Saturday, January 21, 2012

Ezlynn ingin berbasikal di Sepanyol


EZLYNN dan Adam bertuah ditaja sebanyak RM15 juta khusus perkahwinan mereka.


MINAT pasangan suami isteri, Ezlynn dan Adam Fahmy terhadap aktiviti berbasikal telah membuatkan mereka mencapai persetujuan untuk memilih negara di benua Eropah, Sepanyol untuk dijadikan lokasi berbulan madu.

Menurut wanita berumur 31 tahun ini, dia dan suami memang teringin untuk ke negara itu kerana menggemari pemandangan indah di sana.

“Selain pemandangan di sana yang cantik, apa yang kami tahu mereka punyai pekej berbasikal di sana. Oleh kerana kami berdua memang kerap berbasikal, jadi saya mahu mengambil peluang ini untuk berbasikal di Sepanyol pula.

“Jadi, mungkin kami akan pergi ke sana dalam bulan April kelak kerana sekarang di sana musim sejuk. Jadi kami mahu tunggu hingga masuk musim panas sedikit dan mungkin kami juga akan bercuti lama iaitu lebih kurang sebulan,” tutur Ezlynn yang sentiasa tersenyum menjawab soalan yang ditujukan kepadanya pada majlis resepsi yang berlangsung di Hotel Crowne Plaza Mutiara, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Kasut rekaan Neelofa

Pada majlis resepsi tersebut, bagi menimbulkan kelainan, Ezlynn telah memilih konsep musim luruh di Sepanyol dan tema warna emas, kuning dan kuning champagne.

Ezlynn atau nama sebenarnya, Azline Ariffin pada malam majlis resepsi mengenakan gaun pendek yang direka oleh oleh pereka fesyen muda, Sya Shaharani serta rekaan kain layah oleh Sharifah Mariam Syed Mohd.

Sementara semasa acara potong kek pula, Ezlynn menukar persalinan gaun petang yang berwarna lavender yang direka khas oleh pereka terkenal, Khoon Hooi manakala baju suaminya merupakan hasil rekaan dari butik Lord's Tailor.

Pada majlis tersebut juga, kasut yang dipakai Ezlynn merupakan rekaan khas aktres Neelofa yang bernilai RM20,000 yang bertatah berlian, permata Rafflesia dan batu Swarovski. Dekorasi musim luruh itu pula dihias khas oleh Che Det dari Butik Nasha yang terletak di Ipoh, Perak serta solekan pula oleh Snips.

“Saya sangat gembira dengan apa yang dilakukan dan ia cantik serta sesuai dengan tema dan memang terasa seperti berada di Sepanyol. Kesemuanya sangat menepati citarasa kami berdua.

“Memang ini konsep yang saya impikan dan sebenarnya saya impikan perkara yang berlainan daripada orang lain. Setelah berbincang bersama Rafflesia dan Bill Bora, ini adalah salah satu-satunya konsep yang lain dari lain kerana belum pernah lagi sesiapa buat konsep Sepanyol tambahan di musim luruh pula,” jelas Ezlynn lagi.

Ramai rakan artis dan kaum keluarga hadir ke majlis tajaan Rafflesia yang bernilai RM12 juta itu dan diserikan lagi dengan persembahan artis iaitu Adibah Noor, Datin Ilyka, Fazli Zainal, serta Dafi.

Setiap pasangan yang telah bernikah pasti menginginkan kehidupan berkeluarga. Bagi Ezlynn dan Adam, perancangan sememangnya tidak dibuat. Namun, jika ada rezeki yang mendatang, maka mereka akan menerima seadanya.

“Kalau boleh saya mahu anak cepat kerana saya sedar saya pun bukan semakin muda. Insya-Allah jika diberikan rezeki saya mahu tiga orang anak tapi jika lebih pun tidak mengapa. Jika dapat kembar pun kami tidak kisah,”ujar Ezlynn dalam tawa mengakui dia dan Adam tidak sabar mahu menimang cahayamata.

Sebelum ini, Ezlynn dan Adam telah pun selamat diijabkabulkan pada 20 November tahun lepas di Pusat Konvensyen Sime Darby, Bukit Kiara Kuala Lumpur.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: