ALIRAN seni kedua-duanya bermula dengan formula sama. Dua finalis Anugerah Juara Lagu (AJL) edisi ke-26 ini menggunakan laman sosial dan muzik terkenal seperti Youtube untuk berkongsi bakat mereka di ruang maya. Ana Raffali terlebih dulu memulakan langkah memuat naik lagu ciptaannya pada 2006, diikuti Yuna pada 2008.
Cuma Yuna yang lebih dulu menyerlah. Masing-masing juga mempunyai ceritera tersendiri selepas berjaya menempa nama daripada medium indie kepada arus perdana.Bakat Yuna, 25 dan Ana, 26, juga pernah diiktiraf menerusi pertandingan Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH).
Untuk ABPBH 2011, nama Ana tercicir manakala Yuna masih bertahan dalam kategori Penyanyi Wanita Popular.
Di pentas final AJL, dua wanita berbintang Scorpio ini tetap berbisa dengan taring masing-masing. Yuna pernah menjadi Naib Juara AJL ke-24 menerusi karyanya sendiri, Dan Sebenarnya. Tahun lalu, AJL 25, lagu ciptaan Ana berjudul Tolong Ingatkan Aku menang Lagu Terbaik.
Malam ini, mereka sedang menghitung detik penuh debaran untuk sekali lagi beraksi di pentas akhir AJL. AJL 26 dipancarkan TV3 dam berlangsung di Stadium Putra, Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Yuna layak dengan dua lagu ciptaannya, Penakut dan Gadis Semasa manakala lagu Kalau Berpacaran menyaksikan trio Suhaimi Mior Hassan, Ana & Altimet berganding bahu.
Bersama B*POP, Ana dan Yuna berkongsi kata mengenai agenda 2012, perkembangan terbaru dan tidak ketinggalan diusik mengenai kamar hati dengan jejaka pilihan masing-masing.
Yuna dengan cinta hatinya, Qushairi atau Qi (disebut Chi) dan Ana pula sedang mengira hari untuk disatukan dengan Naim atau nama sebenarnya, Aznaim Abdullah.
Sewaktu sesi fotografi ini berlangsung pada 16 Januari lalu di butik Syomir Izwa di Solaris Dutamas, kesihatan Yuna sedikit terganggu. Mana tidaknya, ruang waktu yang ada di Kuala Lumpur ini perlu dimanfaatkan untuk melakukan banyak benda sebelum kembali ke Amerika Syarikat.
Awal bulan depan, Yuna akan menumpukan rakaman album penuh di sana. Album yang dijangka memuatkan 12 lagu itu berkemungkinan besar dilancarkan sekitar Mac ini dan duta program MHbuddy Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) ini juga akan terbabit dalam siri jelajah mempromosikan album terbabit.
“Persediaan untuk lagu Penakut, saya tak tukar banyak sangat susunan dan kemungkinan kekalkan corak lagu itu seadanya. Susunan baru lebih cenderung untuk lagu Gadis Semasa. Selebihnya saya biarkan penonton AJL 26 menilai dan tonton sendiri,” kata Yuna memulakan bicara saat sedang leka menyolek wajahnya sendiri.
Dalam perkembangan lain, pemenang Popstar Award, Break Out Award (Artis Baru), Ultimate Shout! Award menerusi Anugerah Shout! 2010 anjuran 8TV itu turut memberitahu album keduanya, Terukir Di Bintang selepas album Decorate yang dilancarkan 4 Januari lalu akan dilakukan proses pembungkusan semula.
“Saya gembira dengan sambutan album kedua ini. Jadi sebelum saya kembali ke Los Angeles untuk meneruskan rakaman bersama syarikat Fader Label, album ini dapat mengubat kerinduan mereka selepas setahun saya tidak muncul dengan album baru.
“Cuma akan ada versi pembungkusan semula untuk album kedua ini kerana saya mendapat pelbagai maklum balas termasuk kalangan rakan media selepas ia dilancarkan. Akan ada penambahan beberapa perkara seperti lirik lagu dan juga susunan lagu yang tidak sama seperti tertera dalam cetakan album,” katanya yang turut memperkenalkan Diandra Arjunaidi sebagai artis di bawah naungan label Yuna Room Records.
Mengenai album keduanya lagi, Yuna tanpa berselindung mengakui ia lebih menyerlahkan sisi gembira berbanding Decorate yang lebih terarah ke sisi duka. Malahan ada yang melihat kehadiran album berkenaan juga seperti menampakkan sisi bahagianya bersama Qi.
“Album ini dibikin selepas Decorate dan juga kejayaan saya menerusi lagu Dan Sebenarnya. Alhamdulillah, percubaan saya selama ini juga diterima. Saya sendiri gembira dan bersyukur kerana laluan seni direstui. Rezeki pun bertambah. Alhamdulillah. Dulu, pada awal kemunculan saya tak nafikan ada prasangka negatif. Sikit-sikit terasa hati apabila orang mengkritik kita. Tapi kini seiring peredaran masa, pengalaman ditimba dan anugerah menjadi suntikan semangat sekali gus membuatkan saya lebih terbuka,” katanya yang pernah diundang membuat persembahan MTV Iggy's Best New Band Concert di Times Square, New York.
Mengenai sisi peribadinya, duta produk kamera Canon, Olay dan turut bekerjasama dengan jenama perabot Macy ini ditanya mengenai hala tuju hubungannya dengan Qi yang sudah hampir setahun berlarutan. Apakah kemungkinan tahun ini juga bakal menyaksikan Yuna dan Qi menamatkan zaman bujang seperti pasangan Scha Alyahya dan Awal Ashaari serta Lisa Surihani dan Yusry.
“Tak dinafikan selepas Lisa dan Yusry membuat pengumuman hari bahagia mereka, ada juga berseloroh menanyakan bila pula saya akan berkahwin dengan Qi. Yang pastinya, bukan tahun ini saya akan berkahwin kerana banyak lagi agenda seni perlu saya lunaskan satu persatu,” katanya yang bakal melaram rekaan Syomir Izwa dan Syahrir Nurdin untuk malam kemuncak AJL ke-26.
'Kontroversi ibarat hikmah yang indah'
MALAM ini juga genap setahun kejayaan Ana pada AJL ke-25 yang menjadi kecaman serta kritikan apabila ada pihak mempertikai kemenangannya lagu Tolong Ingatkan Aku, tahun lalu. Apapun, ia di luar kemahuan Ana. Apa yang terjadi selepas namanya diumumkan sebagai pemenang banyak memberi hikmah tersendiri.
Malah, ada juga pantas menghukum popularitinya kian jatuh apabila pelbagai kontroversi termasuk sisi negatif bertandang satu persatu hingga mula mencemari nama Ana. Kisah Ana bermasalah dengan Sohaimi Mior Hassan dan komposer yang menaikkan namanya, Aidit Alfian antara yang pernah bertebaran.
“Bagi Ana, apa yang terjadi menjadi hikmah yang cukup indah. Kontroversi itu sekali pun pedih untuk ditelan, ia ibarat seperti promosi tak terkawal yang memberikan dua kebarangkalian sama ada orang ramai terus membenci atau sebaliknya. Apabila orang bercerita itu bererti ada juga yang nak ambil tahu. Baik atau buruk sesuatu perkara mahupun kontroversi itu, ia satu benda yang tidak boleh dijual beli. Tapi apa yang Ana boleh simpulkan, apa terjadi ini lebih condong kepada hal positif. Ana jadi lebih kuat.
“Di sebalik yang membenci, Ana masih memperoleh sokongan daripada mereka yang tak putus-putus memberi semangat. Contohnya apabila Ana berpeluang turun padang ke kawasan pedalaman, ada peminat di kalangan makcik-makcik menghargai kita. Untuk kelompok peminat sebegitu yang tiada akses internet, mereka seperti menyokong saya tanpa ada peluang untuk bersuara,” katanya yang memiliki syarikat pengurusan serta studio dengan label About The Letter A Sdn Bhd yang diusahakan bersama kekasihnya, Naim.
Diaju apakah dia tidak bimbang badi AJL 25 mungkin bakal berulang malam ini? Ana yang bakal menggayakan baju rekaan Ezuwan Ismail akui dia tidak gentar. Malah, persembahan AJL 26 tidak langsung dirasai sebagai persaingan.
“Jujur Ana cakap ia tak langsung menjadi tekanan atau bebanan. Setiap finalis AJL 26 yang bertanding juga Ana gemari bakat dan lagu mereka. Yang penting. Ana dapat membuat persembahan dengan lancar. Lagu Kalau Berpacaran pun tak susah untuk dibawakan dan sering dipersembahkan setiap kali menerima undangan membuat persembahan,” katanya yang diundang ke Singapura pertengahan bulan lalu kerana terbabit dalam program Suara Hati bagi mengisi tabung amal Aidilfitri.
Dalam perkembangan lain, Ana juga sedang mengumpul material untuk menghasilkan album terbaru. Jelas Ana, untuk album kali ini, dia mahu memperbanyak ruang berkolaborasi. Sambil berseloroh, Ana juga teringin bekerjasama dengan Yuna tetapi sempat memintas, penyanyi itu memang terlalu sibuk dengan kerjaya seninya.
“Untuk album kedua ini, Ana sasarkan lebih 10 lagu bakal dimuatkan. Ana juga sedang berusaha berduet dengan kumpulan penyanyi lama Orkes Nirwana. Insya-Allah, Ana juga merancang mengadakan siri jelajah mempromosikan album berkenaan. Fokus Ana tahun ini juga lebih kepada bidang nyanyian dan tidak untuk bidang lakonan. Berlakon memang ada tawaran tetapi Ana naik segan. Cukuplah dapat peluang berlakon teater muzikal Kenangan Mengusik Jiwa di Istana Budaya, tahun lalu.
“Antara lagu yang bakal dimuatkan dalam album itu nanti ialah Lisa Jatuh Cinta. Lagu itu dibikin Oktober tahun lalu ia secara kebetulan kena dengan situasi sekarang mengenai kisah cinta Lisa Surihani dan Yusry. Lagu itu mengenai kisah kawan rapat yang bertukar menjadi istimewa.
Ana juga ada membikin satu lagu khas berjudul Sampai Bila diilhamkan atas kisah percintaan dengan Naim. Ia berkisar indahnya sebuah hubungan cinta yang diharapkan bakal berakhir dengan episod istimewa yakni ke jenjang pelamin,” katanya penuh makna.
Sebelum menoktahkan bicara, Ana dicuit soalan mengenai hari bahagianya yang mula digembar-gemburkan bakal berlangsung pada 25 Februari ini. Ana meminta didoakan supaya dipercepatkan hari perkahwinannya dan Alhamdulillah ia seperti sudah dimakbulkan.
Cuma kata Ana, tidak terlintas untuk dia tidak mengundang pihak media yang selama ini setia menyokong seperti mana tertulis dalam satu ruangan gosip. Difahamkan, Ana lebih senang mengunci mulut mengenai tarikh hari bahagianya kerana tidak mampu cerita itu mengaburi penyertaannya dalam AJL 26.
Menurut sumber yang boleh dipercayai, satu sidang media mengumumkan hari bersejarah Ana dan Naim akan diadakan pada 31 Januari ini di Kuala Lumpur.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: