Sunday, January 29, 2012

Cepat naik cepat jatuh sifir Shima


SHIMA percaya bakat sentiasa mengatasi rupa paras jika hendak berjaya sebagai pelakon.


GADIS setinggi 1.65 meter ini lebih banyak memerhati. Dalam diam, Shima Anuar menyaksi dan belajar setiap gerak-geri mereka yang lebih senior dalam dunia hiburan.

"Saya kagum dan hormat kepada mereka yang mengambil masa yang lama untuk mengukir nama dalam industri ini.

"Pastinya bukan mudah untuk memperkenalkan dan mengekalkan jenama sendiri," kata pelakon baharu itu kepada Sensasi Bintang.

Shima berpegang kepada sifir jika kita cepat naik, maka kita akan cepat jatuh. Jelasnya, tempoh yang lama untuk mengukir nama akan meninggalkan bekas yang dalam untuk orang lain sedar akan kehadiran seseorang pelakon.

Sebagai salah seorang daripada lebih 70 pelakon yang dikeluarkan oleh 'kilang' filem MIG Production, Shima akur bahawa dia perlu bersaing dengan bakat-bakat lain dalam merebut tempat di hati peminat.

"Biarlah saya lambat naik (popular) kerana tempoh itu memberi ruang untuk orang lain menyedari siapakah saya.

"Jika terlalu cepat dikenali memanglah satu bonus, tetapi tidak hairan jika nama kita akan mudah pula tenggelam selepas itu. Kerana itulah tidak salah jika saya lambat terkenal.

"Kalau boleh saya mahu menjadi seperti Yana Shamsuddin yang mengambil masa yang lama untuk menonjol. Dia kini semakin bersinar," kata gadis kelahiran Rawang, Selangor ini.

Ramai yang masih kabur dengan figura dengan nama penuhnya Noor Hashimah Anuar ini kerana dia pertama kali diberi peranan besar di layar lebar menerusi filem Sumpahan Kum Kum yang sedang ditayangkan di panggung.

Menerusi naskhah seram arahan Ismail 'Bob' Hasim itu, Shima memegang watak Mila iaitu seorang gadis berwajah hodoh yang mengamalkan susuk untuk kelihatan cantik.

"Filem ini agak berat untuk orang baharu seperti saya. Pastinya saya tidak berpuas hati dengan hasil lakonan, tetapi saya telah melakukan yang terbaik untuk menjayakannya," ujar Shima yang pernah tampil dalam filem Flat 3A dan Bini-Biniku Gengster.

Shima menolak tanggapan bahawa rencah rupa paras dan bakat harus tampil seiring untuk berjaya dalam dunia lakonan kerana dia lebih mempercayai bakat seseorang.

Baginya rupa paras cuma merupakan bonus untuk seseorang memperelokkan lagi lakonannya.

"Untuk menjadi pelakon tidak perlu cantik kerana apa yang lebih penting adalah bakat," ujar pemegang diploma dalam bidang seni lakon dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: