Sunday, January 29, 2012

Reza sebati dengan IT

pix_middle

DEK kegilaannya menghabiskan masa senggang dengan bermain komputer, seawal usia tujuh tahun Reza Fahmi Razali berjaya mencipta aplikasi permainan tersendiri.

Berjam-jam menghadap komputer IBM 286 milik ayahnya, seorang jurutera nuklear, anak muda mesra disapa Reza ini mengakui mengambil masa pendek untuk menyempurnakan ‘misi pertarungannya’.

  • Foto

    IDEA...Reza bersama kakitangannya sentiasa berkongsi idea bagi menghasilkan inovasi.

  • Foto

    BAKAL LANCAR...aplikasi permainan untuk kanak-kanak, Adam Dream yang bakal dilancarkan di pasaran antarabangsa.

  • Foto

    POLITIK...aplikasi e-Parlimen yang dibangunkan Terato Tech dengan kerjasama Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi Malaysia (Mosti).

Lantas, menggunakan kemudahan disediakan, dia mencipta program permainan komputer sendiri menggunakan pengaturcaraan Q Basic.

Menyedari minat dan kesungguhan mendalam Reza terhadap bidang teknologi maklumat (IT), ibu bapa menghantarnya mengikuti kelas ‘programming’ secara formal ketika usia menjengah 10 tahun.Mencecah usia 17 tahun, Reza berjaya mencipta rekod peribadi apabila memenangi anugerah IT tempatan mahupun antarabangsa seperti Anugerah Koridor Raya Multimedia Teknologi Maklumat dan Telekomunikasi Asia Asia Pasifik (APMITTA) pada 2000 serta Anugerah Pakatan ICT Antarabangsa Asia Pasifik (APICTA) tahun berikutnya.


Melihatkan bakat, kesungguhan dan keghairahannya bercerita mengenai bidang IT membuatkan penulis tertanya-tanya, kenapakah Reza tidak melanjutkan pelajaran dalam bidang berkenaan, sebaliknya memilih kursus kewangan.

Menurutnya, sejurus menerima keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dia membuat pilihan menyambung bidang kewangan yang dianggap baru dan bertujuan mencabar kemampuan diri.

“Bukan saya menafikan bidang IT kurang cabaran, sebaliknya pendedahan awal mengenainya membuatkan saya yakin dengan kebolehan diri. Lantas, saya memilih ilmu baru (kewangan) untuk dipelajari.

“Sebaik tamat pengajian pada 2006, saya membuat keputusan menetap di Amerika Syarikat bersama isteri (Siti Durathul Ain Ali).

“Di situlah bermulanya kerjaya dalam bidang IT apabila saya ditawarkan bekerja sebagai perunding jualan bagi syarikat komputer terkenal DELL,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Bandar Baru Bangi, Selangor.

Menyara hidup di bumi asing bukan sesuatu yang mudah, terutama bagi pendatang sepertinya.

Kerap dikatakan memiliki iras wajah Mexico dan Asia menambah bebanan kerja ‘tambahan’ ketika melakukan urusan bersama pelanggan berkulit putih apabila sukar meraih kepercayaan mereka.

“Permulaan sememangnya sukar dan budaya malu perlu diatasi tatkala berurusan dengan pelanggan. Namun selepas beberapa bulan, akhirnya saya berjaya membina hubungan baik dengan pelanggan, sekali gus memudahkan urusan kerja.

“Jika warga Amerika sama ada berkulit putih mahupun hitam bekerja 10 jam sehari, saya terpaksa bekerja lebih keras hingga 16 jam tanpa henti setiap hari.

“Biarpun penat, saya terpaksa kuatkan semangat bagi menstabilkan kedudukan ekonomi keluarga, apatah lagi berada di negara yang mempunyai taraf kehidupan tinggi.

“Di sebalik kesukaran itu, saya memperoleh pengalaman berharga dalam membentuk peribadi dan disiplin diri. Tahap persaingan tinggi antara pendatang lain, termasuk dari India, membuatkan saya lebih berdaya saing dan bekerja keras,” katanya.

Memiliki pendapatan bulanan mencecah RM12,000 membuatkan Reza melupakan hasrat untuk pulang ke tanah air dalam jangka masa terdekat. Tambahan pula, isterinya turut mengusahakan perniagaan secara on-line.

Namun takdir di tangan Tuhan, pada penghujung 2007, Reza terpaksa memadam impian untuk bermastautin lebih lama di Amerika Syarikat apabila berlakunya krisis ekonomi dunia.

Menjejakkan semula kaki ke tanah air menjadi cabaran baru bagi bapa kepada tiga cahaya mata ini apabila terpaksa bertatih daripada bawah mencari pekerjaan bersesuaian.

Biarpun memiliki pengalaman bekerja dalam bidang IT selama setahun di luar negara, ia sedikit pun tidak membantu lelaki ini untuk mendapatkan profesion setaraf dengan kelayakannya.

Daripada pendapatan mencecah belasan ribu kepada RM1,500, satu keadaan yang sukar diterima Reza, namun dia bertahan mengenangkan tanggungjawab sebagai kemudi rumah tangga menyara keluarga kian membesar.

“Pintu rezeki seolah-olah terbuka buat saya apabila kerajaan mengumumkan pemberian geran permulaan perniagaan bernilai RM150,000 menerusi Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC) dan syukur saya berjaya mendapat dana berkenaan.

“Dalam lipatan sejarah pada tanggal 11 September 2008, tertubuhnya Terato Tech Sdn Bhd (Terato Tech) yang ketika itu diusahakan oleh saya bersama abang, Reza Hazri. Kemudian ia berkembang sehingga kini dengan 21 kakitangan berinovasi.

“Terato Tech antara syarikat tempatan pertama memberi tumpuan kepada aplikasi pembangunan telefon pintar termasuk iPhone, Android, Palm Pre dan Symbian, manakala pasaran kita menjurus kepada luar negara seperti Amerika Syarikat, Britain, Perancis serta Jerman,” katanya.

Menganggap pelancaran telefon pintar iPhone oleh pengasas bersama Apple, Steve Job pada 2007 sebagai satu platform, Terato Tech mengukuhkan kedudukan dalam pasaran.

Tanpa mengetepikan pasaran tempatan, syarikat Bumiputera ini juga sentiasa menghasilkan produk terbaru, termasuk aplikasi korporat dan maklumat seperti e-Parlimen Malaysia, Yellow Pages, ‘Malaysia Most Wanted’, SolQib, Muslim Calculator, IslamKidsWudhu dan Halal.

Berbicara mengenai aplikasi e-Parlimen yang dilancarkan tahun lalu dengan kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti), ia berfungsi sebagai medium komunikasi antara rakyat dan ahli Parlimen menerusi sistem khidmat pesanan ringkas (SMS), laman web dan aplikasi telefon pintar.

Terbaru, aplikasi permainan bagi pasaran antarabangsa iaitu Adam Dream bakal dilancarkan pertengahan tahun ini yang bukan saja menekankan aspek keseronokan bermain, bahkan memperkenalkan asas pengiraan matematik kepada golongan kanak-kanak.

Biarpun masih pada peringkat akhir, Adam Dream berjaya menarik perhatian syarikat berpusat di Los Angeles, Amerika Syarikat apabila aktiviti promosi giat dilaksanakan anak syarikatnya, Terato Inc yang beroperasi di negara itu sejak lapan bulan lalu.

Dianggap usia masih mentah dalam bidang perniagaan IT, Terato Tech boleh berbangga apabila kerap menerima pengiktirafan, termasuk memenangi GOMOBILE Inovation Awards 2010, MAD Tech Ventures Award 2010 dan MSC Malaysia IP Creators Challenge Series (IPCC) 2009.



PROFIL

NAMA: Reza Fahmi Razali
ASAL: Bandar Baru Bangi, Selangor
ASAL: 24 Ogos 1983
JAWATAN: Pengarah Urusan Terato Tech Sdn Bhd
PENDIDIKAN: Ijazah Sarjana Muda Kewangan, University of Oklahoma, Amerika Syarikat (2006)
ISTERI: Siti Durathul Ain Ali
ANAK: Reza Eusoff (4), Zara Alia (3) dan Reza Haris (tujuh bulan)


Tak galak anak guna peralatan teknologi

1) Selepas tamat pelajaran di Amerika Syarikat, adakah anda sememangnya berniat untuk pulang ke Malaysia?

Sememangnya saya tidak berhasrat untuk pulang ke tanah air sejurus tamat pengajian kerana saya ingin menimba pengalaman sebanyak-banyak di negara asing.


2) Apakah aktiviti waktu senggang anda?

Selalunya saya menghabiskan masa bersama keluarga di rumah dengan melakukan aktiviti riadah, termasuk permainan Xbox Kinect.


3) Jika tidak terbabit dalam dunia teknologi maklumat (IT), apakah pekerjaan anda sekarang?

Saya sangat meminati industri pertanian dan kemungkinan menjadi pengusaha, biarpun tidak memiliki bakat semula jadi dalam bidang berkenaan.


4) Adakah anda mementingkan kesihatan?

Setiap pagi saya memperuntukkan 30 minit untuk melakukan senaman ringan, termasuk berjalan perlahan di trek berdekatan rumah. Malah, saya sering melakukan pemeriksaan kesihatan bagi mengelakkan risiko penyakit.


5) Adakah anda seorang yang kuat bekerja?

Saya akui saya kuat bekerja. Tambahan pula, bidang IT sentiasa memerlukan inovasi, jadi untuk memastikan Terato Tech tidak ketinggalan, idea baru sangat diperlukan. Namun begitu, sebaik tiba di rumah, hal berkaitan kerja bukan urusan utama, sebaliknya memanfaatkan masa bersama keluarga.


6) Adakah anda memberi pendedahan awal bidang IT kepada anak?

Saya tidak menggalakkan anak saya menggunakan peralatan teknologi seperti iPhone dan iPad pada usia kanak-kanak kerana teknologi sangat memudahkan hingga tidak memberi peluang kepada mereka belajar dengan kemampuan sendiri.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: