidak begitu berusaha ketika Muzik Muzik Separuh Akhir.
“Saya faham apa yang mereka maksudkan. Tambahan pula sejak dulu daripada zaman Francissca Peters, kita tahu orang mahu mendengar penyanyi mendendangkan lagu balada dengan nada tinggi. Bagaimanapun, muzik ada evolusinya. Lagu Sedetik Lebih itu sudah kuat dari sudut melodi dan liriknya.
“Lagipun saya tidak mahu memberikan semuanya pada pertandingan separuh akhir kerana takut apabila malam AJL26 tidak ada apa lagi yang dapat diberikan. Jadi, sudah tentu saya akan melakukan yang lebih baik pada hari kemuncaknya,” katanya.
Jac turut menjelaskan, dia berasa lega apabila giliran persembahan untuk Sedetik Lebih dan Seribu Sesalan agak jauh iaitu kedua dan 12. Ia memberikannya cukup masa untuk mempersiapkan diri.
“Pada saya tekanan untuk memberikan terbaik antara Sedetik Lebih dan Seribu Sesalan sama saja. Walaupun saya mendendangkan Seribu Sesalan bersama Ning dan Shila tetapi saya harus memastikan persembahan vokal kami setara.
“Sekiranya seorang daripada kami menghadapi masalah, pasti ia akan memberi kesan kepada corak persembahan. Paling penting saya harus memastikan kesihatan dalam keadaan baik,” katanya.
Kehadiran Faizal pula dinantikan penonton kerana sering tampil dengan gimik menarik. Tapi selepas lima tahun menyertai AJL, Faizal mengakui untuk tahun ini mahu terus tampil di atas pentas dan menyanyi. Maknanya, tiada gimik khas dilakukan.
“Bukan memandang mudah akan persaingan yang dihadapi tetapi kali ini corak persembahan lebih tertumpu kepada muzik. Waktu sama, ia untuk kepuasan peminat dan saya sendiri.
“Pada saya, tiada tekanan difikirkan kerana keseronokan berkumpul bersama rakan-rakan penyanyi dan pemuzik mengatasi segala-galanya. Setiap tahun memang saya nantikan penyertaan saya dalam AJL kerana inilah waktunya penyanyi dan pemuzik dapat berkumpul. Secara tidak langsung memberi peluang untuk saya bertukar pendapat,” katanya.
Mengenai cabaran bakal dihadapi, penyanyi yang bakatnya mula mendapat perhatian selepas menyertai program realiti TV One In A Million (OIAM) mengakui setiap tahun ia berbeza dan kali ini setiap mereka yang bertanding mempunyai kelebihan masing-masing.
“Dulu kita nampak kebanyakan yang menyertai AJL adalah artis berkumpulan tetapi tahun ini banyak artis solo. Lebih menarik, ada artis yang tampil dengan karya dihasilkan sendiri dan mula mencipta nama menerusi laman sosial seperti You Tube.
“Pada saya, perubahan yang berlaku dalam AJL ini menjadi penanda aras kepada perubahan industri muzik semasa. Menerusinya, saya juga turut menilai ke mana arah muzik kita selepas ini,” katanya.
Sepanjang lima tahun penyertaannya dalam AJL, pelbagai anugerah sudah dimenangi Faizal cuma karya dihasilkan dan didendangkan belum pernah muncul sebagai juara. Ada yang memberikan komen, perkara itu berlaku kerana lagunya tidak punya keaslian.
Faizal, 33, berkata, dia gembira apabila karya dihasilkan diperkatakan orang. Baginya, apabila orang memperkatakan karya nyanyiannya, bermakna ia memberi petanda positif.
“Perdebatan akan mencambahkan buah fikiran dan saya lebih risau sekiranya tiada orang mahu memperkatakan lagu yang dihasilkan atau dinyanyikan. Namun kita harus ingat, hasil kerja kreatif adalah sesuatu yang subjektif dan semua orang mempunyai pendapat masing-masing terhadap karya dihasilkan termasuklah apabila ia dipertandingkan dalam AJL.
“Sebagai pengkarya dan penyanyi, saya lebih mementingkan keselesaan. Apa yang saya persembahkan adalah sesuatu yang saya suka dan lebih penting, peminat juga suka. Dalam menghasilkan sesebuah karya, sudah tentu kita mempunyai rujukan dan pengaruh.
“Saya rasa perkara itu turut berlaku kepada semua komposer dan pencipta lagu. Kita tidak boleh kata kita orang pertama buat perkara yang dilakukan kerana saya percaya idea menghasilkannya bercambah daripada apa yang pernah dilakukan orang lain sebelum ini,” katanya.
Penyanyi yang mula mencipta nama menerusi Lagu Kita, Aizat yang nama penuhnya, Muhammad Aizat Amdan menjelaskan, karyanya yang dipertandingkan kali ini, Sungai Lui mempunyai peluang sama rata bergantung kepada apa yang mahu dilihat juri.
“Kebanyakan lagu dipertandingkan kebanyakannya bertemakan cinta antara lelaki dan perempuan. Ia berbeza dengan Sungai Lui. Apabila dinilai kembali, ia memberi kelebihan tetapi pada waktu sama ia juga boleh menjadi kekurangan. Begitupun, saya tidak mahu terlalu mengharap sebaliknya hanya memberikan fokus kepada corak persembahan,” katanya.
Menilai lagu yang bertanding, Aizat menjelaskan ada beberapa karya dilihat mempunyai kelebihan untuk muncul juara dan pilihannya secara peribadi adalah lagu Penakut ciptaan sepenuhnya Yuna dan Awan Nano ciptaan Datuk M Nasir dan dendangan Hafiz.
“Saya berasakan lagu ini mempunyai kelebihan dari sudut melodi. Pertama kali mendengarkannya ia sudah mampu menangkap minat pendengar. Pada saya, kedua-dua lagu ini mempunyai kelebihan kerana penghasilannya begitu kreatif dan ia sangat menangkap jiwa,” katanya.
Bagi Aizat, AJL26 menunjukkan satu perkembangan cukup sihat untuk industri muzik tempatan apabila menampilkan karya yang ditulis sendiri penyanyinya dan pastinya ia memberi cabaran juga kepada juri dipilih bagi memilih karya siapakah yang dirasakan layak untuk menggambarkan industri muzik secara keseluruhan untuk tahun lalu dan tahun ini.
SENARAI 12 LAGU BERTANDING DI AJL26
1. Kalau Berpacaran - Sohaimi Mior Hassan, Ana Raffali dan Altimet
2. Karma - Faizal Tahir
3. Penakut - Yuna
4. Sedetik Lebih - Jaclyn Victor
5. Awan Nano - Hafiz
6. Cinta Muka Buku - Najwa Latif
7. Wanita Seluruh Dunia - Project Pistol
8. Beribu Sesalan - Ning, Shila, Jacklyn
9. Kekanda Adinda - Atilia & Monoloque
10. Sungai Lui - Aizat
11. Kisah Hati - Alyah
12. Gadis Semasa - Yuna
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: