TEMANI PESAKIT...penjaga harus ada ilmu untuk menjaga keperluan pesakit.
MENJAGA orang sakit bukanlah satu tugas mudah terutama jika ia berlaku secara mendadak seperti mangsa kemalangan jalan raya atau kecelakaan lain. Apatah lagi, sekiranya mereka mengalami masalah hilang keupayaan sementara yang memerlukan bantuan serta perhatian sepenuh masa.
Sedar atau tidak, ini sebenarnya adalah salah satu ujian Tuhan. Adakah kita sanggup berkorban masa, tenaga dan wang ringgit untuk menjaga pesakit? Malah ketika inilah boleh dilihat sedalam mana cinta dan sayang kita kepada pesakit sehingga sanggup ‘berumah tangga’ di hospital walaupun sepanjang hari terpaksa duduk di kerusi yang kurang selesa.
Ramai antara kita yang memang sanggup melakukan apa saja asalkan orang tersayang pulih segera. Ada beberapa ‘syarat’ atau persediaan untuk menjadi penjaga pesakit. Syarat pertama dan paling utama ialah si penjaga itu sendiri mestilah sihat supaya dia boleh memberikan sebarang bantuan yang diperlukan.
Tahap kesihatan yang baik sangat penting untuk mengelakkan diri daripada mendapat jangkitan. Mungkin ramai tidak sedar bahawa risiko jangkitan amat tinggi kerana di situlah berkumpulnya pelbagai jenis penyakit, kata Presiden Persatuan Jururawat Malaysia, Dr Dame Ramziah Ahmad.Untuk menjadi penjaga, seseorang itu perlu mendapatkan maklumat secukupnya mengenai keadaan atau penyakit yang dihidapi pesakit. Mereka juga perlu tahu apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan sepanjang menjaga pesakit.
Selain itu, seseorang yang hendak menjadi penjaga pesakit mesti bersedia dari segi fizikal, mental, emosi, spiritual dan kewangan.
Persediaan fizikal membabit�kan kesihatan badan. Jika anda kurang sihat ketika khidmat diperlukan, mintalah bantuan ahli keluarga untuk menjaga pesakit buat sementara waktu sehingga kesihatan anda pulih sepenuhnya.
“Kita bukan saja tidak mahu penjaga dijangkiti penyakit tetapi lebih penting untuk mengelakkan penjaga itu daripada membawa virus atau bakteria yang boleh memburukkan keadaan semua pesakit dalam wad.
“Justeru, basuh tangan sebelum dan selepas menyentuh pesakit untuk mengurangkan risiko jangkitan.
“Mental juga perlu kuat. Duduk di hospital menemani pesakit sebenarnya lebih penat daripada bekerja kerana dalam keadaan ini, waktu makan dan rehat mereka tidak menentu. Menjaga pesakit di hospital adalah aktiviti statik (kurang bergerak) yang membuat badan dan minda penat.
“Begitu juga dari segi emosi. Penjaga perlu tahu bagaimana hendak mengawal emosinya di depan pesakit. Contohnya apabila mendapat berita kurang baik seperti pesakit menghidap penyakit kronik. Ketika ini, pesakit sangat mengharapkan sokongan dan kekuatan daripada penjaga. Jika penjaga sendiri emosinya lemah, bagaimana dia hendak merangsang semangat pesakit?” katanya.
Dari segi spiritual, penjaga perlu membantu pesakit untuk terus menunaikan ibadat (solat) terutama bagi mereka yang beragama Islam. Malangnya, ibadat wajib ini sering diabaikan apabila seseorang ditahan di wad.
“Mungkin orang tidak sedar bahawa ketika inilah solat menjadi lebih penting untuk menguatkan semangat sama ada bagi pesakit atau penjaga. Ketika solat, kita mengadu dan meminta bantuan daripada Allah, semoga pesakit bertindak balas dengan baik terhadap rawatan diberikan dan boleh cepat sembuh.
“Apa yang menarik, kini semakin banyak hospital menerapkan konsep ‘hospital ibadat’ dengan menyediakan surau di setiap tingkat. Malah setiap pesakit ada jadual solat, disediakan botol semburan (air), telekung dan sejadah jika perlu.
Bagi pesakit yang tidak boleh bangun, akan dibantu dan diajar untuk menunaikan solat di atas katil,” katanya.
Persediaan terakhir ialah kewangan. Ini bagi memastikan anda tidak menghadapi masalah kewangan untuk membayar bil hospital apabila pesakit dibenarkan balik kelak. Sebaiknya, buatlah persediaan awal sama ada dengan membeli perlindungan insurans atau membuat tabungan sendiri.
Bergilir-gilir jaga pesakit
“Penjaga perlu membawa barang keperluan dirinya seperti pakaian, tuala, berus gigi dan sabun mandi. Sesetengah hospital menyediakan rumah penginapan untuk penjaga khususnya bagi mereka yang datang dari jauh.
“Tanya pada jururawat sama ada hospital yang anda kunjungi itu ada menyediakan kemuda�han ini. Rumah penginapan penjaga ini membolehkan anda berehat dengan lebih baik dan tidak perlu banyak kali berulang-alik dari rumah ke hospital kerana ia akan lebih memenatkan serta meningkatkan kos,” kata Ramziah.
Menurut Dekan Fakulti Kejururawatan Sains Perubatan Kolej Universiti Allianze itu, setiap pesakit memerlukan sekurang-kurangnya dua penjaga supaya mereka boleh berada di hospital secara bergilir-gilir.
Katanya, tidak wajar meletakkan tugas ini kepada seorang penjaga saja (contohnya isteri) kerana ia akan menyebabkan badan penjaga menjadi lemah akibat kurang tidur dan rehat.
“Perlu ada ahli keluarga lain untuk membantu. Patut ada syif seperti jururawat. Jika penjaga pertama berada di hospital sepanjang siang, penjaga kedua boleh ambil alih untuk syif malam. Ini akan membolehkan penjaga pertama balik ke rumah dan berehat secukupnya sebelum datang ke hospital semula keesokan paginya.
“Namun sebelum balik ke rumah, penjaga pertama hendaklah memaklumkan penjaga kedua semua maklumat mengenai pesakit dan perkara yang perlu dilakukan. Jika anda masih kurang pasti, dapatkan maklumat ini daripada jururawat bertugas dan tanya apa yang anda sebagai penjaga boleh bantu.
“Apabila balik ke rumah, bersihkan badan betul-betul. Bagi mereka yang pakai cincin, tanggalkan cincin anda dan cuci tangan hingga bersih. Jangan lupa cuci juga cincin anda dengan air dan sabun kerana tidak kira bagaimana anda mencuci tangan, akan ada saki-baki kuman terlekat pada cincin jika ia tidak ditanggalkan,” sambungnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: