Tuesday, January 31, 2012

15 lagi diiktiraf Sekolah Kluster Kecemerlangan


ABDUL GHAFAR (tiga dari kiri) bermesra dengan sebahagian pengetua pada majlis pengiktirafan Sekolah Kluster Kecemerlangan di Putrajaya semalam.


PUTRAJAYA – Sebanyak 15 buah sekolah lagi diiktiraf sebagai Sekolah Kluster Kecemerlangan (SKK) apabila memenuhi kriteria yang ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Abdul Ghafar Mahmud berkata, sebanyak tujuh buah sekolah menengah dan lapan sekolah rendah telah dipilih untuk fasa enam pengiktirafan itu.

“SKK merupakan salah satu laluan yang akan menjurus kepada Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) di mana SKK yang cemerlang akan dipilih sebagai calon SBT.

“Daripada 52 buah sekolah yang telah diiktiraf sebagai SBT, 31 daripadanya terdiri daripada SKK,” katanya ketika berucap pada Majlis Pengiktirafan SKK di sini semalam.

SKK merupakan sekolah-sekolah yang cemerlang dalam kelompoknya berasaskan aspek akademik, kokurikulum, sahsiah, pengurusan sekolah, budaya, hubungan dengan pihak luar, pembangunan modal insan dan sumber yang ada.

Ia juga dikategori berdasarkan lokasi seperti bandar, luar bandar atau pedalaman serta jenis sekolah dan tahapnya.

Menurut Abdul Ghafar, pada masa kini antara SKK yang menyerlah sehingga ke peringkat antarabangsa ialah Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Jalan Davidson dari Kuala Lumpur, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gunung Rapat, Perak dan Sekolah Kebangsaan (SK) Sultan Sulaiman 1, Kuala Terengganu.

1 comment:

  1. apa yang nak dibangga sangat SKK atau SBT semua merupakan sekolah SBP, SMKA,Sek kawalan JPN,yang mana hampir kesemua pengambilan pelajarnya 5A dalam UPSR dan 8A dalam PMR. Sekolah- sekolah di kampung yang mana pelajarnya seorang dua saja 5A mana ada peluang. Mana mana sekolah pun kalau pelajarnya dipilh memang menjadi. apa nak hairan!!!Kalau sekolah spt SBP,SMKA,sek kawalan tak terpilih sbg SKK dan SBT memang pentadbir dia kantoi!!

    ReplyDelete

Tinggalkan Komen Anda Sini: