|
|
MEREKA pernah mengumumkan bercinta. Itu momen manis kisah cinta yang terjalin antara Miera Liyana dan Shaz Jaszle atau kini lebih dikenali sebagai Shahrizal.
Namun setelah beberapa bulan menjalin hubungan cinta, ikatan cinta mereka itu kini dikatakan sedang berada di ambang peleraian. Miera dan Shahrizal didakwa sudah bergaduh!
Puncanya, Shahrizal yang didakwa curang! Dia dikatakan telah menjalinkan hubungan cinta dengan wanita lain yang juga seorang pelajar jurusan perubatan.
Meira menitipkan maklumat mengenai perkara itu ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini, malah dia mengakui hubungannya dengan hero filem Azura 2012 itu kini berada dalam situasi tidak menentu.
Kosmo!: Adakah benar Miera dan Shahrizal sedang bergaduh seperti yang digembar-gemburkan baru-baru ini?
MIERA: Memang benar hubungan kami sekarang dalam situasi yang sangat sukar dan agak renggang. Bagi saya, itu adalah sesuatu perkara normal sekiranya pasangan kekasih bergaduh dan itulah yang kami alami. Kalau boleh saya tidak mahu menyalahkan sesiapa terhadap apa yang berlaku. Mungkin ini adalah disebabkan usia kami yang masih muda, tetapi sudah menjalinkan hubungan cinta.
Betulkan Shahrizal memang mempunyai wanita lain dan curang kepada Miera?
Baru-baru ini ada seseorang telah bertemu dengan saya dan menceritakan segala-galanya termasuklah hubungan Shahz dengan gadis berkenaan. Namun, saya tidak mahu mendedahkan identiti individu tersebut.
Bagaimana Miera boleh mudah percaya dengan apa yang telah diceritakan itu?
Saya akui pada mulanya sukar untuk mempercayainya memandangkan saya memang sedar ramai yang tidak menyukai hubungan saya dengan Shahz. Bagaimanapun, setelah saya tanya sendiri pada Shahz, akhirnya dia mengaku mempunyai hubungan dengan gadis yang dimaksudkan.
Adakah Shahrizal cuba menghubungi Miera untuk meminta maaf terhadap kesilapan yang dilakukannya itu?
Boleh dikatakan agak kerap juga dia menghubungi saya, tetapi hanya sesekali sahaja saya jawab panggilannya. Sekarang ini biarlah saya tenangkan fikiran dahulu sebelum membuat sebarang keputusan. Apa pun yang terjadi saya hanya anggap ini adalah sebagai satu dugaan yang cukup besar dalam hubungan percintaan kami berdua. Bagi saya perbuatan curang ini adalah sesuatu yang sangat sukar untuk dimaafkan dan dilupakan sama sekali.
Benarkah dia ada meminta maaf kepada Miera menerusi laman sosial Twitter?
Memang dia ada berbuat demikian dengan harapan saya membaca permintaan maafnya itu apabila saya tidak mahu menjawab panggilannya. Lagipun saya memang selalu mengemaskini status laman Twitter saya.
Namun, tindakan yang cuba dilakukannya itu memang saya tidak suka kerana masalah peribadi tidak perlulah dihebahkan kepada semua orang. Sepatutnya dia haruslah fikir dahulu sebelum berbuat demikian. Saya anggap tindakannya itu seperti agak kebudak-budakan. Pada usia yang mencecah 25 tahun, dia perlu menjadi lelaki dewasa dan saya mahukan seorang lelaki matang untuk menjadi teman hidup saya.
Jadi, apakah status hubungan anda berdua sekarang?
Buat masa ini agak sukar untuk saya terangkan status hubungan kami, cuma perasaan sayang dan cinta terhadap dia masih lagi ada. Mungkin saya memerlukan masa untuk menilai semula tentang hubungan ini. Lagipun saya tidak mahu terlalu banyak membuat kenyataan kerana tidak mahu mengaibkan kekasih saya. Walaupun apa yang dia lakukan terhadap saya ini sangat mengguris hati dan perasaan saya.
Adakah pergaduhan kamu berdua ini sekadar gimik memandangkan filem Azura 2012 lakonan Shahrizal akan ditayangkan tidak lama lagi?
Gimik? Rasanya kami tidak perlu berbuat demikian memandangkan masing-masing sudah bertapak kukuh dalam industri ini.
Apakah projek terbaharu Miera sekarang?
Ketika ini saya sedang menjalani penggambaran drama bersiri 13 episod iaitu Mulanya Di Sini untuk siaran RTM. Kemudian saya akan terbabit pula dalam sebuah filem arahan Mamat Khalid yang berjudul Amir Dan Lokman Ke Laut dan ia merupakan filem lakonan saya yang kelima.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: